Tinggal di sebuah pekan kecil, sering membuatkan Keith Sapsford mudah bosan.

Walaupun baru berusia 14 tahun, Keith dikatakan senantiasa kurang senang duduk di rumahnya yang terletak di Randwick, New South Wales, Australia.

Perasaan itu pada mulanya tidaklah menampakkan apa-apa perkara yang perlu dibimbangi, sehinggalah ayah Keith yang bernama Charles mula menyerah dalam mendisiplinkan anaknya yang tidak mampu lekat di rumah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Charles memilih untuk menghantar anaknya ke sebuah institusi pendidikan berasaskan aliran Katolik Roman yang terletak di Sydney, sebagai usaha terakhir keluarganya.

Anak muda tak reti duduk diam

sifat ingin tahu curious sebabkan remaja mati terjun kapal terbang

Keith enggan menyerah kepada takdir yang ditentukan bapanya, mula belajar menyelinap keluar. Jiwanya terlalu memberontak.

Usaha keluarganya yang sudahpun membelanjakan banyak wang ringgit bagi membawa Keith melancong, seakan tidak memadai memuaskan nafsunya yang ingin tahu apa di luar sana.

Tidak takut dengan kekangan yang dikenakan sekolah, Keith nekad melarikan diri pada 21 Februari 1970. Destinasinya adalah Lapangan Terbang Sydney.

Dia merancang mahu menaiki kapal terbang dan terbang ke tempat lain secara sembunyi-sembunyi, tanpa ada sesiapa tahu.

Tiada siapa mengetahui apa berlaku dalam tempoh 3 hari dia hilang. Laporan kehilangannya hanya dilakukan sehari selepas dia menghilangkan diri.

Tiba-tiba pada 24 Februari 1970, Keith muncul di lapangan terbang berjaya menyusup masuk melalui terminal dan kawalan keselamatan, sebelum berjaya mengampiri salah sebuah pesawat milik Japan Air.

Dia nak ke Jepun, mungkin?

Menyorok dalam ruangan tayar

ruangan tayar jadi pilihan penumpang haram

Tidak dapat dipastikan garis waktu pergerakan Keith di lapangan terbang itu.

Ada pihak mendakwa Keith sebenarnya sudah tiba lebih awal, memilih untuk menyorok di ruangan yang menempatkan tayar kapal terbang dalam jangka masa panjang - bersembunyi bagi memastikan rancangannya lancar.

Prosedur pelepasan memerlukan pemeriksaan dilakukan ke semua bahagian tayar pesawat, bagi memastikan tiada masalah fungsi timbul. Atas sebab itulah agak aneh tiada sesiapa pun dapat melihat Keith yang menyorok di situ.

Kapal terbang jenis Douglas DC-8 milik Japan Air itu berlepas dengan Keith terus berpaut pada apa saja yang mampu dicapainya, sehinggalah pesawat mencapai ketinggian sekitar 60 meter.

Pada ketinggian tersebut, pintu ruangan tayar itu perlu dibuka bagi membolehkan tayar dimasukkan semula ke dalam.

Besar kemungkinan Keith sedang duduk di atas pintu tersebut, menyebabkannya terjatuh ke bawah.

Gambar jatuh yang diambil secara kebetulan

penumpang tanpa izin kapal terbang jatuh

Gambar sebenar kejadian

John Gilpin merupakan seorang jurukamera amatur berusia 49 tahun. Pada saat kejadian, John sedang menunggu detik terbaik bagi merakamkan imej pesawat berlepas.

Melihat pesawat Japan Air itu mula terbang tinggi, John mengacukan kamera ke arah pesawat tersebut dan menekan butang pengatup, untuk mengambil gambar. Selesai, dia berharap agar gambar-gambar yang diambilnya apabila sudah diproses akan keluar sempurna.

Hanya selepas gambarnya siap seminggu kemudian, barulah John menyedari bahawa salah satu gambar yang sempat dirakamnya, memaparkan seorang individu jatuh daripada sebuah pesawat.

Dalam gambarnya kelihatan Keith Sapsford, remaja bermasalah yang lari dari asrama kerana ingin melihat dunia jatuh daripada satu kedudukan yang tinggi.

stowaway scenario

Lebih malang, selepas kes kematian Keith Sapsford disebarkan akhbar, Charles Sapsford mengakui bahawa beberapa minggu sebelum itu - beliau ada menasihatkan anaknya agar tidak cuba-cuba menyelinap masuk ke dalam sebuah kapal terbang.

Ini disebabkan oleh beberapa kes yang baru saja berlaku pada bulan Jun dan Julai tahun 1969, melibatkan empat orang remaja yang menyorok dalam badan kapal terbang sebelum ada antara mereka jatuh ke bawah - menghempas bumi.

Rujukan

The boy who fell from the sky




Hakcipta iluminasi.com (2017)