Bayangkan jika anda terkandas di mana-mana apabila bateri telefon anda mati. Anda ingin membuat panggilan penting tetapi tidak mempunyai pengecas ataupun bank kuasa. Apa nak buat? Ludah sajalah pada bateri.

Mungkin itulah yang ingin dibuktikan oleh sekumpulan penyelidik dari Binghamton University di New York. Mereka ingin membangunkan sebuah bateri yang dijanakan kuasanya oleh air liur.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mereka memfokuskan penyelidikan kepada sel-sel bahan bakar mikrob (MCFs) yang boleh mengalirkan arus elektrik melalui bakteria. Penolong Profesor Sains Komputer dan Elektrik Binghamton, Professor Seokheun Choi yang mengetuai penyelidikan itu telah memberikan tumpuan dalam mewujudkan sumber kuasa kecil bagi peralatan kesihatan di kawasan pedalaman yang mungkin tiada bekalan tenaga elektrik berterusan.

Menurut Profesor Seokheun, penjanaan kuasa mikro amat diperlukan terutama bagi pusat diagnostik di negara membangun. Kebiasaannya, aplikasi kuasa ini hanya memerlukan beberapa puluh mikrowatt sahaja yang boleh menjana mikroelektrik selama beberapa minit bagi peranti di pusat-pusat kesihatan itu. Walau bagaimanapun, bateri komersial atau kaedah penjanaan tenaga yang lain mempunyai kos yang tinggi selain menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar.

Bateri yang menggunakan kuasa bakteria ini diasaskan menggunakan kertas. Penyelidik membina MFCs menggunakan sel yang tidak aktif dan telah kering melalui pembekuan. Sel-sel ini mampu menghantar tenaga elektrik keluar dari dinding sel mereka yang dipanggil exoelectrogenic. Sel-sel exoelectrogenic ini akan dibasahkan melalui air liur yang akan mampu membangkitkan keupayaannya menjana tenaga dalam masa hanya beberapa minit.

bateri diperbuat daripada kertas dan bakteria

Kini, ketumpatan kuasa yang diperolehi pasukan penyelidik ini hanyalah beberapa mikrowatt bagi setiap sentimeter persegi. Walaupun 16 sel bahan bakar mikrob yang disambungkan pada satu helaian kertas telah berjaya menghasilkan nilai arus dan voltan yang dikehendaki untuk menyalakan satu LED, kajian penambahbaikan kuasa masih perlu dibuat untuk aplikasi elektronik lain yang memerlukan tenaga lebih besar.

Langkah seterusnya dalam penyelidikan Profesor Seokheun ini adalah untuk meningkatkan ketumpatan kuasa dengan mendapatkan lebih banyak watt bagi setiap inci persegi.

jangan meludah merata rata geli pengotor

Mungkin selepas ini anda yang mempunyai hobi suka meludah merata-rata tu boleh gunakan air liur ke arah kebaikan. Kalau kawan tak ada bateri pun anda boleh tolong ludahkan. Tapi buat masa sekarang, janganlah meludah merata-rata. Gelilah.

Rujukan:Eureka Alert




Hakcipta iluminasi.com (2017)