Oleh pada 21 Dec 2018 kategori

Nasi goreng pattaya merupakan antara hidangan tempatan yang popular dan senang didapati di warung-warung dan restoran Melayu yang menjual secara à la carte. Ia merupakan antara jenis variasi atau kepelbagaian menu nasi goreng yang ada dijual di Malaysia.

Terdapat beberapa sumber mengatakan bahawa masakan ini berasal atau diilhamkan dari Pattaya, Thailand. Walaubagaimanapun, perkara tersebut tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

Biasanya, nasi goreng tersebut hanyalah mempunyai ramuan biasa iaitu perencah utama seperti bawang, pes rencah dan sedikit sayuran, penggunaan ayam, sotong, udang atau daging.

Namun, keunikan nasi goreng ini ialah nasi gorengnya dibungkus di dalam balutan telur dadar lalu memerangkap haba, aroma dan rupa nasi goreng itu sehinggalah yang si pemakan memotong telur dadar berkenaan.

Kepelbagaian jenis nasi goreng ini bergantung kepada tukang masak itu sendiri.

Nasi goreng pattaya kebiasaannya disaji begitu sahaja dengan sos cili yang selalu membentuk tulisan di atas telur dadar tersebut. Tetapi, menjadi kelaziman bagi nasi goreng pattaya ini disaji bersama hirisan timun.

Terdapat juga yang disajikan bersama beberapa racik daun selada dan hirisan tomato. Malah, sup turut kadangkala disediakan sebagai hidangan sampingan.

Nasi Goreng Pattaya

Kredit foto: Zaid Azizy Yaakob & Nani Roki (Gambar pertama bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan:

  • 2 cawan nasi putih
  • 1 keping dada ayam (dipotong kecil) dan sotong (dipotong-potong)
  • 1 pokok baby kailan (dipotong)
  • 1 lobak merah (dipotong halus)
  • 1 tangkai cili merah (dipotong serong)
  • 2 biji cili padi (dicincang halus)
  • 2 ulas bawang putih (diketuk)
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar sos ikan
  • Garam dan lada sulah secukup rasa
  • 2 biji telur (dipukul) - untuk dadar

Cara-cara membuat:

1. Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Masukkan bawang putih dan lada hitam, tumis sehingga kekuningan dan wangi.

2. Masukkan ayam, sotong, semua sos, garam dan lada sulah. Kemudian, nasi, lobak merah, sayur baby kailan dan cili.

3. Masukkan nasi dan terus masak sehingga sebati.

4. Buat dadar dari dua biji telur tadi sehingga kekuningan.

5. Letakkan nasi goreng di tengah-tengah dan lipat telur.

Resepi Bonus: Nasi Goreng Sardin Pattaya

nasi goreng sardin pattaya

Kredit foto: Rosnah Rose & Asmaa Yusoff (Gambar kedua bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan:

  • 1 mangkuk nasi putih
  • 5 biji cili padi (jika suka pedas boleh lebihkan)
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 ekor ikan sardin bersama sos (dilecek)
  • 1/2 biji bawang besar (dihiris)
  • Sedikit sos ikan (jika tidak mahu pun tidak mengapa)
  • 1 sudu sos tiram
  • Sedikit minyak bijan
  • Sayur campur (jika suka)

Cara-cara membuat:

1. Tumis cili api yang telah ditumbuk dengan bawang putih.

2. Masukkan bawang besar.

3. Apabila wangi, masukkan sardin.

4. Goreng sehingga sardin betul-betul masak.

5. Masukkan sayur campur.

6. Akhir sekali, masukkan nasi. Goreng lagi.

7. Letak garam, sos tiram, sos ikan dan sedikit perasa jika suka.

8. Akhir sekali, renjiskan dengan minyak bijan.

9. Goreng. Semakin lama digoreng, nasi semakin sedap.

10. Letak dalam mangkuk tadi.

Bahan-bahan untuk bungkus:

  • 2 biji telur
  • 1 sudu tepung jagung dibancuh dengan sedikit air

Cara-cara membuat:

1. Pecahkan telur. Letak sedikit garam dengan bancuhan tepung jagung.

2. Panaskn kuali. Dadar selebar mungkin.

3. Tutup api. Biarkan sebentar.

4. Tuangkan nasi tadi ke atas telur. Bungkus.

5. Akhirnya, terbalikkan ke dalam pinggan.

Sumber:

1. Nani Roki [1, 2]

2. Rosnah Rose [1, 2]

3. Wikipedia Nasi Goreng Pattaya




Hakcipta iluminasi.com (2017)