bandar hiroshima ranap akibat bom atom amerika syarikat 604

Peperangan adalah satu mimpi ngeri yang tidak dapat dielakkan. Ia tidak dapat dinafikan menyebabkan kehancuran yang binasa kepada umat manusia.

Sehingga kini, tiada apa yang lebih dahsyat daripada Perang Dunia Kedua yang berlaku selama 6 tahun 1 hari dari tahun 1939 hingga 1945.

Antara babak-babak paling membinasakan ketika perang ini adalah pengeboman dua bandar Jepun iaitu Hiroshima dan Nagasaki oleh tentera Amerika Syarikat

iluminasi.com kongsikan satu kisah yang menyedihkan akibat daripada pengeboman ini.

Pengeboman bandar Hiroshima 1945

sadako sasaki bersama abangnya masahiro

Ketika bom atom dilepaskan dari udara oleh pesawat tentera Amerika Syarikat ke atas bandar Hiroshima pada tahun 1945, Sadako Sasaki baru berusia 2 tahun. Dia berada 2 kilometer daripada bom tersebut meletup.

Abang Sadako, Masahiro Sasaki menceritakan detik-detik bandar mereka diletupkan oleh bom atom. Pagi itu merupakan pagi yang indah dengan langit biru cerah tanpa awan.

Bapanya sudah meninggalkan rumah ke tempat kerja dan neneknya memangil kedua-dua Masahiro dan Sadako untuk sarapan pagi.

Ketika mereka duduk di atas tikar tatami berhampiran dapur dan mula untuk makan, tiba-tiba letupan berlaku. "Kami terperosok ke dinding. Saya terperosok ke bawah meja ditutupi dengan tikar tatami," kata Masahiro.

Masahiro dan neneknya masih berada di dalam rumah dan tidak cedera, namun Sadako hilang. Sadako telah terpelanting keluar rumah dan ditemui terduduk di atas kotak di halaman rumah. 

sadako sasaki ketika berusia 5 tahun 609

Dengan keadaan bajunya yang terkoyak dan terbakar, Sadako tercengang namun juga tidak cedera. "Tiada siapa pun tahu bagaimana Sadako boleh sampai ke situ," kata Masahiro.

Jiran-jiran Sadako termasuk dalam lebih 70,000 orang yang mati serta-merta akibat kesan daripada bom tersebut, namun dia langsung tak mengalami apa-apa kecederaan, atau sekurang-kurangnya tiada kecederaan pada bahagian luaran badan.

Sadako kemudiannya membesar dengan sihat dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Dia sangat aktif dan sukan bersukan, serta merupakan pelari terpantas di kalangan rakan-rakan sekolahnya.

Semua ini dijalani dengan baik olehnya sehingga Sadako berusia 12 tahun, 10 tahun selepas insiden pengeboman tersebut berlaku.

Walau bagaimanapun, pada satu hari selepas pertandingan lari berganti-ganti yang penting di mana Sadako membantu pasukannya memang, dia berasa sangat pening dan letih.

sadako sasaki dan rakan sekolahnya

Tak lama kemudian, pening kepala itu hilang membuatkan Sadako beranggapan ia kesan daripada larian pecut tersebut. Namun keadaan tenang itu tidak berakhir di situ. 

Selepas serangan keletihan dan sakit kepala itu, Sadako mengalami insiden yang sama dengan lebih kerap.

Pada satu ketika Sadako berasa tersangat pening sehinggakan dia terjatuh dan tak mampu untuk bangun.

Disahkan menghidap leukemia

sadako sasaki mangsa pengeboman bandar hiroshima 546

Rakan sekolahnya memaklumkan kepada guru dan ibu bapanya kemudian membawa Sadako ke Hospital Palang Merah untuk memeriksa keadaannya.

Diagnosis oleh doktor memberitahu sesuatu yang mengejutkan iaitu Sadako menghidap penyakit leukemia, sejenis kanser darah.

Tiada siapa mampu mempercayai bahawa ia benar-benar berlaku. Pada ketika itu, leukemia digelarkan sebagai "Penyakit Bom-A".

Hampir kesemua mereka yang menghidap penyakit ini berakhir dengan kematian, membuatkan Sadako tersangat risau dan takut.

Dia ingin kembali ke sekolah seperti biasa, namun terpaksa tinggal di hospital di mana dia menghabiskan masa dengan menangis dan terus menangis.

Lagenda origami bangau

lagenda bangau kertas sadako sasaki

Tak lama kemudian, rakan baiknya, Chizuko melawat Sadako dan membawa origami. Chizuko memberitahunya tentang sebuah kisah lagenda mengenai burung bangau origami, yang mana merupakan burung suci di Jepun dan hidup selama 100 tahun.

Dan jika orang yang sakit menghasilkan 1,000 burung bangau kertas, orang itu akan sembuh daripada penyakit. Selepas mendengar cerita lagenda itu, Sadako memutuskan dia ingin menghasilkan 1,000 burung bangau dengan harapan dia akan sembuh.

Ketika itu kertas amat terhad di hospital dan Sadako menggunakan setiap keratan kertas yang ditemui untuk menghasilkan origami. Dia juga sering meminta kepada pesakit lain bekas balutan hadiah yang mereka terima, atau menggunakan label ubat.

origami yang dihasilkan

Sementara itu, keluarga Sadako sangat bimbangkannya. Mereka kerap melawatnya di hospital menemaninya dan membantu melipat origami bangau.

Selepas menghasilkan 500 origami bangau, Sadako berasa semakin baik dan doktor memberitahu dia boleh pulang untuk seketika.

Namun pada penghujung minggu pertama Sadako di rumah, rasa letih dan pening kepala kembali dirasakan memaksanya untuk pulang ke hospital.

Pemergian Sadako Sasaki

sadako sasaki meninggal dunia akibat penyakit leukemia

Masih berharap untuk sembuh, Sadako meneruskan usaha melipat origami walaupun dia berada dalam kesakitan.

Tak lama selepas itu, pada 25 Oktober 1955, ahli keluarganya berdiri di samping Sadako yang terlantar di atas katil, melihatnya "tidur" untuk selamanya dan tak mungkin akan bangun lagi.

Ketika itu, Sadako hanya menyiapkan 644 bangau kertas. Semua orang yang mengenalinya sangat terkesan dan bersedih di atas pemergian Sadako walaupun sudah dijangkakan.

39 orang daripada rakan sekelas Sadako turut bersedih memutuskan untuk menubuhkan kelab bangau kertas sebagai penghormatan kepadanya.

Segalanya tersebar dengan begitu pantas membawa kepada pelajar-pelajar daripada 3,100 buah sekolah dan dari 9 buah negara asing mendermakan wang untuk tujuan tersebut.

Pembinaan Monumen Keamanan Kanak-Kanak

upacara perasmian monumen keamanan kanak kanak di hiroshima pada tahun 1958

Pada Mei 1958, hampir 3 tahun selepas kematian Sadako Sasaki, wang yang terkumpul sudah cukup untuk membina monumen bagi mengingati mangsa bom atom ini.

Monumen tersebut dinamakan sebagai "Children's Peace Monument" dan dibina di tengah-tengah Taman Keamanan Hiroshima, berhampiran dengan lokasi di mana bom atom tersebut dilepaskan.

Ramai kanak-kanak yang membantu menjadikan monumen itu sebagai realiti mengambil bahagian dalam upacara tersebut.

3 pelajar termasuk adik lelaki Sadako, Eiji Sasaki menanggalkan pita pelekat berwarna merah dan putih daripada arca tersebut bagi menandakan penyempurnaannya, sambil lagu Seventh Symphony oleh Beethoven dimainkan.

Pada monumen tersebut dipasangkan satu loceng kecil yang disumbangkan oleh Dr. Yukawa bertulis "Seribu Bangau Kertas" di bahagian hadapan dan "Keamanan di Dunia dan di Syurga".

monumen keamanan kanak kanak di hiroshima jepun sempena sadako sasaki

Loceng itu dibunyikan dan kedengaran sehingga ke lokasi terletaknya Kubah A-Bom, juga dibina sebagai peringatan kepada peristiwa itu.

Golongan dewasa yang menyokong kumpulan tersebut kemudiannya menubuhkan "Kelab Bangau Kertas" pada Jun 1958.

Sehingga kini, kanak-kanak dari seluruh dunia masih menghantar bangau origami ke Hiroshima untuk diletakkan di bawah monumen peringatan Sadako itu.

Dengan berbuat demikian, mereka sama-sama berharap perkara yang sama seperti yang diukir di bawah patung Sadako iaitu:

"Ini tangisan kami. Ini doa kami. Keamanan di Dunia"

Rujukan:

1. Hiroshima International School

2. My Hero

3. Huffington Post


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)