Segitiga Bermuda seringkali dirujuk sebagai lokasi paling misteri kerap berlakunya kejadian-kejadian aneh, melibatkan kehilangan pesawat, kapal dan bermacam kisah lain.

Banyak pihak cuba memperjelaskan fenomena-fenomena aneh yang berlaku di kawasan tersebut dengan menggunakan kaedah saintifik namun populariti teori-teori konspirasi tetap membayangi huraian yang cuba disampaikan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain Segitiga Bermuda, wujud sebuah lagi kawasan segitiga misteri yang dipercayai membawa misteri yang mirip - dinamakan sebagai Segitiga Masalembo atau Masalembu, terletak di lautan milik negara Indonesia.

Bermulanya misteri Segitiga Masalembu

tampomas tragedi indonesia 1981 40

Terletak di Laut Jawa bahagian utara Madura, kawasan lautan itu menempatkan kepulauan yang dikenali dengan nama Kepulauan Masalembu. Seramai lebih 20,000 orang memilih untuk tinggal di tiga pulau yang ada di situ, iaitu Masalembu, Masakambing dan Karamian.

Nama kawasan tersebut mula tular di kalangan rakyat Asia Tenggara khasnya di Indonesia, berikutan satu insiden melibatkan sebuah feri karam bernama KMP Tampomas II dalam perjalanannya dari Jakarta ke Ujung Pandang, Sulawesi pada 27 Januari 1981.

Dalam insiden itu, 431 orang meninggal dunia dan hanya 143 mayat berjaya ditemui, sementara 753 orang lagi berjaya diselamatkan. Tampomas II didapati mengalami kebakaran semasa melalui lokasi tersebut dipercayai berpunca daripada salah satu kenderaan yang mengalami kebocoran tangki.

Rokok yang dibuang sewenang-wenang oleh salah seorang penumpang memulakan api, mengakibatkan suasana mula tidak terkawal dan api merebak dengan cepat. Jumlah bot kecemasan yang tidak memadai mengakibatkan ratusan orang terkandas, menunggu bantuan hadir.

Malangnya cuaca buruk dan angin kencang mengakibatkan api merebak masuk ke dalam bahagian enjin feri, mengakibatkan letupan berlaku seterusnya mengakibatkan air laut mulai masuk.

Selepas lebih 30 jam cuba bertahan, akhirnya Tamponas II tenggelam membawa bersama ratusan orang yang terperangkap bersamanya.

Tahun 2007 mengorbankan banyak nyawa

adam air indonesia tragedi

Kawasan itu tidak mengalami insiden-insiden serupa untuk hampir 3 dekad, sebelum sebuah feri bernama Senopati Nusantara hilang semasa ribut petir berlaku mengakibatkan lebih 400 orang penumpang termasuk kru feri, tenggelam di lautan.

Hanya 230 orang berjaya diselamatkan dalam kejadian itu. Insiden Senopati Nusantara berlaku tanggal 30 Disember 2006, menjadi petanda awal siri-siri insiden dahsyat di kawasan serupa.

Dua hari selepas itu pada 1 Januari 2007, sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Adam Air terhempas dalam lingkungan segitiga Masalembu, mengorbankan 102 orang anak kapal. Dalam insiden ini, siasatan mendapati juruterbang hilang kawalan ke atas pesawat selepas kegagalan sistem navigasi mereka untuk berfungsi.

Kotak hitamnya hanya ditemui 7 bulan kemudian pada 28 Ogos 2007.

Belum selesai siasatan nahas Adam Air, tiga buah kapal lagi tenggelam dalam kawasan segitiga pada tiga kejadian berbeza, yang berlaku pada 19 Julai 2007, 27 Julai 2007 dan 16 Ogos 2007.

Kawasan itu reda sebentar daripada tragedi sebelum kembali menelan sebuah kapal kargo pada 8 Julai 2008, mengorbankan 267 penumpang dalam insiden KM Teratai Prima berlaku pada tarikh 11 Januari 2009.

Nahas terbaru yang berlaku di situ kali terakhir terjadi pada 20 Mei 2017, selepas sebuah kapal bernama KM Mutiara Sentosa dalam perjalanan dari Surabaya ke Balikpapan, terbakar ruangan kargonya.

Selepas isyarat kepada penumpang untuk meninggalkan kapal dikeluarkan, bantuan yang segera tiba berjaya menyelamatkan 192 penumpang dan anak kapal, dengan 5 angka korban.

Menakutkan bukan rekod insiden di situ?

Kenapa Segitiga Masalembu kerap menjadi lokasi nahas?

segitiga masalembu masalembo triangle

Ada pihak percaya apa yang berlaku di Segitiga Masalembu, sangat berkait dengan unsur-unsur mistik mirip dengan apa yang dipercayai berlaku di Segitiga Bermuda.

Dakwaan kononnya di situ berkumpul makhluk ghaib yang kerjanya mencari pasal dengan manusia, tempat berkumpulnya Iblis, lokasi makhluk asing luar bumi serta ruangan di mana masa dipesongkan terus disuarakan - walaupun ada penjelasan saintifik yang mampu memperjelaskannya.

Terdapat dua faktor yang mempengaruhi keadaan Segitiga Masalembu, iaitu kawasan tersebut menjadi titik pertemuan arus dan kedua, pengaruh angin monsun setiap tahun.

Fenomena ini yang diistilahkan oleh penyelidik tempatan Indonesia sebagai fenomena Arlindo (Arus Laut Indonesia) berlaku setiap tahun berdasarkan kepada kedudukan matahari, yang akan mempengaruhi pergerakan arus laut.

Perubahan yang berlaku akibat fenomena Arlindo, disebabkan oleh perbezaan tekanan, suhu dan pergerakan air akan memberi kesan ketara kepada perjalanan kapal-kapal laut serta pesawat yang melalui 'segitiga' itu.

Usaha untuk menyedarkan masyarakat Indonesia bahawa apa yang berlaku di Segitiga Masalembu boleh diperjelaskan berdasarkan data meteorologi, masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini. Langkah-langkah mengehadkan laluan itu dalam tempoh tertentu ketika situasi memberikan risiko besar kepada pengguna juga telah diperkenalkan.

Ini sedikit sebanyak membantu meredakan angka nahas yang berkemungkinan boleh berlaku di sana namun kita hanya boleh mendoakan agar tragedi-tragedi buruk tidak lagi berulang.

Segitiga Masalembu menjadi lokasi laluan air utama menghubungkan Makasar, Kalimantan dan Surabaya, jadi hendak tak hendak pasti ramai yang akan terus menjadikan segitiga itu laluan utama mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)