Bagi peminat siri sains fiksyen, judul 'Star Wars' sudah pastilah menjadi antara siri filem yang kerap disebut sebagai rujukan. 'Star Wars' sangat berjaya bukan saja memulakan banyak trend budaya yang baru, bahkan menjadi antara siri filem paling berjaya mengumpulkan jutaan peminat fanatik sebagai pengikut setia.

Kita semua tahu siri filem itu pada asasnya membawakan pertembungan ideologi di antara kumpulan pahlawan yang baik digelarkan 'Jedi' dan lawan mereka 'Sith'. Kumpulan Jedi pula hidup berdasarkan kepada kepercayaan atau pegangan yang sangat berkait dengan apa yang mereka gelarkan sebagai 'force' atau kuasa, mengawal keseimbangan alam serta menjadi punca kuasa sakti mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak dapat dinafikan, pengaruh kepercayaan itu berjaya dirungkai dengan baik serta teliti sehingga konsepnya tampak seperti satu kepercayaan yang benar-benar ada. Oleh sebab itulah, apabila digabungkan jutaan peminat fanatik dan konsep pegangan mirip agama yang seakan logik - pasti akan ada yang memilih untuk percaya, sehingga ada yang mengasaskan pula agama Jedi ke dalam dunia nyata.

Bagaimana lawak bertukar menjadi serius

cosplay star wars

Pada tahun 2001, keperluan untuk melakukan bancian penduduk bagi memahami demografik negara-negara mula dijalankan. Beberapa kumpulan fanatik Star Wars mula menjalankan kempen melibatkan negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris, untuk peminat-peminat Star Wars meletakkan agama mereka sebagai agama 'Jedi' dalam rekod, secara rasmi.

Mensasarkan golongan atheist pada mulanya, kempen parodi ini tidak dijangka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di beberapa negara.

Di Australia sebagai contoh, 70,000 orang atau 0.37% daripada keseluruhan populasi mengisytiharkan diri mereka penganut agama Jedi, memaksa kerajaan Australia melakukan kenyataan balas - memaklumkan bahawa agama Jedi tidak diterima dalam rekod rasmi, jadi semua pihak yang meletakkan 'Jedi' sebagai agama akan dikategorikan tiada respon.

agama star wars jedi knight religion

Kerajaan New Zealand juga menghadapi masalah serupa, dengan 53,000 orang penganut Jedi 'wujud' di negara itu, melibatkan 1.5% jumlah populasi. Reaksi kerajaan New Zealand? Sama seperti Australia.

Isu lebih besar timbul di United Kingdom, setelah kempen parodi ini berjaya meletakkan Jedi sebagai agama keempat terbesar di United Kingdom, di belakang Kristian, Islam dan Hindu. Disebabkan oleh isu tersebut, kerajaan Britain mengambil langkah mengiktiraf kewujudan 'agama Jedi' di sana, bagi menghormati 'pilihan' hampir 400,000 'penganut Jedi.'

Agama Jedi diberikan kod rasmi untuk rekod dalam sensus negara, tetapi tidaklah dianggap diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan Britain sebagai sebuah agama yang benar-benar wujud. Fenomena yang berlaku di United Kingdom ini, menjadi titik tolak bermulanya kebangkitan penganut-penganut Jedi di seluruh dunia menuntut hak mereka.

Jedi sebagai agama rasmi dalam negara?

agama jedi

Salah satu persoalan yang cuba ditimbulkan oleh penganut-penganut Jedi yang benar-benar serius di United Kingdom, dianggarkan sekitar 2,000 orang keseluruhannya - mengapa Jedi tidak diiktiraf sebagai sebuah agama sedangkan banyak negara mengiktiraf Scientology?

Daripada segi jumlah pengikut, kedua-dua kepercayaan mempunyai jumlah pengikut yang serupa, jadi kerajaan United Kingdom sepatutnya turut sama memperuntukkan keistimewaan atau hak kepada Jedi, mengiktiraf kewujudannya tanpa perlu lagi dipermain-mainkan sebagai parodi misalnya.

Berikutan populariti agama Jedi, pengikut-pengikut Jediism (gelaran rasmi mereka) bertindak menubuhkan dua buah gerakan, The Church of Jediism serta sebuah lagi dinamakan The Temple of Jedi Order.

Walau bagaimanapun, usaha mereka untuk diiktiraf sebagai sebuah gerakan rasmi berdepan kekangan, berikutan status mereka yang agak mengelirukan. Bagaimanapun, pengikut Jediism tidak mengalah. Pada tahun 2006, dua orang Jedi berjaya menghantar surat protes kepada PBB sempena Hari Toleransi Sedunia, terhadap layanan kerajaan negara-negara di mana wujudnya komuniti Jedi.

Perjuangan mereka mula menampakkan hasil setelah The Temple of Jedi Order yang didaftarkan di Texas, Amerika Syarikat diberikan status pelepasan cukai negeri tersebut - membolehkan mereka dianggap sebagai sebuah gerakan kebajikan berdaftar secara sah dan rasmi pada tahun 2015.

Berdepan kekangan dalam penyebaran agama

pengikut jedi peminat star wars

Walaupun diterima di Texas, pengikut Jediism gagal dalam permohonan mereka untuk didaftarkan secara rasmi di banyak negara lain. Di United Kingdom, permohonan mereka ditolak disebabkan oleh status agama mereka yang dikatakan ketiadaan asas dalam isu-isu spiritualiti dan aspek bukan sekular, yang sepatutnya ada dalam setiap agama.

Selain itu, isu berkenaan ketiadaan konsep Tuhan dalam agama Jedi juga menjadi penghalang utama permohonan mereka untuk diterima sebagai sebuah agama rasmi, menurut jurucakap pejabat pendaftar di United Kingdom.

Pada tahun 2016, permohonan The Church of Jediism untuk menubuhkan sebuah gereja khas berdaftar bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti mereka ditolak. Penolakan itu juga menyangkal permintaan mereka yang mahu diiktiraf secara rasmi sebagai sebuah badan kebajikan.

agama star wars jedi knight religion 102

Berikutan halangan yang mereka terima, agak sukar untuk mereka bergerak secara rasmi walaupun ada di kalangan mereka memang menjalankan rutin hidup berasaskan kepada teras-teras kehidupan seorang Jedi sebenar. Sesuatu yang menarik untuk kita ketahui tentang Jediism - pegangan mereka bukanlah berdasarkan kepada apa yang terkandung dalam filem Star Wars, sebaliknya bergantung kepada falsafah 'monomyth' yang dirangka oleh mendiang Prof. Joseph Campbell.

Campbell adalah individu yang menginspirasikan idea sebenar disebalik apa yang dikatakan sebagai 'ajaran Jedi' yang dirangka oleh pencipta Star Wars, George Lucas.

Berbeza dengan peminat-peminat fanatik filem Star Wars, bagi penganut Jediism sebenar - mereka menganggap apa yang terkandung dalam filem-filem itu hanyalah paparan fiksyen dan watak yang ada tidak langsung berkait dengan kepercayaan mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)