Oleh pada 28 Jan 2019 kategori

Sepanjang sejarah manusia, telah banyak virus dan penyakit berjangkit yang telah membunuh manusia. Daripada banyak-banyak penyakit ini, penyakit cacar (smallpox) dan Rinderpest telah diisytiharkan telah pupus sepenuhnya oleh pihak Organisasi Kesihatan Dunia (WHO - World Health Organization).

Selain 2 penyakit ini, terdapat beberapa penyakit yang diisyhtiharkan hampir pupus oleh WHO dengan pelbagai langkah kesihatan seperti program pengambilan vaksin dan banyak lagi. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi saintis yang bekerja dalam bidang virologi, sampel-sampel virus yang menyebabkan pelbagai penyakit ini sentiasa menjadi minat mereka. Kebiasaannya mereka akan mengkaji virus-virus ini supaya boleh mencipta vaksin atau antibiotik yang boleh melawan penyakit ini.

Selain itu, sesetengah ahli virologi juga mempunyai minat untuk mencipta virus dan bakteria baru. Virus atau bakteria baru ini kebiasaannya dicipta daripada virus sedia ada. Ini membolehkan mereka mencipta vaksin atau virus yang lebih kuat bagi melawan virus yang sedia ada sekiranya virus-virus lama ini termutasi pada masa hadapan.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 virus yang berjaya dicipta oleh para saintis  di dalam makmal. Menariknya, ada sesetengah virus ini dicipta secara tidak sengaja ketika para saintis melakukan kajian di makmal. Kesemua virus yang dicipta ini juga adalah untuk tujuan kajian semata-mata dan bukanlah bertujuan untuk mewujudkan wabak penyakit baru kepada kesemua hidupan di dunia.

1. Horsepox

horsepox

Sekumpulan saintis dari University of Alberta telah berjaya mencipta virus horsepox, sejenih virus pembunuh yang mempunyai kemampuan membunuh seperti smallpox. Walaupun bagaimanapun, tidak seperti smallpox yang boleh membunuh manusia, virus horsepox ini hanya boleh membunuh kuda.

Apabila virus ini mula didedahkan kepada umum, sesetengah pihak khuatir bahawa ianya akan disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk menghasilkan senjata biologi. Walau bagaimanapun, kumpulan saintis ini mendakwa penghasilan virus horsepox ini hanyalah bertujuan untuk menambah baik vaksin smallpox yang sedia ada.

2. Mousepox

mousepox

Beberapa tahun lalu, sekumpulan saintis dari Australian National University and the Commonwealth Scientific and Industrial Research Organization (CSIRO)  telah mencipta virus Mousepox secara tidak sengaja. Virus ini berada dalam keluarga yang sama dengan virus smallpox dan horsepox.

Kumpulan saintis ini pada mulanya hanya mahu mencipta virus untuk mengawal kelahiran tikus. Tikus yang diberikan suntikan ini sepatutnya tidak akan terkesan daripada suntikan ini. Malangnya, virus mousepox ini telah merosakkan sistem imunisasi tikus-tikus ini dan membunuh mereka dalam masa 9 hari.

Virus mousepox yang dicipta ini juga sangat merbahaya kerana mempunyai ketahanan terhadap vaksin. Kumpulan pengkaji ini sangat takut akan penemuan ini dan tidak mahu menerbitkan laporan penuh kajian yang dilakukan. Malah, mereka turut mendapatkan nasihat daripada pihak tentera Australia sama ada penemuan ini patut diterbitkan atau tidak.

3. SARS 2.0

sars

Severe acute respiratory syndrome (SARS) merupakan satu virus yang sangat merbahaya dan telah membunuh ramai manusia. Daripada lebih 8000 orang yang dijangkiti, lebih 700 orang telah terbunuh ketika wabak SARS pada tahun 2002 dan 2003.

Sekumpulan saintis daripada University of North Carolina pula telah mencipta virus yang diberi nama SARS 2.0. Virus ini dicipta dengan melakukan mutasi pada virus asal SARS dengan menambah beberapa jenis protein pada virus SARS yang asal.

Kumpulan ini mempertahankan ciptaan mereka dengan mengatakan bahawa virus SARS mampu bermutasi pada masa hadapan dan dengan ciptaan SARS 2.0, mereka dapat melakukan persiapan bagi mencipta vaksin yang lebih kuat.

4. Hibrid MERS-Rabies

virus hibrid mers rabies 737

Rabies adalah sejenis virus pada anjing yang boleh menjangkiti manusia melalui air liur anjing. Sementara itu, Middle East Respiratory Syndrome (MERS) pula adalah virus yang berasal dari kelawar dan berpindah ke unta. Kemudian, virus ini berpindah pula ke manusia.

Kerana virus MERS inilah suatu ketika dahulu kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak membenarkan para jemaah yang mengerjakan umrah dan haji untuk melawat ke ladang unta di Arab Saudi. Virus hibrid MERS-Rabies terhasil daripada idea untuk mencipta vaksin yang boleh melawan kedua-dua jenis virus ini.

Virus ini dihasilkan dengan mencampurkan beberapa jenis protein pada virus MERS kepada virus rabies. Virus baru ini bertujuan untuk menghasilkan virus yang mampu melawan kedua-dua penyakit ini dan diharapkan vaksin yang dicipta mampu digunakan oleh manusia dan unta.

5. Polio tiruan

virus polio

Menurut WHO, Polio adalah salah satu penyakit yang hampir pupus. Melalui program pengambilan vaksin diseluruh dunia, dianggarkan 80% kanak-kanak sudah mempunyai imunisasi terhadap penyakit ini. Sementara itu, sekumpulan saintis daripada State University of New York telah berjaya mencipta virus Polio tiruan yang mempunyai kemampuan sama seperti virus polio semulajadi.

Virus Polio yang dicipta di makmal ini telah menimbulkan kontroversi dalam kalangan saintis. Kumpulan pengkaji ini mengatakan mereka berjaya mencipta virus baru tersebut berdasarkan kod yang diambil daripada sebuah pangkalan data yang boleh diakses kepada sesiapa sahaja.

Sesetengah saintis risau ianya akan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Walaupun polio hampir pupus diseluruh dunia, para saintis percaya semua kanak-kanak masih perlu divaksinkan memandangkan virus ini boleh dicipta kembali di makmal dan disebarkan semula kepada orang awam.

Kredit:

  1. Vice
  2. NewScientist
  3. MedicalXpress
  4. NPR



Hakcipta iluminasi.com (2017)