Ayam goreng berempah adalah improvisasi daripada ayam goreng. Pelbagai jenis rempah dipakai bagi menghasilkan rasa dan bau yang kuat dan penuh berperisa. Hidangan ini lazimnya merupakan kesukaan golongan kanak-kanak dan remaja. 

Resepi ayam goreng berempah ini pada awalnya diciptai oleh masyarakat Barat pada sekitar 1990-an. Resepi ini disebarkan oleh penduduk Scotland dan Amerika Syarikat. Ayam goreng menjadi terkenal ketika zaman kekejaman pemerintah Amerika Syarikat terhadap golongan Afrika–Amerika. Ayam goreng merupakan makanan utama golongan hamba itu pada suatu ketika dahulu.

Apabila resepi ini tersebar ke masyarakat timur, penduduk India, Melayu dan Indonesia terutamanya mengimprovisasi resepi berkenaan dengan menambahkan rempah-ratus. Maka, menu ayam goreng berempah menjadi semakin popular di Asia.

Menu ini perlu dicuba oleh semua orang disebabkan ia sangat mudah untuk dibuat. Malah, rasanya juga tidak akan menghampakan. Ayam goreng berempah dapat disajikan dengan nasi lemak, nasi biriyani mahupun nasi ayam.

Gabungan itu sempurna untuk seisi keluarga, terutamanya golongan kanak-kanak. Ayam goreng berempah turut boleh dinikmati begitu sahaja tanpa nasi atau sos cili disebabkan rempah dan serdaknya cukup untuk memenuhi selera anda.

 

Ayam Goreng Berempah

  

ayam goreng berempah

 

Nota:

➡ Potong ayam besar-besar, pemilik resepi kebiasaannya potong 4.

➡ Resepi ini untuk setengah ekor ayam.

 

Bahan kisar:

  • Bawang besar (1 biji)
  • Bawang putih (3 ulas)
  • Halia dan lengkuas (2 inci)
  • Cili kering/serbuk cili (kuantiti ikut selera masing-masing) - optional
  • Serai (3 batang)
  • Ketumbar (1 sudu)
  • Jintan manis (setengah sudu)
  • Buah keras (3 biji) - optional

 

Cara penyediaan:

1. Kisar semua bahan tersebut dengan 2 biji telur dan air asam jawa pekat.

Tips: Jika boleh, jangan masukkan air langsung kerana kita tidak mahu ayam tersebut terlalu berair. Jika letak juga, setakat untuk bagi pengisar tersebut pusing sahaja.

 

2. Perap ayam dengan bahan yang dikisar tadi dan juga bahan-bahan ini: 

  • Serbuk kari (1 sudu penuh)
  • Garam
  • Daun kari (sedikit)
  • Gula (secubit)
  • Tepung beras (1 sudu) dan tepung jagung (1 sudu)
  • Bahan perasa (sedikit) - Hilal/Ajinomoto/Maggi Cukup Rasa/Knorr Pasti Sedap atau lain-lain

 

3. Perap selama 30 minit atau satu malam untuk lebih sedap.

 

4. Goreng dengan api sederhana dan tutup dengan penutup periuk ketika menggoreng.

Tips: 2-3 minit sebelum angkat, perlu buka tutup periuk. Kaedah ini untuk mendapatkan ayam yang rangup tetapi berjus di dalam.

 

5. Untuk mendapatkan serat yang garing itu, apabila telah siap goreng semua ayam, ambil serdak-serdak yang tinggal dan goreng dengan api sederhana. Ketika sedang menggoreng, kacau-kacau serdak tersebut supaya ia tidak bergumpal atau berketul. Apabila telah garing, angkat, toskan dan tabur pada ayam goreng tadi. 

 

Nota: Selepas goreng ayam, rehatkan ayam tersebut lebih kurang 5-10 minit sebelum dipotong kerana kita tidak mahu ada darah yang keluar selepas ayam dipotong. 

 

Sumber:

1. Murni Rahmat [1, 2]

2. Resepi Ayam Goreng Berempah Simple (resepiayamgorengberempah.blogspot.com)



Hakcipta iluminasi.com (2017)