Oleh pada 24 Dec 2018 kategori

Pernahkah anda mendengar tentang nasi goreng hailam? Mungkin tidak ramai yang pernah merasainya. Ia barangkali kedengaran sedikit aneh kerana perkataan hailam itu sendiri lebih sinonim dengan menu mee hailam yang tentunya digemari ramai.

Hailam merujuk kepada sebuah gaya masakan Cina yang biasanya menggunakan kicap cair.  

Nasi goreng hailam kelihatan menarik dan baunya yang sangat wangi memang membuka selera. Nasi goreng hailam disajikan bersama sayur-sayuran, ayam atau udang yang dimasak dengan gaya Hailam.

Terdapat juga nasi goreng hailam yang disediakan tanpa kuah. Untuk jenis ini, anda boleh menghidangkannya dengan lauk yang anda suka seperti ayam masak merah dan ikan masin.

Nasi Goreng Hailam

Bahan-bahan:

Nasi goreng:

  • Nasi putih
  • 2 ulas bawang putih (dicincang)
  • Kicap secukup rasa
  • Garam secukup rasa

Bahan untuk kuah hailam:

  • 1/2 kiub ayam
  • 5-6 ekor udang
  • 2 cawan air
  • 1 sudu besar tepung jagung (dilarutkan dengan sedikit air)
  • 2 sudu besar sos tiram
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Garam secukup rasa
  • Sayur-sayuran (kobis, kobis bunga, cendawan butang, tofu dan lain-lain)

Cara-cara untuk memasak:

Nasi goreng:

1. Tumiskan bawang putih dengan sedikit minyak. Masukkan nasi dan goreng rata.

2. Masukkan kicap dan garam secukup rasa. Goreng sehingga kicap sebati dengan nasi.

3. Ketepikan atau boleh letakkan terus di atas pinggan.

Kuah hailam:

1. Masukkan air ke dalam kuali. Masukkan kiub ayam. Biarkan air mendidih.

2. Masukkan udang, serbuk lada hitam dan sos tiram.

3. Apabila udang agak masak, masukkan sayuran dan rasakan garam.

4. Apabila sayuran sudah mula mendidih, masukkan tepung jagung.

5. Kacau rata sehingga kuah menjadi likat.

6. Kemudian boleh diangkat dan tuang ke dalam pinggan nasi tadi.

nasi goreng hailam 2

Kredit foto: Shazwani Lwanz (Gambar bukan menggunakan resepi di atas)

Sumber:

1. Resepi Sheila Rusly [1, 2]

2. Snow Kitchen (snowkitchen.blogspot.com) [1, 2]

3. Jiwa Rosak (jiwarosak.com) [12]

4. KajoMag (kajomag.com) [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)