Subway adalah syarikat rangkaian makanan segera yang paling pantas berkembang di dunia. Diasaskan di Connecticut, Amerika Syarikat pada tahun 1965, syarikat ini sehingga tahun 2010, mempunyai lebih 1000 kedai berbanding McDonald's. Pada tahun 2017, Subway mempunyai lebih daripada 44,600 francais restoran di seluruh dunia.
Bagaimana Bermulanya Pengasasan Subway
BESARKAN TEKS A- A+
Pengasas Subway, Fred DeLuca mula berjinak dengan industri makanan dengan membuka sebuah kedai sandwic pada usia 17 tahun dengan harapan untuk mengumpul wang untuk membayar yuran pengajiannya di kolej.
Fred yang masih muda pada ketika itu sebenarnya tidak pernah mempunyai niat untuk menjadi seorang ahli perniagaan, namun sebaliknya beliau bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.
Beliau meminjam sebanyak $USD1000 daripada seorang rakan keluarganya, Dr. Peter Buck sebagai modal permulaan. Peter menggalakkan dan memberi sokongan penuh kepada Fred untuk memulakan perniagaan tersebut.
Pada tahun 1965, mereka mendaftarkan syarikat mereka di bawah nama Doctor's Associate Inc.. Nama tersebut adalah kerana Buck adalah seorang doktor yang mempunyai Ph.D., manakala Fred pula bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.
Kedua mereka bekerjasama memulakan perniagaan menjual sandwich, dan menamakan kedai tersebut sebagai 'Pete's Super Submarines'. Roti oblong yang panjang pada ketika itu adalah suatu yang masih baharu, dan mereka berharap bahawa ianya akan menjadi kegemaran penduduk kejiranan terdekat.
Hari-Hari Awal Subway
Walaupun tidak mempunyai pengalaman, masih muda dan bermula dengan modal yang kecil, Fred mencapai kejayaan agak pantas. Pada hari pertama, Fred dan Peter berjaya menjual sebanyak 312 sandwic, pada harga sekitar 49 hingga 69 sen untuk setiap satu. Fred akhirnya berjaya mengumpul wang yang cukup bagi menyambung pengajiannya ke kolej.
Namun begitu, kejayaan tersebut membuatkan Fred berfikir semula tentang masa depannya. Beliau akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan perniagaan sandwicnya itu dan tidak kembali belajar. Fred mempunyai cita-cita dan harapan yang tinggi dalam bidang industri makanan.
Antara langkah yang diambil untuk memasarkan jenama sandwich mereka adalah dengan mengiklankan perniagaan tersebut di dalam radio tempatan. 'Pete's Submarines' kedengaran seperti 'Pizza Marines', yang memberikan gambaran berbeza berbanding apa yang dijual mereka.
Fred bersama rakan kongsinya itu akhirnya membuat keputusan untuk menamakan semula perniagaan mereka kepada 'Pete's Subway', yang akhirnya menjadi 'Subway' pada tahun 1968.
Mengapa Subway Mengubah Strategi Perniagaan Kepada Model Francais?
Beberapa tahun selepas bermula, Subway mula berkembang. Fred mempunyai cita-cita untuk membuka 30 lagi rangkaian dalam tahun 1968. Namun, dalam tempoh beberapa tahun, mereka hanya berjaya membuka 16 kedai sahaja dan gagal mencapai sasaran.
Fred dan Peter mengakui bahawa adalah sangat sukar untuk mengekalkan kualiti yang sama di setiap kedai mereka. Fred akhirnya sedar bahawa melalui model francais, mereka bukan sahaja dapat berkembang dengan pantas, malah dapat mengekalkan kualiti servis dan makanan yang tinggi, melalui latihan dan kursus (training) yang bakal mereka perkenalkan.
Pada tahun 1974, Fred berjaya memujuk seorang rakannya yang bernama Brian Dixon untuk membuka francais pertama Subway di Walling Ford. Menggunakan model perniagaan francais, mereka berjaya membuka 14 lagi rangkaian kedai dalam tahun yang sama. Ianya merupakan kejayaan luar biasa buat Fred.
Fred seorang yang sangat pentingkan kualiti. Beliau telah membuat kod prinsip yang harus diikuti oleh setiap rangkaian restoran Subway. Teras utama yang ditekankan beliau adalah kualiti tinggi, bahan yang segar dan kepuasan pelanggan. Prinsip dan teras ini terus membawa kejayaan buat Subway, apabila berjaya membuka rangkaian ke-100 pada tahun 1978.
Syarikat ini kemudiannya mewajibkan bahawa setiap roti yang digunakan perlu dihasilkan di restoran Subway itu sendiri. Strategi ini berjaya membantu meningkatkan reputasi dan permintaan terhadap sandwic Subway yang meletakkan kualiti dan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan.
Pada tahun 1984, Subway membuka rangkaian restoran pertama mereka di luar Amerika Utara, dan ianya terletak di Bahrain. 3 tahun berikutnya, Subway sudah mempunyai 1000 francais, dan sehingga tahun 1998, Subway berjaya memiliki sebanyak 10,000 rangkaian restoran.
Hari ini, Subway sudah berkembang ke hampir setiap negara di dunia ini termasuklah U.A.E., Norway, Pakistan, Hong Kong, Switzerland dan juga Malaysia.
Kesimpulan
Kejayaan Fred dan Peter dalam membina empayar perniagaan secara francais bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, walaupun tidak mustahil. Sekiranya anda mempunyai impian yang sama, kejarlah impian tersebut, namun jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab anda kepada keluarga.
Ramai mereka di luar sana apabila mempunyai idea untuk memulakan perniagaan, terus mengambil langkah drastik dengan berhenti kerja sedangkan mereka masih mempunyai komitmen lain.
Bermulalah secara kecil-kecilan di samping kerjaya hakiki, sekiranya perniagaan tersebut mula berkembang dan menunjukkan tanda-tanda kejayaan, barulah sesuai untuk berhenti kerjaya dan fokus sepenuhnya terhadap perniagaan tersebut.
Rujukan & Bacaan Tambahan: