Tidak dinafikan lagi bahawa China adalah salah satu kuasa besar dan kini merupakan peneraju ekonomi dunia disebabkan industri pengeluarannya yang begitu besar. Akan tetapi, negara itu juga diketahui sebagai negara terbesar di dunia dalam penghasilan barangan tiruan dan cetak rompak.
Bukan sahaja peralatan elektrik, pakaian, kelengkapan harian dan kenderaan sahaja yang ditiru, malah beberapa monumen dan bandar terkenal di seluruh dunia juga tidak terkecuali menjadi mangsa. Berikut adalah senarai beberapa replika tapak terkenal dunia yang dibina di China.
1. Menara Eiffel
BESARKAN TEKS A- A+
Pada tahun 2007, sebuah pekan telah dibina di Tianducheng di wilayah Hangzhou yang menyerupai bandar Paris di Perancis. Bukan sahaja bandar, malah replika Menara Eiffel juga turut dibina.
Menara replika setinggi 354 kaki tinggi itu juga dikelilingi oleh taman yang kelihatan seakan-akan sama dengan taman sebenar yang berada di Menara Eiffel di Paris. Menara replika seberat 1000 tan itu berskala 1:3 daripada saiz Menara Eiffel sebenar.
2. Jambatan Menara London
Jambatan Menara yang merupakan binaan ikonik di London itu telah siap dibina replikanya di China pada tahun 2014. Apa yang menariknya, replika yang dibina di bandar Suzhou, selatan China itu mempunyai jumlah dua kali ganda menara yang sebenar.
Jambatan selebar 46 meter itu dibuka kepada kenderaan dan penjalan kaki. Lokasi itu sering digunakan sebagai latar belakang kepada gambar perkahwinan walaupun ramai penduduk tempatan yang malu dengan kewujudan monumen replika itu dan menggelarkannya sebagai salah satu binaan China paling hodoh.
3. Colosseum
Colosseum adalah teater terbuka yang dibina pada tahun 80 Masihi di Rome, Itali untuk kegunaan persembahan, acara sukan dan hiburan. Replika bangunan bersejarah ini telah siap dibina di Macau pada Disember 2006.
Colosseum yang dibuka di Macau ini mengandungi kompleks membeli belah dan taman tema yang boleh memuatkan seramai 2000 orang. Selain itu, bangunan ini juga mempunyai kasino kerana Macau adalah satu-satunya tempat di China di mana perjudian adalah sah.
4. Bandar Venice
Tidak hanya berpuas hati meniru satu atau dua bangunan terkenal dunia, pemaju di bandar Dalian memutuskan untuk membina replika bandar 'terapung' Venice yang terkenal di Itali.
Projek pembinaan itu mengandungi lebih daripada 200 buah bangunan dengan seni bina Itali dan terusan sepanjang 4 km, siap dengan gondola seperti yang digunakan di Venice. Bandar terapung di Dalian itu dibuka pada tahun 2016 dan dianggarkan menelan belanja sebanyak RM 3.19 billion.
5. Bangunan Kremlin
Kompleks bangunan berkubah emas dan berdinding putih di daerah Mentougou di ibu negara China, Beijing ini adalah replika kepada bangunan Kremlin yang merupakan mercu tanda politik Moscow yang paling terkenal.
Kompleks yang menempatkan beberapa biro kerajaan termasuk Biro Cuaca Mentougou ini dianggarkan menelan belanja sebanyak RM 14.3 juta untuk disiapkan. Namun, replika Kremlin ini nampak murahan kerana berlatarbelakangkan kilang-kilang yang mengeluarkan banyak asap.
6. Great Sphinx of Giza
Pada asalnya, pembinaan replika Great Sphinx of Giza di Shijiazhuang, wilayah Hebei, China pada tahun 2014 ini adalah bertujuan untuk digunakan sebagai pentas pengambaran sebuah drama. Namun, ianya telah dirobohkan selepas mendapat rungutan daripada kerajaan Mesir.
Dua tahun kemudian, replika berukuran 20 kali 60 meter itu muncul semula di tempat yang sama. Hal ini membuatkan kerajaan Mesir marah dan melaporkan perkara ini ke UNESCO untuk tindakan susulan.
7. Piramid The Louvre
Piramid The Louvre adalah monumen kaca besar yang terletak di Istana Louvre di Paris dan dikelilingi oleh tiga lagi piramid kecil. Ia menjadi pintu masuk kepada Muzium Louvre dan merupakan salah satu mercu tanda terkenal di Paris.
Kini, sebuah replika piramid The Louve berskala 1:1 telah dibina di taman tema Shijiazhuang oleh syarikat pemaju sama yang membina replika Great Sphinx of Giza yang menimbulkan kemarahan Mesir.
8. Big Ben
Big Ben adalah gelaran kepada Jam Loceng Besar yang terletak di utara Istana Westminster di London. Ia siap dibina pada tahun 1859 dan merupakan jam empat muka paling besar dan tepat di dunia. Kini, menara setinggi 96 meter itu juga menjadi mangsa replika China.
Replika Big Ben yang dibina di Jiangxi, selatan China itu dikatakan lapan meter melebihi ketinggian Big Ben di London dan digembar-gemburkan akan menjadi menara jam mekanikal tertinggi di dunia.
9. Perkampungan Hallstatt
Membina sesebuah replika monumen atau mercu tanda adalah satu perkara berbeza daripada membina replika seluruh perkampungan dan ia memerlukan komitmen yang tinggi. Itulah yang dilakukan di Luoyang, China apabila mereka meniru perkampungan Hallstatt yang terkenal di Austria.
Hallstatt adalah sebuah perkampungan di kawasan pergunungan Austria yang dinobatkan oleh UNESCO sebagai Tapak Popular Dunia dan menjadi tarikan pelancong kerana seni bina dan kawasannya yang indah.
10. Parthenon
Parthenon adalah kuil purba yang terletak di Acropolis of Athen, Greece. Pembinaan kuil ini didedikasikan kepada dewi Athena yang dianggap sebagai penaung dan pelindung penduduk tempatan di Athens. Pembinaannya bermula pada tahun 447 SM ketika Empayar Athen berada di puncak kekuasaannya dan siap pada tahun 438 SM.
Kini, replika kuil purba itu boleh dilihat di sebuah taman tema yang terletak di Lanzhou, barat laut China. Ia dibina sebagai salah satu tarikan pelancong yang berkunjung ke taman tema itu.
11. Rumah Opera Sydney
Rumah Opera Sydney adalah pusat pelbagai seni persembahan yang terletak di Perlabuhan Sydney, New South Wales, Australia. Ia merupakan salah satu bangunan paling ikonik dan terkenal pada abad ke-20.
Kini terdapat beberapa replika Rumah Opera Sydney di China dan salah satunya terletak di daerah Fuxin, China. Ia sebenarnya merupakan sebuah restoran mewah yang terletak di tepi tasik. Kerajaan China dikecam kerana menyumbang RM 735,000 untuk pembinaan restoran itu. Restoran mewah itu ditutup tidak lama selepas pendedahan dibuat.
12. Menara Condong Pisa
Menara Condong Pisa adalah salah satu monumen terkenal dunia yang terletak di bandar Pisa, Itali. Ia terletak di belakang Pisa Cathedral dan merupakan bangunan ketiga tertua di bandar itu.
Walaupun China mempunyai beberapa menara condong mereka sendiri, ini tidak menghentikan mereka membina replika Menara Condong Pisa di Shanghai, 5,000 batu jauhnya dari menara yang sebenar.
Sebenarnya, banyak lagi monumen, mercu tanda dan bandar terkenal di seluruh dunia yang menjadi mangsa tiruan China seperti Patung Moai Pulau Easter, Hotel Chateau Laffitte di Paris, White House, Kuil Karnak di Mesir dan beberapa lagi.
Rujukan:
2. SCMP
3. Daily Mail