Kredit foto: Instagram @iqramdinzlyori

Menghabiskan 10 malam terakhir Ramadan di Pantai Timur, aktor Iqram Dinzly mengaku beliau kembali menjumpai dirinya yang sebenar.

Menyifatkan kehidupan baharunya lebih bersemangat, pelakon kontroversi ini mendedahkan, sepanjang keberadaannya di Kelantan serta Terengganu, beliau berpeluang bertemu beberapa individu berilmu untuk bertukar pandangan.

"Alhamdulillah, kembara di dua negeri itu pada akhir Ramadan lalu memberi nafas baharu dalam hidup. Saya temui semula diri yang dahulu dan kembali menjalani hidup seperti manusia normal lain.

"Di Kelantan, saya bertemu mereka yang berilmu untuk bertukar pandangan. Saya juga ambil peluang untuk menggali ilmu perniagaan disebabkan saya turut menjalankan bisnes sendiri. Mungkin ini yang dikatakan rahmat bulan mulia.

"Di Terengganu pula, saya memenuhi undangan untuk menjayakan sebuah acara. Di situ, saya bertemu semula peminat selepas lama menyepikan diri. Itu yang membuatkan saya kembali bersemangat untuk memulakan hidup baharu," katanya memetik laporan BH Online.

Akhir tahun lalu, Iqram mencuri tumpuan ramai apabila terbit dengan beberapa siri video yang memaparkan perlakuan pelik hingga menyinggung sensitiviti netizen.

Perilaku susulan kematian bapanya itu, menimbulkan kecaman masyarakat, dengan sebahagian komen mendakwa pelakon itu tidak lagi waras.

saya kembali menjalani hidup seperti manusia normal iqram dinzly 2

Kredit foto: Instagram @bawaabata.merebucks

"Saya tidak gila, cuma bersikap gila -gila. Alhamdulillah, semuanya sudah kembali seperti asal dan ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan lalu," katanya.

Mengenai perkembangan bisnes pakaian di bawah jenama Prinxchiqy Dinzly yang diperkenalkan sebelum ini, Iqram berkata, tumpuannya beralih buat seketika.

"Gaya pakaian itu bukan merapu atau aneh, sebaliknya ia adalah terjemahan karakter fantasi yang ingin saya realisasikan dalam dunia seni. Kesedaran ini wujud atas gerak hati sendiri, bukan perancangan yang sengaja disusun untuk meraih perhatian," katanya yang mendiamkan dahulu perniagaan itu. 

Beliau turut menyatakan hasrat untuk kembali mewarnai dunia seni yang ditinggalkan sekiranya diberi peluang.

"Saya tahu, peminat turut merindui lakonan saya. Tetapi, apa yang berlaku dahulu membuatkan ramai menyangka saya sudah tidak waras menyebabkan peluang berlakon turut menjauh. Ada rezeki saya mahu berlakon semula," katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)