Tidak dinafikan kekuasaan Allah SWT dapat dilihat dengan jelas melalui alam semula jadi. Terdapat terlalu banyak fenomena yang berlaku di sekeliling kita di seluruh pelosok Bumi, namun ada segelintir daripadanya yang begitu menakjubkan dan menarik minat manusia untuk membuat kajian dengan lebih mendalam.
Walau bagaimanapun, fenomena semula jadi yang terjadi di langit sering kali mendapat perhatian yang lebih, mungkin kerana ia adalah di luar capaian tangan dan minda kita. Kewujudan langit dan angkasa adalah sesuatu yang selalu membuatkan kita tertanya-tanya dan akan sentiasa menjadi sebuah misteri.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa kata sesekali, cuba dongak ke langit dan perhatikan keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Mana tahu, anda juga boleh berkesempatan menyaksikan fenomena-fenomena luar biasa seperti berikut:
10. Pelangi putih
Pelangi putih adalah sejenis pelangi yang jarang diketahui ramai yang juga dikenali sebagai 'moonbow' atau 'pelangi lunar'. Ia adalah pelangi yang terbentuk hasil pancaran cahaya bulan, bukannya daripada sinaran matahari seperti yang biasa kita ketahui.
Pembentukan pelangi ini adalah sama seperti pelangi solar cuma daripada sumber cahaya yang berbeza. Ia terbentuk daripada biasan cahaya bulan pada titisan air dan muncul betul-betul bertentangan dengan arah bulan.
Disebabkan sumber cahayanya adalah daripada bulan yang bersaiz lebih kecil berbanding matahari, pelangi ini juga tampak lebih pucat dan putih pada pandangan mata kasar.
Kebiasaannya ia akan terbentuk apabila bulan berada paling hampir dengan Bumi dan bersaiz penuh. Langit pada waktu malam mestilah sangat gelap dan bulan berada pada kedudukan paling rendah iaitu sekurang-kurangnya pada ketinggian 42 darjah. Kesemua syarat ini perlu dipenuhi dan disebabkan itulah pelangi putih merupakan suatu fenomena yang sangat jarang berlaku berbanding pelangi biasa.
Lokasi terbaik untuk melihat sendiri pelangi putih ini adalah di Waimea 'Kamuela' di Hawaii. (sumber)
9. Awan Lentikular
Awan lentikular merupakan pembentukan awan unik yang kelihatan seperti kanta atau piring. Ia sering terjadi di atas kawasan pergunungan dan terbentuk dalam posisi serenjang dengan arah angin di lapisan troposfera. Apabila angin bertiup dalam arah yang sama secara berterusan dan keadaan udara sekeliling adalah stabil, pembentukan awan ini mula dapat dilihat.
Aliran angin yang menuju ke bawah akan memeluwapkan udara lembap di kawasan sekitar dengan mudah. Untuk membentuk awan ini, sebuah struktur besar dan menegak diperlukan. Setelah terbentuk, awan ini tidak bergerak dan kebiasaannya terasing dengan awan yang lain.
Disebabkan ia terbentuk pada altitud sekitar 40,000 kaki, ia dapat dilihat dengan mudah dari jauh. Adakalanya awan lentikular kelihatan seperti bertindih antara satu dengan yang lain. Selain itu, disebabkan rupa bentuknya yang mirip seperti UFO, ia sering disalah anggap sebagai kehadiran makhluk asing di pelbagai lokasi seluruh dunia.
Juruterbang pesawat seboleh-bolehnya akan mengelak daripada melalui kawasan awan lentikular kerana ia menyebabkan angin bergelora yang ekstrem. (sumber)
8. Awan Nakreus
Awan nakreus (yang juga dikenali sebagai awan stratosfera kutub) merupakan sebahagian persekitaran di kutub utara apabila gelombang lindung angin oleh kawasan gunung menyejukkan lapisan rendah stratosfera. Atmosfera kering di lapisan ini yang bersuhu di bawah -78°C membantu menghasilkan awan yang luar biasa ini.
Disebabkan kedudukan awan pada altitud tinggi sekitar 49,000 hingga 82,000 kaki, ia menerima cahaya matahari dari bawah ufuk yang menghasilkan warna terang. Ia boleh dilihat dua jam sebelum matahari terbenam atau sejurus sebelum subuh. (sumber)
7. Awan Seri Pagi
Morning Glory clouds atau awan seri pagi yang biasa berlaku di Teluk Carpentaria di Australia merupakan suatu fenomena meteorologi yang sangat unik dan menakjubkan. Ia adalah awan jenis arkus yang kelihatan seperti ombak atau riak yang sangat cantik.
Awan ini terjadi apabila udara laut dari dua arah berlawanan bertemu dan membentuk kesan silinder berpusing. Ia bersaiz sehingga satu atau dua kilometer panjang dan boleh terbentuk secara berkumpulan atau individu.
Awan ini menjadi kegemaran atlet sukan geluncur angin kerana lebih mudah mengenal pasti lokasi untuk mula merendahkan posisi. Mereka sering berkumpul di Teluk Carpentaria setiap tahun pada bulan Oktober untuk bermain sukan ini. (sumber)
6. Pelangi Api
Nama sebenar "pelangi api" ini ialah circumhorizontal arc dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan api mahupun pelangi. Ia adalah sejenis halo dan merupakan sebuah fenomena optik di langit.
Fenomena ini berlaku apabila biasan matahari atau bulan melalui kristal ais berbentuk plat yang tergantung di langit. Apabila terbentuk sepenuhnya, ia kelihatan sangat cerah dan mempunyai warna terang yang selari dengan kaki langit. (sumber)
5. Awan Asperatus
Awan asperatus adalah sejenis pembentukan awan menakutkan yang dipopularkan oleh Gavin Pretor-Pinney daripada Persatuan Penghargaan Awan pada tahun 2009. Sebelumnya ia lebih dikenali sebagai Undulatus asperatus. Asperatus merupakan perkataan Latin yang bermakna "kekasaran".
Kelompok awan 'kasar' ini adalah sangat menakutkan kerana ia kelihatan seperti dalam filem Judgement Day. Ia memberikan kesan iluminasi visual yang sangat dramatik kepada sesiapa yang melihat seolah-olah satu ribut petir yang sangat kuat akan terjadi. Walau bagaimanapun, awan yang sering kelihatan di Amerika Syarikat ini akan hilang sekelip mata tanpa sebarang kehadiran ribut. (sumber)
4. Aurora
Aurora ialah salah satu keajaiban di langit yang mempunyai pelbagai nama seperti polar light, northern light dan southern light. Aurora borealis ataupun cahaya langit utara dilaporkan adalah aurora yang terbaik dari segi rupa dan pencahayaan.
Aurora merupakan paparan cahaya semula jadi yang terbentuk di kawasan berlatitud tinggi seperti Kutub Utara dan Antartika. Cahaya panas matahari yang bersuhu 15 juta darjah Celsius menghasilkan angin solar yang mengambil masa 40 jam untuk sampai ke Bumi dan menyebabkan keajaiban indah ini. Selain terjadi di Bumi, aurora juga wujud di planet-planet lain dalam sistem solar. (sumber)
3. Awan Mamatus
Awan mamatus adalah sangat misteri dan menakutkan kerana tiada siapa tahu bagaimana ia terbentuk. Seorang pakar meteorologi, William Clement Ley, mula menggambarkan pembentukan awan ini pada tahun 1894.
Ia mempunyai rupa aneh seperti kantung sel yang tergantung daripada dasar awan lain dan terbentuk dalam persekitaran serta keadaan langit yang berbeza. Terdapat beberapa teori berkaitan pembentukannya namun sehingga kini masih belum ada saintis yang boleh menjelaskan fenomena langit yang sungguh misteri ini.
Salah satu teori menerangkan udara sejuk yang tenggelam ke bawah membentuk awan ini melalui perolakan udara panas. Disebabkan ia adalah sejenis awan hujan kumulonimbus, awan ini boleh menjadi bahaya dan merupakan petunjuk bahawa satu badai yang kuat bakal berlaku. Juruterbang sering berhati-hati dan diberikan amaran sebelum terbang sekiranya awan mamatus muncul di langit. (sumber)
2. Kilat Hijau
Kilat hijau terjadi kebiasaannya selepas matahari terbenam atau sebelum matahari terbit. Keadaan langit haruslah sempurna dari segi jarak kaki langit sebelum ia boleh terbentuk. Lokasi terbaik untuk menyaksikan kilat hijau ini adalah di ufuk laut. Disebabkan itu banyak laporan mengenai kilat hijau diterima daripada penduduk yang tinggal di tepi atau berhampiran kawasan laut.
Fenomena ini terjadi apabila atmosfera Bumi berkebolehan untuk mengasingkan warna berbeza daripada cahaya matahari. Terdapat pelbagai jenis kilat hijau dan setiap satunya mungkin mempunyai rupa yang berlainan. Kilat hijau yang paling biasa dilihat adalah sesudah matahari terbenam iaitu ketika matahari sudah benar-benar di bawah horizon. (sumber)
1. Tiang Cahaya
Tiang cahaya mungkin adalah fenomena paling indah dan menakjubkan yang pernah terjadi dalam dunia. Ia merupakan sekumpulan cahaya menegak yang muncul daripada satu sumber cahaya.
Fenomena atmosfera optik ini terhasil oleh refleksi cahaya daripada kristal ais kecil yang banyak terdapat di awan. Ia adalah daripada keluarga yang hampir sama seperti halo iaitu gabungan alur cahaya daripada ribuan kristal ais.
Sebahagian besar cahaya ini berpunca daripada cahaya matahari. Disebabkan itu ia juga digelar sun pillars ataupun solar pillars. Selain matahari, sumber cahaya juga boleh datang dari bulan ataupun cahaya daratan yang lain. Cuaca sejuk yang ekstrem juga adakalanya boleh menyebabkan fenomena ini terjadi. (sumber)