Oleh pada 13 Nov 2018 kategori

Kredit foto: Ziera Xiera & Makcik Ratu (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Selain nasi goreng cina dan nasi goreng kampung, nasi goreng tomyam merupakan antara masakan yang popular dan sering dipesan oleh pelanggan di warung dan restoran yang menjual secara à la carte terutamanya kedai tomyam. Nasi goreng tomyam merupakan antara jenis variasi atau kepelbagaian menu nasi goreng.

Nasi goreng tomyam adalah sejenis masakan yang diilhamkan daripada perisa tomyam iaitu makanan yang diilhamkan dari Thailand. Nasi goreng tomyam mempunyai rasa yang hampir sama dengan tomyam.

Selalunya, rencah pes tomyam, cili api atau cili padi, serai dan daun limau purut yang digunakan mewujudkan rasa tomyam tersebut. Daun ketumbar juga digunakan untuk membantu menaikkan aroma dan bau yang unik. Selain itu, hirisan limau turut menambahkan aroma dan menghasilkan sedikit kemasaman bagi meniru rasa tomyam.

Daging ayam, daging lembu, sotong, udang atau isi ketam juga biasanya dicampurkan ke dalam nasi goreng supaya dapat memberi rasa dan juga sebagai sumber protein. Terdapat bermacam-macam jenis nasi goreng tomyam yang bergantung kepada tukang masaknya. 

Dari segi hidangan pula, nasi goreng tomyam secara umumnya disajikan begitu sahaja. Tetapi, nasi goreng disediakan bersama hirisan timun adalah suatu kelaziman.

Terdapat juga versi yang dihidangkan bersama beberapa racik daun selada dan hirisan tomato. Malah, terdapat juga yang menjadikan sup sebagai sampingan yang melengkapkan lagi menu ini.

 

Bahan-bahan:

  • Udang atau sotong
  • Bawang blend atau tumbuk (bawang merah dan putih)
  • Satu sudu cili blend (untuk bagi nampak merah)
  • Daun limau purut
  • Serai dihiris
  • Cili padi (optional)
  • Kiub pati tomyam
  • Kubis bunga dan lobak merah

 

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak. Tumis bawang dan cili kisar sebentar.

2. Agak-agak sudah naik bau, masukkan kiub, daun limau dan serai. Kacau sebati. Masukkan sedikit air jika pekat. Masukkan udang.

3. Agak-agak sudah nak dekat kering, masukkan nasi. Kacau sebentar. Masukkan sotong dan sayur.

4. Masukkan perasa. Garam diletak sedikit sahaja kerana kiub tersebut sudah rasa masin juga.

5. Siap dan boleh dimakan bersama keropok keping.

 

Resepi Bonus: Nasi Goreng Tomyam Paling Mudah Menggunakan Perencah Adabi

nasi goreng tomyam adabi

Kredit foto: Zara Zahara & EQien Ahmad (Gambar kedua bukan menggunakan resepi dibawah)

 

Bahan-bahan:

  • Perencah nasi goreng tomyam Adabi
  • Nasi
  • Isi ayam, udang atau sotong
  • Sedikit cili kisar
  • Cili api dan bawang putih (ditumbuk)
  • Bawang merah (dihiris)
  • Sayur
  • 2 helai daun limau purut (buang urat tengah)
  • Serai sebatang kerat 4 (diketuk)

 

Nota: Tidak perlu gula dan garam kerana perencah nasi goreng sudah secukup rasa.

 

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak. Tumiskan cili api dan bawang putih yang ditumbuk, daun limau purut, bawang merah yang dihiris dan serai sehingga naik bau.

2. Masukkan cili kisar dan isi ayam, sotong atau udang. Tumis sehingga masak.

3. Masukkan perencah nasi goreng tomyam dan kacau seketika. Kemudian, sudah boleh masukkan nasi. Kacau sehingga rata.

4. Masukkan sayur. Kacau sebentar dan boleh diangkat.

 

Sumber:

1. Noorhafizah Ismail [1. 2]

2. Zara Zahara [1, 2]

3. Makcik Ratu [1, 2]

4. Wikipedia Nasi Goreng Tom Yam




Hakcipta iluminasi.com (2017)