Pada 10 Ogos 2000, seorang pemandu teksi yang dikenali dengan nama Yoo berumur 42 tahun, membuat panggilan kecemasan menggunakan radio teksi kepada pejabatnya. Dia mengatakan sedang dirompak betul-betul di simpang empat yang dikenali dengan nama persimpangan Yakchon, dalam daerah Iksan, Korea Selatan.

Tidak lama kemudian, pasukan perubatan yang hadir menemui Yoo dalam teksinya dengan kesan tikaman pada bahu, dada dan pinggang. Dia cuba dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berdekatan persimpangan tersebut, ada sebuah kafe menjual teh. Seorang remaja 15 tahun bernama Choi Hyun-woo yang bekerja untuk mencari duit poket, terlihat pembunuhan berlaku.

Dengan menggunakan keterangan daripada Hyun-woo, pihak polis mendapatkan lakaran wajah suspek - namun 3 hari kemudian, polis menangkap Hyun-woo pula sebagai suspek utama pembunuhan.

Tanpa sebab, Hyun-woo dituduh menyebabkan kematian Yoo kerana pertengkaran semasa berada dalam teksi. Pihak polis yang menyiasatmenyiasa kerana mahu kerja senang, menggunakan kekerasan dan paksaan ketika Hyun-woo dalam tahanan, berjaya mendapatkan pengakuan palsu dari Hyun-woo; menyabitkan dia dengan kesalahan membunuh Yoo.

Choi Hyun-woo dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Gwangju, Korea Selatan bermula bulan Mei 2001 ketika masih remaja.

Niat awal mahu popular untuk membayar hutang

park joon young beri ceramah

Park Joon-young adalah seorang peguam yang mendapat tahu tentang kes Hyun-woo, hanya selepas Hyun-woo dibebaskan dari penjara.

Itupun melalui seorang wartawan yang terlibat dengan penyiaran dokumentari di saluran SBS TV, berkenaan kes-kes serupa ini.  Joon-young melihat peluang besar untuk membantu agar dia jadi lebih terkenal dalam kerjayanya sebagai seorang peguam. Itu memang niatnya.

Semenjak bergelar peguam, Joon-young terlalu terikut-ikut dengan emosi sehinggakan banyak mengambil kes-kes orang kebanyakan dengan cara pro-bono, tanpa bayaran. Dia diisytiharkan bankrap, tidak lagi mampu menyewa pejabat dan gagal menanggung keluarganya yang mempunyai 3 orang anak.

Tahap kewangannya yang teruk menyebabkan dia terpaksa merayu kepada orang ramai melalui sistem crowdfunding, untuk meneruskan kerjayanya.

Sehinggalah dia nampak peluang untuk membuka semula kes yang berlaku di Iksan 10 tahun lalu, selepas kerajaan Korea Selatan mengumumkan pada 25 Julai 2015 kebenaran untuk membuka semula kes-kes lama yang telah pun diputuskan di mahkamah.

Bukti baru kes lama

park joon young posing

Tahun 2003, hampir 3 tahun Hyun-woo meringkuk di penjara, Balai Polis di daerah Gunsan mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang mengaku dia adalah pembunuh sebenar dalam insiden tersebut.

Tangkapan dilakukan, namun bukti pengakuan yang timbul belum cukup untuk membebaskan Choi Hyun-woo dari hukumannya. Pihak polis gagal mengemukakan hujah kukuh untuk menyokong keterangan baru itu.

Choi Hyun-woo menghabiskan hukuman 10 tahun penjara sehinggalah dibebaskan pada 2013.

Selepas keluar daripada penjara, hidupnya benar-benar perit kerana bukan sekadar terpaksa hidup sebagai seorang bekas banduan, beliau juga menghadapi kesukaran kewangan.

Hyun-woo perlu menanggung pampasan yang dibayar kepada keluarga pemandu teksi tersebut sebanyak RM520 ribu, yang dibayar secara ansuran tetap setiap bulan.

Membuka siasatan kes 10 tahun lalu

park joon young bagi tedtalk

Pada tahun 2015, Park Joon-young menghubungi Hyun-woo dan menawarkan diri untuk membuka semula siasatan terhadap kes beliau 10 tahun lalu.

Tujuan Joon-young pada awalnya hendak menjadikan kes itu sebagai batu loncatan beliau namun perasaannya sedikit demi sedikit berubah.

Hasil penyiasatan dan semakan bukti yang diperolehi melalui kes yang dikenali sebagai 'Iksan Murder Case' itu membuatkan Joon-young mula menyedari tanggungjawab sebenar yang dia pikul, untuk membetulkan ketidak adilan yang telah berlaku.

Menyedari bukti salah guna kuasa oleh pihak polis ketika dalam penyiasatan kes di Iksan, Joon-young berhadapan dengan risiko besar dalam membantu Hyun-woo. Dia akan perlu berhadapan dengan pasukan polis yang tidak mahu reputasi mereka dicalarkan dan pihak pendakwaraya yang membantah tindakan Joon-young membuka semula kes tersebut.

Joon-young menggunakan beberapa bukti yang menunjukkan Hyun-woo tidak mungkin mampu menyebabkan kematian Yoo. Selain itu tidak ada kesan darah mangsa pada mana-mana barang kepunyaan Hyun-woo. Siasatan polis mendapati tidak terdapat kesan cap jari Hyun-woo di tempat kejadian.

Joon-young juga berjaya mendapatkan pengakuan dari Hyun-woo yang dia dipaksa dan dibelasah untuk mengaku bersalah dalam kes tersebut oleh pegawai-pegawai penyiasat. Salah satu bukti terkuat yang turut didedahkan, adalah data rekod meter teksi itu yang selama ini disembunyikan oleh penyiasat, membuktikan mustahil Hyun-woo menaiki teksi tersebut.

Akhirnya, berdasarkan bukti-bukti baru yang ada, Joon-young memohon perbicaraan semula bagi kes Choi Hyun-woo dari pihak mahkamah.

Joon Young turut sama dibantu sokongan orang ramai yang mendesak pihak polis supaya membersihkan imej pihak berkuasa. 

Berjaya menyelamatkan hidup orang yang tak bersalah

new trial imej

Usaha Joon-young berhasil apabila mahkamah menarik balik semua tuduhan ke atas Choi Hyun-woo melalui perbicaraan semula, sekaligus membersihkan nama Hyun-woo daripada tuduhan bunuh dalam kes tersebut.

Choi Hyun-Woo bebas daripada semua tuduhan pada 17 November 2016, 16 tahun selepas beliau disabitkan kesalahan membunuh Yoo.

Pegawai-pegawai penyiasat yang memalsukan bukti dibawa ke muka pengadilan. Namun sehingga Februari 2017, mereka yang terlibat menafikan tuduhan dan minta dibicarakan. Belum ada sebarang permohonan maaf daripada pihak polis, hakim dan pendakwa dikeluarkan kepada keluarga Choi Hyun-woo atas tuduhan palsu yang mengambil 10 tahun dari hidupnya itu.

Park Joon-young yang mengambil kes itu hanya untuk mempopularkan dirinya, mengakui dirinya banyak belajar daripada pengalaman dia mengendalikan kes Choi Hyun-woo ini.

Nasib menyebelahi Joon-young apabila lebih ramai orang yang memohon dia membuka semula kes-kes lama yang telah dipendamkan, dalam membantu mereka yang senasib dengan Hyun-woo.

Park Joon-young meneruskan kerjayanya sebagai seorang peguam pro-bono sehingga kini, mempertahakan hak dan kepentingan orang awam.

Choi Hyun-Woo pula meneruskan kehidupan beliau, telah berkahwin serta mempunyai dua orang cahaya mata.

Kisah persahabatan mereka diabadikan dalam filem 'Jaesim' atau 'New Trial' yang ditayangkan pada tahun 2017 di Korea Selatan.

Rujukan

Korea Times




Hakcipta iluminasi.com (2017)