Oleh pada 17 Dec 2018 kategori

Kredit foto: Kak Wan (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Pisang goreng adalah makanan ringan jenis goreng celup tepung yang terkenal di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Ia dijamah pada waktu pagi dan petang dan lazimnya disajikan ketika masih panas. Ia kebiasaannya boleh didapati dari penjaja jalanan.

Pisang lazimnya dicelup dalam adunan cair kunyit dan tepung lalu digoreng dalam minyak. Sekarang, terdapat pisang goreng yang disajikan bersama keju, jam dan cokelat.

Segelintir masyarakat berpendapat ini untuk meningkatkan imej pisang goreng sebagai makanan tradisional bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Pisang raja adalah jenis pisang yang terkenal untuk dijadikan pisang goreng. Pisang goreng turut merupakan kiasan yang bermaksud sesuatu yang memperoleh permintaan ramai.

Sementara itu, ubi keledek merupakan sejenis ubi yang manis dan dijual di pasar. Ia turut dikenali sebagai ubi jalar, ubi jawa, ubi ketela, ubi setela dan ubi rambat.

Pisang dan ubi keledek goreng perlu dibuat rangup. Paling penting sekali, serdak-serdak tersebut wajib ada. Pemilik resepi bancuh menggunakan tepung beras sahaja.

Bancuhan tepung ini sama juga yang digunakan beliau untuk membuat ikan, sotong, udang dan cempedak goreng tepung. Hasil tepung tersebut memang melekat cantik.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung beras
  • Air sejuk dari peti ais (tidak pekat dan tidak cair sangat, agak-agak sahaja) 
  • 1 biji telur
  • 1 sudu makan air kapur (sedikit kapur bancuh dengan air, air kapur tersebut ambil yang jernih sahaja)
  • 1 sudu makan cuka
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula
  • Pewarna kuning

Cara penyediaan:

  1. Satukan semua bahan. Air tersebut masukkan sedikit-sedikit sahaja dahulu.
  2. Sebatikan bancuhan. Tidak pekat dan tidak cair sangat.
  3. Celupkan pisang, ubi keledek atau apa-apa sahaja yang seangkatan dengannya.
  4. Panaskan minyak (agak banyak). Goreng menggunakan api sederhana besar.
  5. Untuk serdak-serdak tersebut, titiskan bancuhan tepung dalam minyak panas.

ubi keledek dan pisang goreng rangup

Untuk tengok resepi lain, boleh ikuti Facebook Raja Amanina            

Sumber:

1. Raja Amanina [1, 2]

2. Wikipedia Pisang Goreng

3. Wikipedia Ubi Keledek




Hakcipta iluminasi.com (2017)