najib rosmah suami isteri

Rasanya semua sudah sedia maklum apa yang sedang berlaku kepada beberapa orang pemimpin kanan bekas kerajaan kita, terutamanya Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.

Berdepan dakwaan rasuah serta kleptokrasi melibatkan banyak pihak dari dalam dan luar negara, tak salah rasanya sekiranya penulis menyimpulkan undian orang ramai semasa pilihanraya banyak didorong isu tersebut, sehingga berlakunya pertukaran kerajaan pusat kali pertama dalam sejarah 61 tahun Persekutuan Malaysia.

Bagaimanapun apabila dilihat balik bagaimana 'garangnya' Datuk Seri Najib mempertahankan diri, penulis hendak tak hendak membayangkan juga apakah kemungkinan yang akan berlaku - sekiranya Datuk Seri Najib didapati tidak bersalah oleh mahkamah kelak?

1. Kepercayaan pada kerajaan akan menurun

pm dan tpm berdepan cabaran

Dalam kempen pilihanraya lalu, kerajaan sekarang (ketika itu pembangkang) setiap kali berkempen akan memainkan isu 1MDB sebagai hujah kenapa Barisan Nasional perlu dijatuhkan.

Banyak kenyataan yang bukan lagi menuduh, malahan mengesahkan rompakan telah dilakukan DS Najib dikeluarkan pemimpin kerajaan, terutamanya oleh Perdana Menteri sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Adakah akan ada perubahan persepsi orang ramai pada kerajaan sekiranya DS Najib dibuktikan tidak bersalah hasil perbicaraan?

Penulis berpendapat,kerajaan Pakatan Harapan terjerat dalam isu ini. Kerajaan dilihat 'perlu memastikan' DS Najib didapati bersalah. Itu satu stigma awal.

Bagaimana pula dengan stigma lain yang bakal wujud seperti dakwaan telah berlaku campur tangan kuasa eksekutif ke atas badan kehakiman, seandainya pihak kerajaan tetap berusaha menyabitkan kesalahan ke atas DS Najib?

Apa tindakan kerajaan PH akan seandainya DS Najib didapati tidak bersalah? 

2. Kita akan mempersoalkan integriti SPRM

najib sprm

Sejak hampir berpuluh tahun badan penyiasat korupsi di negara kita ini menghadapi kontroversi demi kontroversi tak kiralah semasa zaman digelarkan BPR sehinggalah ditukar kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia.

Masyarakat sudah sedia maklum pertukaran itu dilakukan semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai pada badan tersebut.

Walau demikian, kes kematian Teoh Beng Hock yang menjadi salah satu peluru kerajaan ketika membangkang dulu sehingga kini menimbulkan tanda tanya integriti SPRM. 

SPRMdidakwa telah berjaya dibersihkan selepas pertukaran kerajaan, namun dengan seandainya DS Najib  didapati tidak bersalah - ini pasti menyebabkan stigma-stigma serta persepsi negatif orang ramai kembali melanda badan ini.

Berkemungkinan besar ramai yang akan mempersoalkan kecekapan SPRM dalam penyiasatan terhadap kes 1MDB. Lebih ramai yang akan mula menilai kembali tahap kebebasan SPRM daripada dipengaruhi kerajaan pemerintah.

3. Dakwaan konspirasi antarabangsa mahu menjatuhkan DS Najib

sarawak report

Dalam banyak hujah penyokong pro DS Najib, mereka kerap kali memainkan hujah pemimpin yang banyak fitnah adalah pemimpin yang benar.

Dari segi logiknya, memang sebegitulah. Bagaimanapun mereka dilihat terus mempersoalkan campur tangan pemilik Sarawak Report serta media-media antarabangsa dalam memastikan DS Najib dijatuhkan sebelum pilihanraya.

Pengakuan yang disebutkan di Daniel Twinning, presiden kepada International Republican Institute bahawa mereka telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak dalam Pakatan Harapan sejak 2002 telah tersebar.

Ini sedikit sebanyak membuktikan wujud campur tangan pihak luar dalam mengawal perjalanan politik negara kita, dengan pihak kerajaan yang membuka jalan pihak luar masuk campur tangan.

4. Syak wasangka kita terhadap mahkamah akan meningkat

hakim kes mahkamah

Sekiranya DS Najib didapati tidak bersalah, sukar sekali untuk diramal apa reaksi masyarakat kita khasnya pengundi Pakatan Harapan terhadap pihak mahkamah.

Politik di Malaysia ini sangat berakar umbi dengan sentimen jatuh-menjatuhkan.  Keputusan yang tidak menyebelahi Pakatan Harapan oleh pihak mahkamah - sudah pasti akan membuatkan banyak pihak tidak puas hati.

Walaupun penulis masih muda, mereka yang melalui zaman reformasi menceritakan tentang persepsi masyarakat terhadap mahkamah ketika itu yang menjunam teruk.

Sebarang keputusan melibatkan seorang bekas pemimpin kerajaan yang didakwa, akan dibantah dengan cara keras melibatkan protes dan rusuhan di jalanan. Mahukah kita kembali kepada pemikiran sebegitu? Pada penulis, kita sepatutnya sudah perlu lebih matang.

Sekiranya DS Najib didapati bersalah, kita terima saja dengan hati terbuka. Seandainya beliau tidak bersalah - letak saja kepercayaan kita pada sistem kehakiman kita.

5. Politik trolling akan mencapai tahap tertinggi

najib razak muka sengih

Jika anda belum tahu, individu kaki troll nombor 1 di Malaysia ketika ini adalah DS Najib sendiri. Troll-troll beliau melalui akaun media sosial kerap kali mendapat reaksi pemimpin tertinggi kerajaan yang dijadikan sasaran beliau.

Selain itu, kegagalan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji-janji manifesto yang bersifat sosialis, seperti penangguhan bayaran balik PTPTN dan pemansuhan tol menjadi isu yang membuatkan orang ramai bertanya ketelusan sebenar kerajaan pemerintah sekarang.

Jika anda mengikuti sesi Parlimen, hujah-hujah berbentuk 'trolling' atau sindiran kerap kali dijadikan peluru pihak pembangkang dalam 'menegur' kerajaan pusat. Kami tidak boleh bayangkan apa yang akan berlaku seandainya DS Najib didapati tidak bersalah.

najib aljazeera temubual

foto kredit TheStar

Besar kemungkinan penulis pun perlu menyembunyikan diri, duduk di dalam rumah diam-diam sebulan dua selepas keputusan mahkamah diumumkan bagi mengelakkan panas telinga kena 'troll' dengan kawan-kawan pembangkang.

Walau apapun, kita professional ya! Rujuk balik ayat akhir poin nombor 4 saya di atas ya! Masalah juga bila sudah beranggapan DS Najib sejak awal memang salah. 

Nak tak nak beliau perlu dibuktikan salah. Besar kemungkinan itu sebenarnya permulaan yang salah



Hakcipta iluminasi.com (2017)