Aktor Iqram Dinzly menerima hadiah dua ekor arnab sewaktu menemui Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, petang Sabtu.

Selain itu, Zulkifli turut bermurah hati memberikan beberapa buku tulisannya kepada Iqram dan aktor Johan As'ari yang menemaninya dalam pertemuan tersebut.

"Setiap tanda ingatan yang kami berikan, sebenarnya ada hasrat tertentu yang ingin disampaikan untuk Iqram dan Johan.

"Kami hadiahkan beberapa buku tulisan kami kepada Iqram dan Johan untuk dibaca, dihayati dan diamalkan kandunganya.

"Begitu juga jubah dan kopiah supaya terus istiqamah dan bersemangat dalam ibadah. Tidak lupa dua ekor arnab yang comel kami hadiahkan kepada Iqram, supaya beliau dapat meneruskan hobinya dengan lebih gembira dan tenang," tulis Zulkifli dalam kenyataan di Instagram pada Sabtu.

Zulkifli mengatakan pertemuan mereka itu mampu merungkai isu sebenar yang dihadapi dalam kehidupan Iqram. 

Beliau merakamkan penghargaan atas kesudian dua pelakon itu hadir untuk berbincang dengan lebih dekat.

"Kami amat memahami akan situasi yang dihadapi dan kami namakan pertemuan pada kali ini lebih kepada kunjungan serta taaruf antara kami dari pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kedua-duanya.

"Sesungguhnya pertemuan yang dibicarakan dari hati ke hati boleh mengungkai sejumlah besar lingkaran kemelut kehidupan yang dihadapi," ujarnya.

Di kesempatan yang sama, Zulkifli mahu Iqram sentiasa mendekati Allah SWT.

"Kami yakin disana terdapat cahaya di hujung terowong kehidupan tatkala kita berpegang kepada tali Allah dengan penuh keimanan disamping makrifah ilmu dengan sedalamnya. Begitu juga kita sulami kehidupan dengan takwa dan taat.

"Kami berdoa agar kita semua sentiasa diberi taufiq dan dihidayahkan oleh Allah SWT," katanya.

Sebelum ini, pada 27 Disember lalu, Zulkifli terlebih dahulu menyatakan niatnya untuk berjumpa Iqram di pejabat kerana ingin berkenalan dengan lebih dekat, selepas aktor itu menjadi tular di media sosial angkara berkelakuan pelik.

mufti beri iqram dinzly arnab 2

mufti beri iqram dinzly arnab 3

mufti beri iqram dinzly arnab 4

mufti beri iqram dinzly arnab 5

Kredit foto: Instagram Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)