Kredit foto: Instagram @iqramdinzlyori

Pelakon Iqram Dinzly, 37, akui terkesan dengan kecaman diterima rentetan kehidupan selama lapan bulan sebelum ini yang disifatkannya umpama sedang terperangkap dalam dunia sendiri.

Redha caranya tidak diterima umum, pelakon Evolusi KL Drift itu mendedahkan, dia yang menerima tempias atas perlakuan yang turut sama mengaitkan nama keluarga dan reputasi kerjaya itu, bagaimanapun lantas kembali mencari diri pada akhir 10 Ramadhan lalu.

Ketika landasan hidupnya dikatakan menyimpang daripada ajaran Islam sebenar, Iqram merasakan netizen tidak memahami laluan yang sedang ditempuhinya.

"Saya tidak kisah apabila dianggap sudah tidak siuman kerana hanya saya tahu, apa yang saya rasa. Apabila tersedar, saya malu dengan perbuatan sendiri. Saya bukan lagi Iqram Dinzly yang dulu.

"Terdetik juga di hati, apa sebenarnya yang saya lakukan? Saya terperangkap dan terpinga-pinga kerana tidak percaya dengan apa yang saya buat.

"Cukuplah, saya tidak mahu buat kerja gila lagi. Dulu, saya fikir boleh berkongsi apa yang dilalui dengan khalayak, tetapi saya silap. Orang sekeliling tidak faham apa yang saya rasa," katanya kepada BH Online.

Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu turut mengatakan, dia sekadar menjadi diri sendiri ketika persepsi buruk masyarakat sewaktu itu terus membelenggu hingga mencetuskan impak besar.

permohonan maaf iqram dinzly 2

Kredit foto: Instagram @iqramdinzlyori

"Saya tidak lagi menjaga menjaga penampilan diri kerana mahu hidup ringkas. Saya lupa, saya adalah selebriti. Saya tidak mampu melawan persepsi orang luar apabila diri tidak lagi terurus seperti ketika saya dikenali.

"Saya tidak hidup sendirian. Saya ada mama yang baru menjadi balu, selain nama baik keluarga yang perlu dijaga. Saya percaya doa mama, Lalitol Akmar Mohamed Shaffie, 68, membuatkan saya kembali ke pangkal jalan.

"Selama ini, saya lihat mama 'okay' dan sering menegur dengan cara baik. Saya tidak perasan dia sebenarnya susah hati. Perbuatan saya memberi kesan sangat besar kepadanya dan keluarga. Mama sangat tabah kerana ketika diuji kehilangan suami, terpaksa pula berdepan dengan anak yang berperangai pelik dan gila.

"Saya sudah tidak sanggup melihat wajah mama yang sugul dan tidak ceria. Saya mahu menjadi Iqram Dinzly dulu yang sentiasa membahagiakan mama," katanya.

Sehubungan dengan itu, berjanji demi keluarga, Iqram memohon maaf kepada umum kerana telah menyentuh sensitiviti mereka melalui perlakuan lalu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)