Oleh pada 05 Jun 2018 kategori

najib razak ini teknik teknik pengubahan wang haram yang popular

Ketika ini, bekas perdana menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Razak disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang melibatkan syarikat kontroversi milik Kementerian Kewangan yang lalu iaitu 1 Malaysian Development Berhad.

Walaupun namanya menerangkan apa maksudnya, namun masih ramai yang tidak tahu apakah itu pengubahan wang haram, serta teknik-teknik dalam melakukan aktiviti jenayah ini. Jadi, iluminasi.com kongsikan dengan anda mengenai cara popular yang digunakan penjenayah untuk mengubah wang haram.

Apa itu pengubahan wang haram?

jenayah kolar putih pengubahan wang haram

Apabila sejumlah wang itu diperolehi daripada cara yang salah atau perbuatan jenayah seperti pecah amanah, pengedaran dadah atau perjudian haram, wang ini dianggap sebagai "kotor" kerana ia kelihatan mencurigakan jika disimpan secara langsung ke dalam bank atau institusi kewangan lin.

Oleh sebab pemilik wang ini perlu menghasilkan rekod kewangan bagi menunjukkan dari wana datangnya wang tersebut, wang ini mesti "dibersihkan" dengan digunakan melalui beberapa perniagaan yang sah sebelum membuat simpanan.

Dengan itu, istilah "pengubahan wang haram" diberikan kepada proses ini. Disebabkan perbuatan ini dilakukan untuk menyembunyikan wang yang diperoleh secara haram, jadi ia juga menyalahi undang-undang. 

Bidang kuasa yang berbeza sama ada asing atau domestik mempunyai definisi tersendiri mengenai perbuatan apa yang dikatakan sebagai pengubahan wang haram. 

Langkah-langkah pengubahan wang haram 

ini teknik teknik pengubahan wang haram yang popular 2

Pengubahan wang haram dilakukan dengan banyak cara, namun kebanyakannya termasuk dalam 3 langkah biasa, iaitu:

  1. Mendapatkan wang atau memperkenalkannya ke dalam sistem kewangan dengan beberapa cara
  2. Memindahkan atau menyembunyikan sumber wang melalui urusniaga yang kompleks atau berganda
  3. Mengembalikan wang kembali ke dunia kewangan supaya kelihatan sah

Daripada langkah-langkah ini, penyimpanan wang ke institusi kewangan adalah yang paling sukar. Ini kerana bagi menyimpan sejumlah wang yang melebihi had-had tertentu, ia harus dilaporkan oleh institusi kewangan.

Bagi mengelakkan langkah ini, pengubah akan menggunakan wang tersebut melalui perniagaan bermodal tinggi seperti perkhidmatan cek tunai, bar, kelab malam atau kedai serbaneka.

Cara menghindarkan pengesanan pengubahan wang haram

ini teknik teknik pengubahan wang haram yang popular 3

Penjenayah berskala besar biasanya menggunakan teknik yang lebih rumit bagi mengelakkan daripada dikesan. Namun, penjenayah berskala kecil atau pesalah kali pertama kerap menggunakan kaedah yang lebih mudah dalam cubaan mereka bagi mengelakkan pengesanan.

Antaranya termasuklah:

  1. Memindahkan wang dari bank ke bank atau dari akaun ke akaun 
  2. Membahagi wang berjumlah besar ke dalam deposit bank yang lebih kecil
  3. Membeli wang kiriman dalam jumlah wang yang lebih kecil
  4. Membahagi wang tunai ke dalam jumlah yang kecil dan membeli cek juruwang

Sebagai contoh, Abu mencuri sejumlah besar wang tunai daripada syarikatnya dan mahu wang ini tidak dapat dikesan. Jadi daripada membuat satu deposit berjumlah besar ke dalam bank, dia membahagikan wang tersebut dan menyimpan sejumlah kecil setiap minggu. 

Ini bagi memastikan bank tidak melihat transaksinya sebagai mencurigakan kerana ia bukan perkara biasa bagi Abu untuk mendepositkan wang berjumlah besar.

Teknik-teknik pengubahan yang popular

ini teknik teknik pengubahan wang haram yang popular 6

Terdapat banyak teknik pengubahan wang haram, dan ada yang lebih biasa dan menguntungkan daripada yang lain. Antara yang popular termasuklah:

1. Penyeludupan tunai secara besar-besaran 

Ini dilakukan secara langsung dengan menyeludup wang tunai ke luar negara untuk dideposit ke bank-bank luar pesisir atau institusi kewangan lain yang menghormati kerahsiaan klien.

2. Penstrukturan

Juga disebut sebagai "smurfing," adalah kaedah di mana wang tunai dipecah menjadi jumlah yang lebih kecil. Ia kemudiannya digunakan untuk membeli wang kiriman atau item lain untuk mengelakkan pengesanan atau syak wasangka.

3. Pengubahan berasaskan perdagangan

Dilakukan melalui penggelapan dalam invois yang diubah untuk menunjukkan jumlah yang lebih tinggi atau lebih rendah untuk menyamarkan pergerakan wang.

4. Perniagaan yang berintensifkan tunai

Berlaku apabila perniagaan yang menguruskan secara sah dengan jumlah wang tunai yang banyak menggunakan akaunnya untuk mendeposit wang yang diperoleh dari kedua-dua hasil perniagaan sehari-hari dan wang yang diperoleh melalui cara yang tidak sah.

Mereka boleh mendakwa bahawa semua hasil tersebut adalah pendapatan yang sah termasuk mereka yang menyediakan perkhidmatan dan bukannya barangan, seperti kelab malam, pusat cuci kereta, bangunan parkir dan lain-lain. 

5. Shell companies

Shell companies adalah perniagaan atau amanah yang dicipta untuk memegang dana dan mengurus urus niaga kewangan entiti yang lain. Ia digunakan untuk menyamarkan pemilik atau ejen sebenar sejumlah besar wang.

6. Pemilikan bank

Merujuk kepada penggunaan bank yang dimiliki oleh pengubah wang sendiri, yang kemudian mengalihkan dana melalui bank tanpa rasa takut akan disiasat.

7. Pengubahan hartanah

Berlaku apabila seseorang membeli hartanah dengan wang yang didapati secara haram, kemudian menjual harta itu. Ini menjadikannya seolah-olah keuntungan adalah sah.

8. Pengubahan kasino

Melibatkan individu yang masuk ke kasino dengan wang yang diperoleh secara haram. Mereka akan membeli cip dengan wang tunai, bermain untuk sementara waktu, kemudian mendakwa wang itu sebagai kemenangan perjudian.

Rujukan:

1. Legal Dictionary

2. Exeter


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)