Istilah 'seni bela diri' atau Martial Arts berasal dari bahasa Latin iaitu "Arts of Mars", dinamakan sempena tuhan perang dan tuhan konflik Rom. Untuk mengetahui asal usul gaya seni bela diri yang ada sekarang, kita perlu melihat kembali dalam sejarah evolusi manusia ketika bahasa Latin belum lagi diciptakan. Berikut adalah lima seni bela diri yang tertua di dunia dan masih diguna pakai sehingga hari ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

5. Pankration

pankration

Perkataan Pankration berasal daripada bahasa Yunani purba πᾶν (pan) "semua" dan κράτος (kratos) yang bermaksud "kekuatan, kuasa, kuat". Jadi istilah Pankration membawa maksud "semua kuasa".

Berasal sekitar 2000 SM, mitologi Yunani mendakwa sistem seni bela diri itu digunakan oleh Heracles (Hercules) ketika dia bertarung dengan Singa Namean dan juga oleh Theseus yang bertarung dengan Minotaur.

Pankration telah diperkenalkan semasa Olimpik Yunani purba pada tahun 648 SM dan beberapa ahli sejarah moden menganggap asal-usul Pankration telah dikembangkan sebagai 'teknik perang' oleh tentera Spartan dan tentera Macedonia di bawah pimpinan Alexander The Great.

pankration2

Menurut buku Pengajian Terminologi Sukan Tempur Yunani tulisan Michael Poliakoff pada tahun 1986, seni bela diri Pankration ini adalah gabungan tinju dan gusti.

Pankration dibenarkan menendang, memegang, mengunci dan mencekik. Sukan Pankration adalah ganas dan peserta sering bergelut di atas tanah. Ia hanya berakhir apabila salah seorang peserta menyerah kalah, tidak sedarkan diri atau mati.

Walaupun Pankration tidak disenaraikan sebagai salah satu acara sukan apabila Olimpik diperkenalkan semula pada tahun 1896, namun ia masih diamalkan dalam seni bela diri moden. Sebagai contoh Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA) mengambil secara khusus ciri seni bela diri Pankration.

4. Shuai Jiao

shuai jiao

Rekod yang dibuat semasa empayar maharaja China purba pada tahun 2697 SM telah menunjukkan aktiviti tentera ketika itu berlatih dengan mengamalkan gaya seni bela diri Kung-Fu kuno yang dikenali sebagai "Jiao Di" (tanduk).

Tentera-tentera itu akan memakai peralatan seperti "tanduk kepala" dan akan cuba untuk menjatuhkan lawan keluar dari gelanggang. Disiplin pertempuran tertentu ini telah digambarkan sebagai sumber asal "semua" bentuk seni mempertahankan diri di China.

Apabila ia mula berkembang, Jiao Di telah disebutkan dalam catitan Adat Klasik semasa Dinasti Zhou. Seni bela diri ini telah ditambah dengan beberapa langkah baru seperti bertahan, mengunci dan serangan ke atas bahagian tubuh yang penting.

pertandingan shuai jiao

Disiplin seni bela diri ini menjadi sukan awam yang sangat popular. Aktiviti pertarungan awam ini sebenarnya adalah salah satu cara pintar yang digunakan oleh penganjur untuk menyerlahkan bakat dan merekrut pahlawan terkuat di peringkat tempatan, supaya menjadi ganjaran apabila diambil bekerja sebagai salah seorang pengawal maharaja.

Istilah "Shuai Jiao" telah dipilih oleh Akademi Guoshu Tengah di Nanjiang pada tahun 1928 apabila peraturan pertempuran telah diformalkan. Seni bela diri ini diteruskan dan diajar di akademi polis dan tentera di China hari ini.

3. Malla-yuddha

malla yuddha

Seni bela diri Malla-yuddha telah muncul seawal tahun 3000 SM di beberapa negara Asia Selatan termasuk India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Nepal. Dalam bahasa Sanskrit, mallayuddha membawa maksud kepada "pertempuran gusti".

Malla-yuddha ini merujuk kepada gaya 'pertarungan hadiah', lebih daripada gaya-gaya tertentu atau sekolah gusti. Hikayat India yang terkenal ada menceritakan tentang seorang wira legenda yang pakar dalam malla-yuddha. Catitan bertulis paling awal mengenai peristiwa seni bela diri ini terdapat dalam Mahabharata, epik India kuno abad ke-5 SM.

ukiran malla yuddha

Malla-yuddha klasik dibahagikan kepada empat gaya pertempuran, masing-masing dinamakan sempena tuhan Hindu iaitu:

  • Jambuvanti - Mengunci dan memaksa untuk menyerah
  • Hanumanti - Penumpuan pada keunggulan teknikal
  • Jarasandhi - Amalan mematahkan anggota badan dan sendi
  • Bhimaseni - Memanipulasi berat badan lawan menggunakan kekuatan dan graviti

Seni bela diri Malla-yuddha ini kehilangan popularitinya pada penghujung abad ke-16, tetapi masih diamalkan dalam komuniti kecil pengamal seni bela diri di Asia Selatan.

2. Tinju

boxing2

Bukti paling awal yang pernah direkodkan mengenai pertandingan bertumbuk adalah ketika zaman Sumeria purba. Penemuan tinggalan sejarah yang ditemui di Iraq itu mencatatkan pertandingan tinju ini telah diadakan sejak tahun 3000 SM lagi di negara-negara Mesopotamia seperti Assyria dan Babylon.

Sekitar tahun 1350 SM, sebuah arca telah diukir di Thebes yang menggambarkan dua peninju bertarung dengan memakai pembalut pada tangan mereka. Ia merupakan antara penggunaan sarung tangan tinju yang paling awal pernah direkodkan.

tinju

Peraturan tinju rasmi yang pertama muncul pada pertandingan Olimpik yang ke-23 pada tahun 688 SM di tamadun Yunani purba. Hari ini, seni bela diri tinju menjadi salah satu sukan yang paling ditonton dan popular di dunia. Ia juga merupakan komponen penting dalam gaya Seni Bela Diri Campuran (MMA).

1. Gusti

gusti

Seni bela diri dalam bentuk gusti ini dicatatkan dalam banyak budaya kuno dan agak mustahil untuk mengetahui dari manakah ia berasal. Namun, teknik gusti yang tidak menggunakan senjata diterima ramai sebagai teknik tempur tertua dalam sejarah.

Gusti digambarkan dan diceritakan dengan jelas semasa zaman Mesir purba lagi sekitar tahun 2000 SM. Malah, ada beberapa ahli sejarah berpendapat, bukti kewujudan gusti juga ada pada lukisan dinding gua yang berusia 15,000 tahun di Perancis.

gusti yunani purba

Pada zaman Yunani kuno, gusti diajarkan kepada tentera dan mereka sememangnya diketahui pakar dalam pertempuran tangan kosong. Apabila gusti semakin berkembang, ia telah menjadi acara yang sangat popular dan pertandingan gusti direkodkan pada acara Olimpik ke-18 pada tahun 704 SM.

Manuskrip daun papirus Yunani abad ke-2 SM telah mencatatkan secara terperinci peraturan gusti dan kini dikenali sebagai manual panduan seni bela diri paling awal yang diketahui di Eropah.

Kesimpulan

Seni bela diri adalah tradisi dan sistem kuno pertempuran tangan kosong yang diperturunkan dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah melalui penaklukan wilayah, latihan ketenteraan, penguasaan undang-undang dan sebagainya. Sehingga hari ini, masih ada pahlawan-pahlawan yang mengamalkan seni kuno ini dan sering diserapkan ke dalam seni bela diri moden.  




Hakcipta iluminasi.com (2017)