Cucur jawa merupakan sebuah kuih lama kegemaran ramai yang berasal dari utara. Ia dianggap berhasil apabila bahagian tepinya menjadi bertebing dan tebingnya itu perlulah kerinting dan bergerigi.

Kuih ini juga disebut sebagai penyaram, kuih topi Mexico, cucur tuang, kuih cucur dan lain-lain. Apabila dikoyakkan, rupanya hampir sama seperti kuih apam versi goreng.

Jika hasil cucur jawa anda sedikit keras dan rangup, ia mungkin disebabkan jenama tepung beras yang dipakai mempengaruhi nisbah air yang diperlukan dalam adunan. Selain itu, ia mungkin juga kerana terlalu banyak gula. Dengan ini, adunan menjadi manis yang membawa kepada kerangupannya. 

Untuk mendapatkan warna gelap sedikit, anda boleh gunakan gula perang yang gelap.

Cucur Jawa

cucur jawa 332

Bahan-bahan:

  • Tepung gandum (2 cawan)
  • Tepung beras (2 cawan)
  • Air (2 cawan)
  • Gula pasir (1 cawan)
  • Gula merah (1 cawan)
  • Garam (1 sudu teh)

Cara-cara penyediaan:

  1. Satukan air, gula pasir, gula merah dan garam. Kacau sebati dan tapis (bancuhan air gula).
  2. Campur tepung gandum dan tepung beras ke dalam bekas.
  3. Tuang bancuhan air gula tadi ke dalam tepung dan kacau sebati. Masukkan dalam pengisar, kisar halus dan tapis.
  4. Perap selama 3 jam atau semalaman dalam peti sejuk.
  5. Keluarkan dari peti sejuk setengah jam awal sebelum goreng.
  6. Masukkan 2/3 cawan minyak dalam kuali dan gunakan api sederhana. Tuangkan 1 senduk di tengah-tengah dan biar adunan masak dari tepi ke tengah sebelum diterbalikkan.

cucur jawa 1

cucur jawa 2

cucur jawa 3

Resepi ini diambil dengan kebenaran dari buku Koleksi 100 Resepi Pilihan terbitan group masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.

Sumber:

1. Nada Ishak [12, 3, 4]

2. Bila Chah Ke Dapur (bilachahkedapur.blogspot.com) [12]

3. Namakucella (namakucell.blogspot.com) [12, 3]

4. Sesedap Rasa (jommainmasakmasak.blogspot.com) [12]


tags :, ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)