nasigorengcilikering

Kredit foto: Norsiah Zakaria‎ [1, 2] (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah) 

Nasi goreng adalah makanan panas segera yang enak. Nasi yang digoreng bersama kicap dan ramuan lain mengikut selera senang disediakan dan tidak memerlukan lauk tambahan, kecuali telur goreng.

Nasi goreng dikatakan muncul dari kebudayaan Cina sekitar 4000 SM, yang tidak suka memakan makanan dingin atau membuang makanan yang tidak habis. Maka, nasi tersebut digoreng semula bersama bahan-bahan makanan dan pelbagai rempah.

Pada zaman sekarang, nasi goreng kebiasaannya dihasilkan dengan campuran bawang, telur, ikan bilis, udang, hirisan ikan atau daging, kek ikan, sardin dalam tin serta sayur-sayuran terutamanya sayur campur.

Rakyat tempatan sering menjadikan nasi goreng sebagai sarapan. Nasi goreng yang paling senang disediakan adalah nasi goreng kampung yang hanya menggunakan bawang, ikan bilis, cili padi, kangkung dan telur sebagai bahan utama.

Masyarakat zaman kini telah banyak bereksperimen dengan bahan-bahan dalam membuat nasi goreng sehingga terdapat pelbagai jenis nasi goreng yang dijual di gerai, kafe dan hotel.

Nasi Goreng Cili Kering

nasi goreng cili kering 275

Bahan-bahan:

  • Nasi sejuk (digaul dengan garam siap-siap)
  • Cili kering (dibelah tengah dan dibuang biji)
  • Ikan bilis (dibahagi dua, satu untuk goreng dan satu untuk tumbuk)
  • Bawang besar (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Sedikit belacan
  • Telur
  • Garam

Cara penyediaan:

1. Goreng ikan bilis.

2. Gaul nasi sejuk dengan garam secukup rasa.

3. Tumbuk bahan-bahan seperti cili kering, ikan bilis, bawang merah dan bawang putih. Jika tidak, boleh guna manual chopper. Pemilik resepi beli di DIY.  

nasi goreng cili kering

Manual chopper tidak menggunakan elektrik dan menggunakan tenaga tangan sahaja

4. Letak sedikit belacan.

5. Tumiskan bahan-bahan kisar tadi dengan api perlahan.

6. Biarkan sehingga cili tersebut garing.

7. Masukkan telur yang dibuat seperti dalam gambar di bawah. Kacau telur sehingga masak.

nasi goreng cili kering 285

8. Masukkan nasi dan ikan bilis.

9. Gaul sehingga rata dan boleh tutup api. Siap untuk dihidang.

Resepi Bonus: Nasi Goreng Memikat Hati

nasi goreng memikat hati

Bahan-bahan:

  • Nasi putih
  • Segenggam ikan bilis
  • 3 biji telur
  • Sayur (kacang panjang, kangkung dan lain-lain) - optional 

Bahan-bahan dibawah perlu ditumbuk

  • 1 atau 2 sudu kecil udang kering (rahsia penyedap)
  • 5 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • Cili padi (lebih pedas, lebih sedap)

Tips:

1. Resepi ini untuk dihidangkan kepada 2-3 orang.

2. Tumbuk menjadikan nasi goreng bertambah sedap.

Cara-cara membuat:

1. Panaskan sedikit minyak. Masukkan telur. Biar telur mengeras dahulu sebentar. Kemudian, baru kacau biar telur menjadi hancur sedikit kasar. Angkat dan ketepikan dulu.

2. Tambah sedikit lagi minyak. Goreng garing ikan bilis. Kemudian, angkat dan ketepikan dulu.

3. Guna minyak ikan bilis tadi (satu lagi rahsia penyedap). Masukkan bahan tumbuk tadi. Tumis sehingga hampir layu atau hampir garing. Masukkan garam dan serbuk perasa siap-siap. Masukkan sayur.

4. Kacau sebati dan masukkan nasi putih. Kacau sebati. Hancur-hancurkan dengan sudip supaya nasi tidak berketul. Akhir sekali, masukkan telur dan ikan bilis yang digoreng tadi. Kacau sebati dan sekata. Setelah sayur layu, siap untuk dimakan.

Tips:

1. Jika mahu nasi berkilat, sebelum tumis bahan tumbuk tersebut, lebihkan sedikit minyak tapi jangan terlalu banyak. Agak-agak sahaja tetapi pemilik resepi selalu lebihkan siap-siap semasa menggoreng ikan bilis tersebut. Guna minyak lebihan selepas goreng ikan bilis tersebut.

2. Untuk mendapatkan nasi goreng berderai cantik pula, pastikan nasi putih jangan lembik.

Resepi Bonus: Nasi Kerabu Goreng

nasi kerabu goreng 224

Bahan-bahan:

  • Nasi sejuk (3-4 orang makan)
  • Daging direbus (simpan sedikit air rebusan daging)
  • Ayam
  • 2 ulas bawang merah (ditumbuk)
  • 5 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 3 batang serai (dihiris halus)
  • Bunga kantan (dihiris halus)
  • Kacang panjang (dihiris halus)
  • Cili padi
  • 5 sudu makan budu
  • Gula dan garam secukup rasa

Cara penyediaan:

1. Tumis bawang yang ditumbuk dan serai sehingga garing.

2. Masukkan budu, daging dan ayam.

3. Tambahkan sedikit air rebusan daging. Masak sebentar.

4. Masukkan nasi, bunga kantan, kacang panjang dan cili padi.

5. Perasakan dan gaul sebati. Perahkan sedikit limau nipis.  

Untuk lihat resepi lain, boleh follow Facebook Raja Amanina

Sumber:

1. Akma Abdullah [1, 2]

2. Miya Aira [1, 2]

3. Raja Amanina [1, 2]

4. Wikipedia Nasi Goreng



Hakcipta iluminasi.com (2017)