fail finces

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan pendedahan mengenai dokumen FinCEN yang dikongsi oleh seorang atau sekumpulan individu kepada laman Buzzfeed News sebelum ianya tular di seluruh dunia.  

Lebih menarik, pendedahan itu turut menyebut beberapa nama bank di Malaysia.

Apakah itu FinCEN?

rahsia laporan bank

FinCEN merupakan akronim bagi US Financial Crimes Enforcement Network. FinCEN merupakan satu unit khas di Perbendaharaan AS (US Treasury) yang berperanan memerangi jenayah kewangan. Apa jua kebimbangan atau kecurigaan mengenai transaksi yang dibuat dalam dolar AS perlu dihantar ke FinCEN, walaupun transasksi tersebut berlaku di luar AS.

Laporan aktiviti mencurigakan, atau SAR (Suspicious Activity Report), adalah contoh bagaimana kecurigaan transaksi tersebut direkodkan. Bank mesti mengisi laporan ini jika bimbang salah satu pelanggannya melakukan transaksi yang mencurigakan. Laporan tersebut kemudiannya dihantar kepada pihak berkuasa.

Bagi fail-fail FinCEN yang didedahkan pada 20 September lalu, terdapat kira-kira 20,000 dokumen yang didedahkan adalah fail yang dihantar oleh bank-bank kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat antara tahun 2000 dan 2017. Dokumen-dokumen ini adalah beberapa rahsia sistem perbankan antarabangsa yang paling terpelihara dan penuh kerahsiaan.

Pihak bank menggunakannya untuk melaporkan tingkah laku yang mencurigakan tetapi ia bukanlah bukti kesalahan atau kejahatan para pelanggan.

Dokumen-dokumen FinCEN yang dibocorkan baru-baru ini telah dikongsi ke pihak Buzzfeed News dan dibagikan dengan kumpulan wartawan dan penyiasat dari seluruh dunia yang kemudiannya menyebarkannya ke 108 organisasi berita di 88 negara.

Ratusan wartawan telah menyaring dokumen yang teknikal dan padat itu, cuba membongkar beberapa aktiviti transasksi yang cuba disembunyikan oleh pihak bank daripada pengetahuan orang ramai.

Laporan transaksi wang mencurigakan

kebocoran dokumen finces

Sekiranya seseorang individu itu melakukan jenayah dan ingin menyembunyikan wang hasil kegiataan jenayah tersebut (biasanya jutaan dollar), antara perkara penting yang perlu dilakukan mereka untuk menyembunyikan duit tersebut adalah melakukan "money laundering" atau bahasa mudahnya, "cuci duit".

Ianya adalah satu tindakan memindahkan wang yang diterima hasil daripada kegiataan jenayah - misalnya penjualan dadah dan korupsi - dan meletakkannya dalam akaun bank yang sah untuk menyembunyikan perkaitanya dengan kegiatan jenayah tersebut.

Peranan bank sudah tentulah tidak membantu para pelanggan mereka melakukan kegiatan "money laundering" ini dan melaporkan kecurigaan ini kepada pihak yang berkenaan. Mengikut undang-undang, pihak bank sudah tentulah tahu pemilik akaun bank yang melakukan transaksi mencurigakan tersebut - jika tidak mereka sudah tentulah tidak boleh memfailkan laporan SAR.

Fergus Shiel daripada International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) mengatakan bahawa dokumen-dokumen FinCEN yang dibocorkan ini merupakan "rahsia-rahsia yang diketahui bank mengenai aliran tunai duit haram ini ke seluruh dunia".

Beliau turut mengatakan bahawa dokumen itu juga menunjukkan sejumlah besar wang yang terlibat. Dokumen dalam fail FinCEN yang dibocorkan itu merangkumi kira-kira transaksi bernilai $2 trilion dan jumlah tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada SAR yang dihantar sepanjang tempoh tersebut.

Apakah maklumat-maklumat yang ditemui?

1mdb

Terdapat beberapa maklumat atau pendedahan menarik yang ditemui daripada dokumen yang dibocorkan ini. Antaranya adalah Bank HSBC telah membenarkan pelanggannya memindahkan berjuta-juta dolar wang hasil penipuan atau curian di seluruh dunia walaupun setelah mengetahui dari penyiasat dari Amerika Syarikat bahawa skim pelaburan itu adalah satu penipuan.

Turut didedahkan adalah JP Morgan telah membenarkan sebuah syarikat memindahkan lebih dari $1 bilion melalui akaun di London tanpa mengetahui siapa pemilik akaun tersebut. Pihak bank kemudian mendapati syarikat itu mungkin dimiliki oleh seorang penjenayah dalam senarai 10 individu paling dikehendaki FBI.

Seterusnya, pihak Standard Chartered didapati telah membenarkan pemindahan wang tunai untuk sebuah bank Arab selama lebih dari satu dekad setelah akaun pelanggan di sebuah bank di Jordan digunakan untuk membiayai keganasan.

Selain itu, seorang individu yang menjadi buruan kerajaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low telah didapati melakukan transaksi berbilion dolar Amerika melalui transaksi yang telah dilaporkan sebagai mencurigakan oleh beberapa bank Amerika Syarikat antara tahun 2009 dan 2016.

Kebocoran dokumen ini menunjukkan bahawa urus niaga yang mencurigakan antara lelaki yang dipercayai ahli keluarga Jho Low dan perniagaan berkaitan itu dilakukan seawal tahun 2009, tahun ketika syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dibentuk.

Mengapakah pendedahan ini menarik perhatian ramai pihak?

money laundering

Ini bukanlah kali pertama pendedahan sebegini dibuat. Terdapat beberapa kebocoran besar maklumat kewangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini antaranya Panama Papes pada tahun 2016. Dokumen yang bocor dari firma undang-undang Mossack Fonseca itu mendedahkan mengenai bagaimana orang kaya memanipulasi syarikat proksi luar negara untuk mengelakkan mereka membayar cukai keuntungan mereka.

Pada 2014 pula, kebocoran dokumen "LuxLeaks" yang mengandungi dokumen dari firma akauntan PricewaterhouseCoopers yang menunjukkan bagaimana syarikat-syarikat besar menggunakan tawaran cukai di Luxembourg untuk mengurangkan jumlah yang harus mereka bayar.

Kebocoran dokumen FinCEN ini berbeza kerana ia bukan hanya dokumen dari satu atau dua syarikat - ianya merangkumi sejumlah bank dari seluruh dunia. Ia merangkumi pelbagai aktiviti yang mencurigakan yang melibatkan syarikat dan individu dan juga menimbulkan pertanyaan tentang mengapa bank-bank yang melaporkan aktiviti transaksi mencurigakan ini tidak bertindak atas kapasiti mereka sendiri. 

Pihak FinCEN mengatakan, kebocoran itu boleh memberi kesan kepada keselamatan negara AS, kompromi terhadap siasatan yang dijalankan dan mengancam keselamatan institusi dan individu yang memfailkan laporan tersebut. Atas pendedahan ini, pihak FinCEN mengumumkan bahawa mereka bercadang untuk merombak program anti "money laundering" sedia ada.

Kredit:  

  1. BuzzFeed News
  2. Malay Mail
  3. BBC News
  4. The Guardian


Hakcipta iluminasi.com (2017)