Oleh pada 09 Aug 2019 kategori

Kredit foto: Instagram @luqmnnfaiz & Instagram @astrogempak

      

Ketiadaan Luqman Faiz dalam senarai peserta Big Stage musim kedua akhirnya terjawab.

Penyanyi muda berusia 19 tahun itu mendedahkan, dia terpaksa menolak tawaran program realiti berkenaan kerana ingin memberikan tumpuan terhadap pengajian di sebuah universiti awam.

"Ikutkan memang dari musim pertama saya berharap untuk dipilih sertai Big Stage tapi masa itu tak ada rezeki lagi.

"Tahun ini saya dapat tawaran sertai program itu... kawan-kawan, media dan peminat menyokong tapi saya terpaksa tolak kerana nak memberi tumpuan kepada pelajaran.

"Saya ikut nasihat ibu yang mahu saya fokus satu-satu perkara, saya masih muda dan sekarang ini nereka mahu saya lebihkan pada pelajaran," katanya kepada Mstar.

Big Stage musim kedua yang ke udara mulai 18 Ogos menampilkan persaingan 12 bakat baharu yang mendapat jolokan 'budak baru nak up' (BBNU).

Mencipta kelainan, penganjuran tahun ini dimeriahkan kehadiran penyanyi dari Indonesia, Brunei, Thailand dan Korea Selatan.

Barisan peserta tempatan terdiri daripada Fieya Julia, Kucaimars, Sheryl Shazwanie, Neeta, Santesh, Irfan Haris, Syada Amzah dan Adzrin.

Manakala, penyanyi luar negara yang terlibat ialah Aziz Harun dari Brunei, Chaleeda (Thailand), Dinda Permata (Indonesia) dan Jang Han Byul (Korea Selatan).

Dalam pada itu, Luqman akui berasa cemburu dengan penglibatan rakan seangkatan dalam pertandingan realiti popular itu.

Begitupun, dia menyedari ada rezeki yang lebih baik telah diaturkan Allah SWT buatnya pada masa hadapan.

     

konsert big stage musim 2

Kredit foto: Instagram @luqmnnfaiz

       

"Sejujurnya ada lah sedikit rasa cemburu bila tengok kawan-kawan masuk pertandingan itu.

"Program begini merupakan platform terbaik untuk kembangkan bakat... mungkin rezeki saya bukan di situ tapi di tempat lain.

"Apa-apa pun saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta dan berharap peminat akan terus menyokong industri muzik tanah air," katanya.

Bercerita perkembangan terkini, penyanyi Kepuraanmu ini sedang mempromosikan single terbaharu berjudul Takhta Cinta.

Dia juga terlibat dalam bidang perniagaan menerusi koleksi tudung berjenama The Daily Skarfs.

     

Sumber berita: Mstar

     




Hakcipta iluminasi.com (2017)