remaja maut dihempap kerusi

Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun meninggal dunia sebaik ditimpa sebuah kerusi yang didakwa dibuang dari tingkat atas di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam.

Mangsa, S Sathiwaran yang juga pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya dikatakan sedang berjalan kaki bersama ibunya S Kasthurivai (45 tahun) untuk pulang ke rumah mereka yang terletak di tingkat 16 blok berkenaan.

Menurut saksi kejadian, mereka berdua terlebih dahulu pergi ke kedai runcit yang terletak di bawah PPR tersebut, sebelum insiden malang itu terjadi pada pukul 8.30 malam semalam.

Sejurus mendekati ruang tertutup berhampiran tangga kawasan berkenaan, sebuah kerusi pejabat berwarna biru yang dihumban dari tingkat atas jatuh terhempap pada kepala mangsa.

"Akibat hentaman kerusi itu mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Ibu mangsa terselamat dalam kejadian itu," ujarnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat atau akibat kecuaian.

Namun yang demikian, identiti suspek masih belum diketahui dan pihak polis akan terus menjalankan siasatan.

Sumber berita: BH Online


tags : , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)