Dalam perubatan moden, kehilangan gigi merupakan antara kehilangan anggota badan yang dianggap tidak lagi boleh diganti...melainkan dengan gigi palsu. Oleh kerana itulah sebarang bentuk penyelidikan berfokuskan kepada pertumbuhan semula gigi manusia menjadi topik yang mampu menarik perhatian ramai.
Salah satu penemuan yang dianggap paling ke depan dalam membantu menangani masalah ini adalah dengan teknik terbaru saintis menggunakan bahan antibodi ke atas molekul dalam tubuh kita yang dilabelkan sebagai USAG-1 untuk merangsang pertumbuhan gigi baru.
BESARKAN TEKS A- A+
Betul ke penemuan ini benar-benar berkesan dan bila agaknya teknik ini boleh diperkenalkan secara umum? Jom kita belajar.
Idea terawal membangunkan semula gigi yang hilang
Semua perkara bermula sebagai sebuah idea dan Idea asas di sebalik penyelidikan ini bermula selepas satu kumpulan saintis dari Jepun, memulakan kajian untuk mencari cara yang selamat dan berkesan merangsang pertumbuhan semula gigi manusia.
Penyelidik sebelum itu telah mengetahui kebolehan beberapa haiwan seperti ikan dan reptilia, yang mampu menumbuhkan gigi baru sepanjang hayat mereka. Namun bagi kita manusia, kita semua tahu kita hanya mempunyai dua set gigi sepanjang hayat kita - gigi susu dan gigi kekal.
Apa yang tidak kita tahu, sebenarnya ada tunas ketiga gigi pada setiap manusia dan kajian ini dirangka bertujuan untuk mengaktifkan semula tunas gigi ini yang tersembunyi di bawah gusi manusia.
Bagaimana kaedah ini ditemui?
Penyelidikan berkenaan pertumbuhan semula gigi menggunakan gen USAG-1 telah dijalankan di Jepun, mendapati bahawa dengan menyekat protein USAG-1 atau Uterine Sensitization Associated Gene-1 dapat merangsang pertumbuhan gigi baru pada tikus dan ferret.
Penemuan ini hasil daripada kajian panjang yang bermula sejak tahun 2005. Apabila sejenis antibodi diperkenalkan ke dalam tubuh bahan kajian yang direka untuk menyekat interaksi USAG-1 dengan protein lain, berlaku perubahan pada badan yang merangsang pertumbuhan tulang dan gigi....walaupun gigi itu tidak lagi ada.
USAG-1 adalah protein yang menghalang pertumbuhan gigi, mampu berinteraksi dengan protein seperti BMP (Bone Morphogenetic Protein) yang penting untuk perkembangan gigi.
Dengan menyekat USAG-1 secara langsung, penyelidik mendapati mereka dapat mengaktifkan semula proses pertumbuhan gigi yang biasanya tidak berlaku pada manusia dewasa.
Berapa lama lagi sebelum kajian ini mendatangkan hasil?
Penyelidikan mengenai penggunaan antibodi untuk menyekat USAG-1 telah menunjukkan hasil yang positif dalam ujian haiwan. Ujian klinikal pada manusia telah dimulakan pada tahun 2024 dan jika semuanya lancar, ubat ini dijangka boleh diedar untuk kegunaan umum menjelang tahun 2030.
Setakat ini, ujian klinikal yang dijalankan melibatkan orang dewasa yang kehilangan sekurang-kurangnya satu gigi molar dan kanak-kanak yang mengalami kekurangan gigi kongenital.
Seperti mana-mana ubat baru yang belum terbukti keberkesanannya, terdapat beberapa kesan sampingan yang perlu dipertimbangkan sebelum kita terlalu excited nak gantikan gigi kita.
Dalam kajian lebih awal, beberapa jenis antibodi yang digunakan untuk menyekat USAG-1 menyebabkan kadar kelahiran dan kelangsungan hidup yang rendah pada tikus. Secara tak langsung ini menunjukkan BMP penting untuk pertumbuhan semula jadi seluruh badan makhluk hidup.
Walau bagaimanapun, satu antibodi yang dianggap berpotensi tinggi didapati hanya mengganggu interaksi USAG-1 dengan BMP tanpa kesan besar, membuktikan wujud hubung kait di antara BMP sebagai pemberi isyarat, dalam menentukan jumlah bilangan gigi pada tikus.
Ujian lebih lanjut pada tikus ferret turut menunjukkan hasil yang sama seterusnya ujian antibodi ini pada haiwan lain seperti babi dan anjing dijalankan bagi menguji keberkesanannya.
Pada bulan September 2024, fasa ujian manusia telah dimulakan...jadi kita sama-samalah tunggu apa hasilnya.