Kita sering melihat sama ada melalui video atau gambar akan pemandangan di Belanda atau lebih tepat lagi Amsterdam yang digambarkan sebagai syurga bagi pengguna basikal.

Belanda dianggap sebagai syurga bagi penunggang basikal memandangkan banyak kemudahan dan fasiliti yang dibina sangat mengutamakan pengguna basikal. Oeh itu, Belanda sering menjadi contoh buat negara-negara lain untuk membangunkan insfrastuktur seperti di Belanda bagi mengurangkan pencemaran dari asap kenderaan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu bawa sehingga tahun 1970-an, bandar-bandar utama di Belanda seperti Amsterdam dipenuhi banyak kenderaan dan akibatnya mempunyai tahap pencemaran udara yang tinggi.

Lalu, bagaimanakah kerajaan Belanda mampu mentransformasikan bandar Amsterdam dan bandar-bandar lain bagi mengurangkan penggunaan kenderaan secara drastik?

Sejarah penggunaan basikal di Belanda

statistik penggunaan basikal

Usaha mentransformasikan bandar-bandar di Belanda untuk mengurangkan jumlah kenderaan bukanlah perkara mudah tetapi mengambil masa puluhan tahun. Selain perancangan bandar yang bagus, pengenalan polisi-polisi tertentu menggalakkan rakyatnya beralih kepada basikal.

Utopia penunggang basikal Belanda ini tidak datang dengan mudah. Sepanjang lima dekad yang lalu, kerajaan dan rakyat telah bersungguh-sungguh mencipta infrastruktur dan budaya, merombak rangkaian jalan raya, tempat letak kereta dan undang-undang lalu lintas mereka untuk membolehkan perubahan ini.

Walaupun pada tahun 1920-an dan sebahagian daripada tahun 1930-an, orang Belanda kebanyakannya menggunakan basikal, tetapi selepas dua perang dunia, keadaan berubah secara drastik. Pemilikan kereta meningkat berlipat kali ganda akibat penurunan dalam kos pembuatan, seperti yang berlaku dengan majoriti negara maju.

Menjelang tahun 70-an, terdapat sekurang-kurangnya satu kereta bagi setiap lima penduduk.

Protes terhadap pemilikan kenderaan bermotor

protes kenderaan bermotor

Jumlah kenderaan bermotor yang meningkat ini datang dengan kos. Pada tahun 1971, lebih 3,000 orang terbunuh akibat kemalangan dengan kenderaan bermotor, dan 500 daripadanya adalah kanak-kanak. Salah seorang daripada kanak-kanak ini ialah anak perempuan wartawan Vic Langenhoff yang menulis karya "Stop de Kindermoord" ("Hentikan Pembunuhan Kanak-Kanak"), mencetuskan bantahan besar-besaran orang ramai terhadap kemalangan jalan raya.

Maartje van Putten, yang kemudiannya menjadi MEP, adalah presiden gerakan protes ini dan memainkan peranan penting dalam membawa perubahan dalam dasar pengangkutan untuk menggalakkan berbasikal sebagai cara rutin berulang-alik ke mana-mana sahaja.

Keazaman Putten, aktivis komuniti dan penunggang basikal yang bersemangat telah membawa kepada perubahan dasar awam. Pertama, terdapat hari Ahad tanpa kereta dimana kenderaan bermotor diharamkan sama sekali pada hari Ahaad.

Kemudian terdapat penambahbaikan dalam perancangan bandar dan undang-undang untuk menggalakkan orang ramai berbasikal dengan menyediakan infrastruktur mudah diakses dan langkah keselamatan jalan raya yang mengutamakan penunggang basikal.

Dengan lebih 36% penduduk menggunakan basikal sebagai mod pengangkutan utama mereka, secara purata, penunggang basikal Belanda menempuh jarak perjalanan seperti yang dilakukan oleh kereta api. Hanya 45% menggunakan kereta dan baki 11% menggunakan pengangkutan awam.

Penggunaan basikal lebih tinggi di bandar seperti Groningen pada 58%, Zwolle pada 46%, dan Amsterdam pada 38%. Seperti kebanyakan negara Eropah, rangkaian jalan yanng agak sempit menjadikan berbasikal sebagai cara yang lebih mudah untuk dilalui berbanding kereta.

Mempunyai rupa bumi yang agak rata di seluruh negara juga memudahkan aktiviti berbasikal.

Rombakan rangkaian jalan raya dan insfrastruktur

sistem jalan raya belanda

Rangkaian pengangkutan Belanda mempunyai infrastruktur berbasikal yang komprehensif. Daripada jumlah rangkaian jalan raya sepanjang 139,000 kilometer, trek berbasikal khusus merangkumi 35,000 kilometer. Trek biasanya diperbuat daripada asfalt yang diwarnakan merah, diterangi dengan baik, dan mempunyai papan tanda yang jelas.

Jalan khusus bagi basikal ini dipisahkan oleh sama ada garis putus-putus untuk menunjukkan kereta boleh menggunakan lorong atau garisan pejal untuk menunjukkan hanya basikal dibenarkan.

Walaupun trek berbasikal di banyak negara menyukarkan kehidupan penunggang motosikal di persimpangan dan bulatan, Belanda mengutamakan basikal berbanding kenderaan bermotor. Terdapat lorong berasingan untuk mereka dan lampu isyarat khusus penunggang basikal juga.

Orang Belanda sering merujuk kereta sebagai tetamu di jalan raya dan beberapa undang-undang lalu lintas telah diluluskan untuk tidak menggalakkan penggunaannya. Sebagai contoh, dalam ruang di mana kedua-dua kereta dan basikal bergerak, had laju untuk kereta ialah 30 km/j dan terdapat bonggol mana-mana lokasi yang dirasakan perlu.

Kesan menarik daripada perubahan yang dilakukan ini ialah penunggang basikal tidak perlu memakai topi keledar kerana kerajaan memberi tumpuan kepada pembinaan jalan yang selamat. Jalan raya dengan had laju 50 km/j mempunyai laluan berbasikal yang ditingggikan sedikit dan lebuh raya mempunyai trek basikal selari yang berasingan.

Mereka yang melakukan perjalanan jauh juga boleh membawa basikal mereka menaiki kereta api, feri, dan juga kapal terbang.  Walau bagaimanapun, bas biasanya hanya membenarkan basikal jenis boleh dilipat (foldin bike). Sesetengah penunggang basikal mengubah suai basikal mereka untuk memenuhi keperluan mereka.

Ibu bapa sering menggunakan "bakfiets" atau "basikal kargo," yang pernah digunakan untuk membawa barang tetapi kini dilengkapi dengan tempat duduk untuk kanak-kanak dan kanopi untuk melindungi mereka. Basikal sewa, yang dikenali sebagai OV-Fiets, juga disediakan.

Kredit:

  1. Vox
  2. BBC News
  3. Euro News
  4. The Guardian



Hakcipta iluminasi.com (2017)