Oleh pada 30 Sep 2019 kategori

Churros merupakan sejenis pencuci mulut yang berasal dari Sepanyol dan Portugal. Walaupun kelihatan seperti cakoi, namun ia sangat berlainan.

Dari segi kaedah penyediaan dan resepi, ia lebih hampir sama seperti krim paf (cream puff). Namun, terdapat sedikit perbezaan dari segi cara memasak dimana cream puff dibakar manakala churros pula digoreng seperti donat.

Dari segi rasa, churros tidak sama seperti donat. Rasa dan kaedah penyediaan bagi kedua-dua donat dan cakoi adalah hampir sama.

Dihidangkan bersama coklat panas, menu ini rangup di luar dan lembut di dalam. Biarpun dibiarkan seharian, ia tidak liat atau keras.

Ia juga boleh dicicah dengan sos karamel seperti pretzel. Selain mentega, terdapat juga versi yang menggunakan minyak.

Churros

Bahan-bahan:

  • Mentega (125gm)
  • Air (1 liter)
  • Gula (2 sudu besar)
  • Garam (1 sudu kecil)
  • Tepung gandum (4 cawan)
  • Esen vanila (1 sudu kecil)
  • Telur gred A (4 biji)

Cara-cara penyediaan:

  1. Masak mentega, air, gula, garam dan esen vanila di dalam periuk.
  2. Apabila mendidih, kecilkan api dan masukkan tepung gandum.
  3. Kacau adunan sehingga sebati dan tidak melekat di periuk. Kemudian, boleh padam api.
  4. Semasa adunan menjadi suam, masukkan semua telur dan kacau sehingga sebati menggunakan senduk.
  5. Masukkan adunan ke dalam piping bag jenis cotton dan gunakan nozel yang sama untuk cream puff.
  6. Paipkan adunan menjadi churros dan sedia untuk digoreng atau disimpan ke dalam peti sejuk. Enak dimakan bersama sos soklat dan sos karamel.

churros 1

churros 3

churros 4

Resepi ini diambil dengan kebenaran dari buku Koleksi 100 Resepi Pilihan terbitan group masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.

Sumber:

1. Rohanis Katan [1, 2]

2. Masam Manis (norazlitaaziz.blogspot.com) [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)