Oleh pada 26 Dec 2018 kategori

Bubur pulut hitam adalah sejenis bubur yang dibuat daripada pulut hitam, santan kelapa, nisan dan bahan-bahan lain. Warna pulut hitam akan bertukar kepada ungu gelap apabila dimasak.

Untuk menyediakannya, pulut hitam dibasuh lalu diletakkan ke dalam periuk dengan air dan daun pandan. Ikatan daun pandan akan menghasilkan bau wangi pada menu ini nanti.

Setelah air mendidih, keluarkan daun pandan dan rebus sehingga empuk, dan nisan ditambah untuk mewujudkan rasa manis.

Dari segi hidangan pula, bubur pulut hitam lazimnya disajikan panas dengan santan dituang berserta secubit garam ditabur pada bahagian atasnya, 

Malah, aiskrim turut boleh ditambah untuk mempelbagaikan rasa hidangan.

Bubur Pulut Hitam

Bahan-bahan:

  • 1 cawan pulut hitam (dibersihkan dan direndam 2 jam)
  • 1 cawan air untuk merebus beras pulut hitam
  • 1 helai daun pandan
  • 1 keping gula melaka
  • 1/2 cawan gula (ikut citarasa masing-masing)
  • 1 cawan santan sederhana pekat

Cara masak:

1. Rebus pulut hitam dengan secawan air dan daun pandan simpul sehingga pulut hitam benar-benar empuk atau lembut. Jika air kering, tambah sedikit air.

2. Masukkan gula diikuti gula melaka dan santan pekat.

3. Kacau sebati dan empuk tutup api.

Bahan santan pekat untuk dicurah atas bubur:

  • 1/2 cawan santan pekat
  • Sedikit garam

Cara penyediaan:

1. Panaskan atas dapur. Sentiasa kacau sehingga mendidih dan tutup api.

2. Letak bubur dalam mangkuk dan tuang sedikit santan bergaram atas bubur.

Resepi Bonus: Pulut Kucai Utara Perlis

pulut kucai default

Kredit foto: Salina Ismail & Adilah Mat Saad (Gambar kedua bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan:

  • 1 kg beras pulut (direndam selama 5 jam, dikukus sehingga masak dan ketepikan)
  • 1 kg gula pasir (pemilik resepi kurangkan kerana tidak mahu manis)
  • 1 cawan gula merah (boleh tambah jika suka warna gelap)
  • 1 kg santan pekat (boleh tambah jika suka rasa lemak-lemak)
  • Sedikit air
  • Sedikit gula batu
  • Sedikit garam
  • Daun pandan

Cara-caranya:

1. Masak gula merah bersama daun pandan dan sedikit air sehingga gula larut. Ketepikan.

2. Dalam kuali besar, masukkan santan, gula pasir, air gula merah, gula batu, garam, sedikit air dan daun pandan masak sebentar sehingga gula larut.

3. Masukkan pulut yang dikukus.

4. Kacau sehingga betul-betul pekat dan berkilat. Setelah masak, biar ia sejuk dahulu dan boleh dimakan.

Nota: Pulut kucai juga dikenali sebagai pulut kacau atau pulut wajik.

Sumber:

1. Tahrunnisah Jali [1, 2]

2. Salina Ismail [1, 2]

3. Wikipedia Bubur Pulut Hitam




Hakcipta iluminasi.com (2017)