Bubur biji delima adalah sejenis bubur yang dikatakan berasal dari Thailand.

Namun, versi Thailand mempunyai sedikit perbezaan kerana ia menggunakan sengkuang Cina dan disebut sebagai Tunb Tim Grob.

Sementara itu, versi tempatan menggunakan tepung ubi. Terdapat juga yang menggunakan skoteng bagi membuat bubur ini dan disebut sebagai locong.

Biar apapun caranya dan kaedah pembuatannya, ia lebih kurang serupa dan rasanya juga lazat. 

Kelazimannya, bubur biji delima dinikmati bersama santan, air gula, nangka dan isi kelapa. Terdapat juga yang menyediakannya dengan sirap gula Melaka disebabkan lebih gemarkan rasa lemak gula Melaka dan harum pandan.

Kecantikan biji delima yang dihasilkan membuatkan menu ini kelihatan menarik. Selain itu, terdapat juga biji zamrud, nilam dan pelbagai warna lagi yang disediakan oleh pembuatnya.

 

Bubur Biji Delima

  

bubur biji delima

 

Bahan-bahan:

  • Tepung ubi kayu (1 cawan)
  • Air suam (½ cawan) - agak-agak sendiri kerana cawan masing-masing tidak sama
  • Tisu dapur (5 helai)
  • Tepung jagung (1 sudu)

 

Cara penyediaan:

1, Masukkan air dalam tepung ubi. Adunan jangan keras dan jangan cair, sedang-sedang sahaja.

2. Tabur tepung jagung atas tisu.

3. Kemudian, tuang adunan atas tisu dan biarkan adunan tadi mengeras dalam 5 minit (tidak sampai).

4. Selepas itu, boleh sapu warna kesukaan masing-masing.

5. Potong dadu dan buang tisu bawah adunan.

6. Rebus dalam air menggelegak sehingga biji delima timbul.

7. Angkat dan masukkan dalam air ais .

8. Ia sedia untuk dimakan dengan susu cair dan air gula. Boleh letakkan 2 atau 3 ketul ais.

  

bubur biji delima 1

 

Nota:

✔ Rasanya kenyal-kenyal seperti black pearl dalam air jenama terkenal, Chatime.

✔ Pemilik resepi menggunakan warna hijau kerana ketiadaan warna merah.

 

Sumber:

1. Qema Fazri [1, 2]

2. Masam Manis (norazlitaaziz.blogspot.com) [12]



Hakcipta iluminasi.com (2017)