Baru-baru ini, Amanah Saham Nasional Berhad telah mengumumkan penjenamaan semula semua unit amanah Harga Berubah dibawah pengurusannya. Pelaburan seperti ASNB sudah lama mendapat tempat dalam kalangan kita, namun, sekiranya anda bukanlah orang yang arif dalam bidang ini atau masih baru hendak berjinak-jinak dengan ASNB, pengumuman tempoh hari mungkin menimbulkan pelbagai persoalan di fikiran anda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum bercerita secara panjang lebar mengenai penjenamaan semula ini, kita mestilah ambil tahu serba sedikit mengenai produk yang ditawarkan oleh ASNB.

Secara umumnya, ASNB menawarkan dua jenis ‘keluarga’ produk kepada kita, iaitu unit Harga Tetap dan unit amanah Harga Berubah. Terdapat pelbagai lagi produk yang tergolong dalam ‘keluarga’ jenis-jenis produk ini, namun skim pelaburan ASNB yang biasa kita dengar, terutamanya dari mulut orang tua-tua, ialah ASB.

Penerangan Ringkas Unit Harga Tetap dan Unit Harga Berubah

ASB merupakan singkatan kepada Amanah Saham Bumiputera. Seperti namanya, sudah terang lagi bersuluh lah yang akaun ini dikhaskan buat Bumiputera sahaja dan ia merupakan salah satu daripada jenis produk Harga Tetap.

Secara ringkasnya, harga tetap yang dimaksudkan disini ialah harga bagi satu unit tidak akan berubah. Misalnya, sekiranya anda membeli 1 unit pada tahun 2008 pada harga RM1. Sepuluh tahun kemudian atau dua puluh tahun kemudian, sekiranya anda ingin jual atau beli unit amanah anda itu, harga bagi satu unit tetap RM1.

Untuk memahami dengan lebih jelas, anda boleh merujuk mana-mana kaunter PNB/ASB berdekatan anda.

Selain ASB, terdapat pelbagai lagi produk yang tergolong dalam kategori Harga Tetap ini. Antaranya, Amanah Saham 2020, Amanah Saham Malaysia, Amanah Saham Didik, Amanah Saham 1 Malaysia, dan, Amanah Saham Bumiputera 2.

Baiklah, sekiranya anda sudah faham serba sedikit mengenai Unit Harga Tetap, sekarang penulis akan bercerita mengenai unit amanah Harga Berubah pula.

Seperti penceritaan ringkas di atas, unit Harga Berubah, seperti namanya, tidak mempunyai harga yang tetap bagi satu unit. Boleh jadi hari ini anda beli satu unit pada harga RM1, tetapi sepuluh tahun akan datang, berkemungkinan besar harga unit yang bakal anda jual itu lebih murah atau mahal daripada harga seunit anda beli. Contoh produk unit Harga Berubah ialah Amanah Saham Nasional, ASN Equity 2, ASN Imbang 1, ASN Imbang 2, ASN Equity 3, dan ASN Sara 1.

Untuk penjelasan yang lebih teliti, sila rujuk mana-mana kaunter ASNB terdekat.

Penjenamaan Semula Unit Amanah Harga Berubah ASNB

penjenamaan semula asnb 2

Penjenamaan semula yang baru diumumkan ini hanya dikuatkuasakan keatas akaun unit Harga Berubah. Jadi, sekiranya anda hanya memiliki simpanan ASB ataupun mana-mana simpanan unit Harga Tetap, penjenamaan ini tidak akan melibatkan anda.

Menurut laman web ASNB, antara perubahan yang diperkenalkan ialah :

  1. Pengenalan nama-nama baru bagi tabung unit amanah harga berubah-ubah ASNB
  2. Pindaan terhadap kategori tabung unit amanah ASNB
  3. Strategi perumpukan aset tabung unit amanah ASNB
  4. Pindaan terhadap penanda aras prestasi tabung unit amanah ASNB

Perubahan ini bukanlah sekadar suka-suka, sebaliknya disebalik pembaharuan ini, PNB dan ASNB mempunyai hasrat yang besar untuk membaiki kualiti servis mereka. Berikut merupakan tema-tema penjenamaan semula semua tabung amanah unit Harga Berubah. 

penjenamaan semula asnb

Selain daripada pembaharuan dari sudut kualiti kerja dan amanah, tabung-tabung simpanan bagi unit Harga Berubah juga diberi nama dan logo baru yang sesuai dengan ciri-ciri dan tujuannya:

nama baru tabung asnb unit harga berubah

Logo lama yang tidak menarik dan tidak melambangkan fungsi serta ciri-cirinya juga ditukar. Berikut merupakan logo baru bagi tabung-tabung unit Harga Berubah:

logo baru unit harga berubah 1

logo baru unit harga berubah 2

Menurut bahagian soalan lazim di laman web ASNB lagi, penjenamaan semula ini tidak akan menjejaskan nombor akaun sedia ada serta maklumat peribadi pemegang unit ASNB. Sebarang kos tambahan berkaitan penjenamaan semula ini juga TIDAK akan dikenakan sama-sekali. Pihak ASNB juga memberi jaminan bahawa unit pelaburan anda akan kekal selamat dan dilindungi seperti biasa.

Penerangan ringkas ini hanya sekadar perkongsian am buat para pembaca. Sekiranya anda benar-benar ingin tahu dengan lebih lanjut atau mempunyai soalan yang lebih mendalam, anda boleh merujuk laman Facebook ASNB, meghubungi mereka menerusi telefon, atau pergi sendiri ke kaunter atau ejen berdekatan.

 

Sumber:

Amanah Saham Nasional Berhad




Hakcipta iluminasi.com (2017)