mufti mahu berjumpa ini kenyataan balas iqram dinzy

Kredit foto: Instagram Iqram Dinzly

Susulan kenyataan dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, aktor Iqram Dinzly merakamkan ucapan terima kasih kerana masih ada pihak yang prihatin terhadapnya.

Iqram atau nama sebenarnya, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 36, berkata, sikap mufti itu wajar dicontohi oleh rakyat Malaysia.  

“Sebelum ini, saya kesal dengan sikap segelintir pihak yang hanya tahu mengkritik dan menghentam. Ada juga yang memberikan nasihat di laman sosial tetapi cara mereka tidak kena dan terlalu kasar,” katanya memetik portal Harian Metro.

Iqram mengulas kenyataan Zulkifli yang memintanya mengendahkan kecaman yang diterima di media sosial kerana khuatir pemikirannya akan lebih terganggu.

Malah, Zulkifli turut melahirkan hasrat untuk bertemu Iqram secara empat mata di pejabatnya yang terletak di Putrajaya.

Sementara itu, Iqram menyambut baik pelawaan Zulkifli, namun memohon agar diberi tempoh masa.

“Saya menghormati tawaran beliau dan bersedia bertemu tetapi bukan dalam waktu terdekat kerana ibu saya masih dalam edah.

“Saya tidak boleh berjauhan dengan ibu buat masa ini,” katanya.

Di kesempatan yang sama, Iqram menzahirkan ucapan terima kasih kepada saudara-mara dan rakan artis yang tidak menghakimi situasinya sekarang.

Sebelum ini, Iqram berasa kecewa apabila mendapati aplikasi Live Video di Instagram miliknya disekat oleh laman sosial terbabit.

“Saya yakin ada yang menyimpan hasad dengki dan melaporkan koleksi video Live saya sebelum ini sehingga disekat pihak Instagram.

“Namun, saya tidak menuduh sesiapa dan menganggap ini sebagai cabaran dalam hidup,” katanya.

Sumber berita: Harian Metro 

tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)