Oleh pada 05 Apr 2017 kategori

Salam sejahtera kepada semua pembaca. Jika menyebut tentang pulut mangga, pasti ramai yang tahu tentangnya dan menelan air liur jika terbayang keenakannya. Pulut yang dimasak dengan baik, santan yang secukup rasa dan tentunya buah mangga yang manis dan enak. Kombinasi makanan yang ringkas tetapi sangat menyelerakan! 

pulut mangga harum manis

Tetapi, pasti juga ramai di antara kita yang hanya pernah menikmati juadah ini di kedai-kedai ataupun hidangan di mana-mana majlis kenduri atau keraian. Tidakkah anda teringin untuk mencuba untuk menyediakannya sendiri? Mudah sahaja. Jom kita belajar cara membuat pulut mangga yang sangat marvellous!

Ada banyak versi pulut mangga yang dihasilkan, kali ini kita akan belajar versi pulut mangga ala Thai! 

Bahan-bahan untuk pulut mangga

1. 400 gram beras pulut yang direndam semalaman

2. 1 cawan santan pekat

3. 1 cawan santan cair

4. 2 atau 3 sudu besar gula

5. sedikit garam

6. beberapa helai daun pandan,(daun pisang juga boleh)

7. 2 sudu besar bijan, dibakar tanpa minyak untuk taburan

8. 3 biji mangga (perlu pandai pilih yang manis)

Bahan-bahan untuk kuah santan

1. 1 cawan santan pekat

2. 1 sudu kecil tepung beras atau tepung jagung, bancuh dengan sedikit air

3. 1 helai daun pandan, carik dan simpul

4. garam secukup rasa (supaya kuah agak masin)

Cara-cara penyediaan pulut

Panaskan pengukus. Lapik dulang pengukus dengan daun pisang atau susun daun pandan rapat-rapat.Bilas pulut yang telah direndam semalaman dan tapis keluar airnya. Masukkan ke dalam dulang kukusan dan kukus sehingga lembut. (Anggaran masa kukus adalah selama 20 minit.)Apabila sudah lembut, angkat dan masukkan pulut kukus ke dalam mangkuk yang besar.Satukan santan pekat, santan cair, gula dan garam dan kacau sebati. Tuang bancuhan santan ke dalam pulut yang masih panas tadi. Balik-balikkan pulut dan biar seketika supaya kuah bancuhan meresap ke dalam pulut. Apabila pulut sudah kering meresap kuah santan, ambil garfu dan gemburkan pulut.Ketepikan sebentar sementara menyiapkan kuah santannya.

resepi pulut mangga thai special 2

Cara-cara penyediaan kuah santan

Panaskan santan pekat di dalam periuk dan masak di atas api yang sederhana. Masukkan garam, daun pandan dan bancuhan tepung. Teruskan kacau supaya santan tidak berketul. Kalau agak cair masukkan sedikit lagi bancuhan tepung. Anda boleh agak-agak kepekatan di sini.Pastikan kuah mempunyai rasa yang agak masin supaya dapat menyeimbangi rasa manis buah dan pulut. Angkat dan sejukkan.

resepi pulut mangga thai special

Buah Mangga

Yang ini tiada cara hidangannya. Cuma terpulang kepada cara masing-masing samada mahu memotong kecil-kecil, panjang-panjang atau apa saja. Yang penting buah itu manis! Antara jenis mangga yang terkenal ialah Harum Manis. Hidang bersama pulut, dan taburan bijan. Siap! Selamat mencuba dan selamat menjamu selera!

Rujukan :

1. resepi pulut mangga thai special

2. resepi pulut mangga thai istimewa


tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)