Oleh pada 16 Jan 2019 kategori

Lontong merupakan makanan istimewa Indonesia dan Malaysia yang diperbuat daripada beras yang dikukus setelah dibungkus dengan daun pisang.

Lontong lazimnya disajikan dengan sate, rojak atau gulai kambing. Biarpun hidangan ini hampir sama dengan ketupat, lontong lebih selalu dijumpai di banyak kedai makan di Malaysia dan Indonesia disebabkan cara membuatnya adalah lebih senang daripada ketupat.

Sebaliknya, ketupat lebih selalu dibuat ketika Hari Raya Aidilfitri.

Disebabkan dikukus dalam daun pisang, lontong berwarna hijau di luar, manakala dalamnya berwarna putih. Lontong kerap dijumpai di pelbagai daerah di Malaysia dan Indonesia sebagai pengganti nasi putih.

Meskipun kedua-duanya diperbuat daripada beras, lontong mempunyai bau wangi yang istimewa.

Lontong dan Kuah Lodeh

Kredit foto: Hariati Henri (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan:

  • Lengkuas (2 inci) - dititik
  • Serai (2 batang) - dititik
  • Udang (500 gram)
  • Santan (1/2 biji kelapa)
  • Kacang panjang (7-8 batang) - dipotong
  • Sengkuang / lobak merah - dipotong panjang
  • Tempe (1 bungkus) - dipotong kiub
  • Tauhu (3 ketul) - dipotong kiub
  • Ikan bilis (1 kiub)
  • Fucuk / suun / kobis (jika suka)

Tips: Tempe dan tauhu boleh digoreng separuh masak terlebih dahulu.

Bahan-bahan untuk kisar halus:

  • Bawang besar (1 biji)
  • Kunyit hidup (2 inci) atau kunyit serbuk (2 sudu kecil)
  • Halia (1 inci)
  • Bawang putih (3 ulas)
  • Udang kering (3 sudu besar) - direndam bersama air seketika

Bahan-bahan untuk dihidang bersama:

  • Nasi impit (direbus)
  • Telur (direbus)
  • Tempe (dihiris nipis dan digoreng garing) - optional
  • Ikan bilis kecil (digoreng) - optional

Cara-cara:

1. Bersihkan udang. Buang kepala dan kulit (jika suka).

2. Panaskan 3 sudu besar minyak dan tumis bahan kisar halus sehingga kekuningan dan naik bau. Kemudian, masukkan lengkuas dan serai yang dititik.

3. Masukkan udang dan kacau seketika. Kemudian, tuang santan cair dan masak sehingga mendidih.

4. Masukkan sayur lobak merah, kacang panjang dan sengkuang sehingga lembut.

5. Masukkan pula tempe, tauhu, suun, fucuk dan kubis sehingga lembut.

6. Setelah lembut, masukkan pula santan pekat dan masak di atas api yang perlahan. Teruskan mengacau perlahan-lahan supaya santan tidak berketul. Tambahkan air yang secukupnya jika kuah terlalu pekat.

Hidangkan bersama nasi impit, telur rebus, tempe goreng dan ikan bilis goreng. Sudukan sambal ikan bilis atau sambal sotong rendam untuk melengkapkan hidangan.

lontong dan kuah lodeh 2

Kredit foto: Wan Muhammad Hafiz Satar (Gambar bukan menggunakan resepi di atas)

Tips: Anda dicadangkan supaya menggunakan kunyit hidup sebagai bahan utama kerana rasa dan aroma kunyit hidup menambahkan lagi kesedapan kuah lodeh.

Sumber:

1. Sakura PelangiEmpire [1, 2]

2. Wikipedia Lontong




Hakcipta iluminasi.com (2017)