rosyam nor buka pasar raya

Kredit foto: Instagram @strosyammart & ohbulan.com

Penerbit dan aktor, Datuk Rosyam Nor bakal muncul dengan pasar raya borong pertama miliknya yang dibuka di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada awal Februari 2018.

Pasar raya yang dinamakan ST Rosyam Mart itu menawarkan barangan keperluan harian dengan harga yang munasabah.

"Insya-Allah, awal bulan Februari ini saya akan melancarkan sebuah pasar raya dengan nama ST Rosyam Mart di Setiawangsa, Kuala Lumpur," kata Rosyam memetik portal Harian Metro.

Buat masa ini, pihaknya masih menjalankan kerja renovasi peringkat akhir menjelang pembukaan dalam tempoh terdekat ini.

“Setakat ini kami sedang menjalankan kerja renovasi di peringkat akhir sebelum ia beroperasi sepenuhnya," katanya.

Idea yang timbul dua tahun lalu itu bertitik tolak daripada hasrat Rosyam yang ingin memenuhi keperluan dan kepuasan para pengguna masa kini. 

"Sebenarnya saya sukar mencari sebuah pasar raya yang persekitarannya bersih, cantik, kualiti barangan yang segar serta tawaran harga berpatutan. Justeru, saya nekad mengusahakan sebuah pasar raya borong yang berpangkalan di Setiawangsa untuk cawangan pertama ini," katanya.

Menurutnya, nama pasar raya itu diilhamkan sempena usaha sama yang terjalin antara dirinya bersama syarikat Sri Ternak.

"ST Rosyam Mart bakal menjanjikan pengalaman membeli belah yang tidak pernah diwujudkan oleh mana-mana pasar raya lain di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Rosyam berkata, dia yakin pasar raya yang mempunyai keluasan 13 lot unit kedai itu akan memberi kepuasan kepada para pengunjungnya kelak.

"Saya yakin pengunjung akan berpuas hati dengan konsep pasar raya ini dan boleh mendapati pelbagai barangan keperluan sama ada barang kering dan basah di sini dengan harga yang berpatutan," katanya.

Sumber berita: Harian Metro

tags : , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)