Plastik merupakan antara bahan paling penting bagi manusia. Daripada bag plastik sehinggalah kepada perkakasan harian, plastik sering menjadi pilihan kerana ianya jauh lebih murah dan sangat mudah untuk diperolehi.
Walau bagaimanapun, kerana penggunaanya yang terlalu banyak, ia menjadi ancaman utama kepada alam sekitar. Malah, ianya juga turut menjadi ancaman buat hidupan laut. Saban tahun, ribuan haiwan laut mati akibat termakan plastik sampah yang disangkanya makanan.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi para saintis, pengkaji dan pencinta alam sekitar pula, mencari solusi terhadap perkara ini merupakan satu keutamaan. Sebelum ini, para saintis telah menemui sejenis ulat beluncas yang mampu memakan plastik ini dan menguraikannya. Ini merupakan sebuah permulaan yang baik bagi mengatasi masalah pencemaran plastik ini.
Baru-baru ini, terdapat satu lagi penemuan menarik yang mungkin menjadi solusi dalam masalah pencemaran plastik ini. Secara tidak sengaja, sekumpulan saintis menemui sejenis enzim termutasi yang mampu menguraikan plastik dalam masa beberapa hari sahaja.
Penemuan awal oleh saintis Jepun
Segalanya bermula daripada kajian yang dilakukan oleh sekumpulan saintis Jepun di sebuah tapak pelupusan sampah di Jepun pada tahun 2016. Mereka menjumpai sejenis bakteria yang berkemampuan menguraikan ikatan molekular plastik yang paling banyak digunakan di dunia - polyethylene terephthalate atau singkatannya PET.
Kumpulan saintis Jepun ini kemudiannya telah mencuba bakteria tersebut terhadap ratusan jenis plastik jenis PET sebelum menemui satu jenis koloni organisma yang menggunakan plastik tersebut sebagai sumber makanan utama. Bakteria ini diberi nama saintifik Ideonella sakaiensis.
Enzim yang termutasi secara tidak sengaja
Daripada penemuan oleh saintis Jepun itu, sekumpulan saintis yang berasal daripada UK dan Amerika Syarikat menjalankan kajian lanjut mengenainya. Mereka berjaya menemui struktur enzim yang dihasilkan secara semulajadi oleh bakteria tersebut. Kumpulan saintis ini telah membuat sedikit perubahan biologikal padanya. Tanpa sengaja, enzim ini termutasi dan mempunyai kemampuan untuk mengurai plastik PET dengan lebih pantas.
Secara semulajadinya, plastik jenis PET mengambil masa puluhan tahun untuk terurai secara semulajadinya. Kajian lanjut yang dijalankan menunjukkan bahawa bakteria tersebut berjaya menguraikan sepenuhnya plastik berkualiti rendah dalam tempoh hanya 6 minggu.
Enzim yang mempercepatkan proses penguraian plastik ini diberi nama PETase sempena mengambil nama plastik PET yang mampu diuraikannya. Penemuan ini sesuatu yang membanggakan kerana ianya hanya mengambil tempoh yang pendek berbanding agen biologikal lain seperti fungus dan kompos daun.
Gambar dibawah merupakan gambar struktur PET selepas hanya 96 jam yang dapat dilihat menggunakan mikroskop elektron. Kelihatan struktur PET mula terurai oleh enzim PETase.
Seperkara yang menarik lagi mengenai enzim PETase yang termutasi ini adalah kemampuannya untuk mengurai plastik jenis selain PET antaranya polyethylene furandicarboxylate (PEF). Secara semulajadinya, PETase tidak mampu menguraikan plastik jenis PEF ini.
Limitasi Enzim PETase
Penemuan ini masih diperingkat awal. Dengan kemampuan enzim ini untuk termutasi, para saintis percaya banyak lagi yang boleh dibuat terhadap enzim ini bagi meningkatkan keberkesanannya. Buat masa ini enzim ini berupaya untuk mengurai plastik PET yang berkualiti rendah dan kumpulan saintis ini berharap mereka mampu mengubah enzim ini untuk mengurai plastik PET bergred tinggi yang digunakan dalam pembuatan botol plastik.
Selain itu, para saintis optimis enzim ini mampu dipercepatkan lagi kemampuannya untuk menguraikan plastik. Mereka juga berharap mampu untuk menghasilkan enzim ini dalam skala yang besar yang boleh digunakan di pusat pelupusan sampah dan laut.
Kredit: