2 maut dalam nahas rempuh tol batu tiga di shah alam

Sumber foto: Kosmo Online

Plaza Tol Batu Tiga di Shah Alam terus meragut nyawa, dimana 2 lagi terkorban setelah kereta dinaiki mereka melanggar tembok batu tol atau pembahagi lorong terbabit.

Menerusi insiden tengah malam semalam itu, mangsa, Fathurezza Khoirul Huda Halimsuyto (31 tahun) dan sahabatnya, Noor Hidayah Mohamed Rezmi (27 tahun), meninggal dunia di lokasi insiden kerana cedera parah pada bahagian kepala dan seluruh tubuh.

Noor Hidayah Mohamed Rezmi difahamkan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-27, sebelum terlibat dalam nahas tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib memberitahu, kedua-dua mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam semasa insiden itu berlaku iaitu pukul 12.55 tengah malam.

Menurut siasatan awal, kereta model Myvi dinaiki kedua-dua mangsa didapati dipandu laju.

"Siasatan awal mendapati, Fathurezza Khoirul Huda dipercayai memandu laju dan gagal mengawal kenderaannya, lalu merempuh pembahagi lorong tol itu.

"Kedua-dua mangsa, pemandu dan penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat jam 9.30 pagi ini," ujarnya sewaktu dihubungi.

Tambah Baharudin, berdasarkan maklumat pengenalan diri, Fathurezza Khoirul Huda merupakan seorang mekanik dan beralamat di Padang Jawa, Shah Alam. Sementara itu, Noor Hidayah pula beralamat di Seksyen 24, Shah Alam.

"Polis sudah menghubungi dan memaklumkan kepada waris kedua-dua mangsa," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, memberitahu beliau berserta 12 pegawai dan anggota mengetuai operasi mengeluarkan mayat mangsa.

Jelasnya lagi, pasukannya memerlukan tempoh sekitar 7 minit bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

"Akibat rempuhan itu juga, bahagian enjin kenderaan terbabit remuk," ujarnya.

Siasatan kes dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

2 maut dalam nahas rempuh tol batu tiga di shah alam 1 245

Sumber foto: The Sun Daily

Kemalangan maut tersebut merupakan insiden kedua setelah Plaza Tol Batu Tiga tidak beroperasi secara rasmi pada 1 Januari lepas.

Pada 15 Januari lepas, dua maut dan seorang cedera dalam nahas juga pada awal pagi Isnin. Ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah kereta model Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur menuju ke Klang.

Kereta yang dipandu seorang lelaki berumur 23 tahun itu dipercayai gagal dikawal sebelum merempuh plaza tol terbabit.

Sumber berita: Utusan Online & BH Online


tags : , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)