Berapakah jumlah penduduk Malaysia? Pasti ramai meletakkan angka tersebut pada jumlah 32 ke 33 juta keseluruhan. Ini kerana laporan serta ramalan kebelakangan ini sering meletakkan angka tersebut sebagai statistik rasmi.

Walaupun begitu, tidak ramai yang menyedari jumlah yang disebutkan itu sebenarnya tidak menceritakan sepenuhnya beberapa perkara yang jarang diambil tahu masyarakat kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda apa yang dimaksudkan daripada nombor tersebut serta informasi-informasi yang jarang kita bincangkan, tetapi sepatutnya diketahui setiap orang warganegara Malaysia. Jom kita lihat.

Jumlah sebenar penduduk Malaysia

malaysia bendera

Apabila kita memperkatakan tentang jumlah penduduk Malaysia, kita seharusnya sedar jumlah ini sebenarnya bukan sahaja mewakili jumlah penduduk Malaysia yang memegang kewarganegaraan Malaysia tetapi turut sama mencakupi jumlah individu bukan warganegara, yang menjadikan Malaysia tempat tinggal mereka.

Menurut statistik yang terbaru dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah sebenar penduduk Malaysia dianggarkan berada pada paras 32.385 juta orang kesemuanya. Jumlah ini boleh dipecahkan kepada dua, iaitu individu berstatus warganegara dan bukan warganegara.

Secara rasmi, jumlah warganegara Malaysia adalah seramai 29.062 juta orang dan jumlah bukan warganegara pula, adalah 3.32 juta orang kesemuanya.

wanita berbilang kaum malaysia

Pada tahun 2013, berlaku kenaikan ketara jumlah penduduk Malaysia bukan warganegara yang meningkat sebanyak 12.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, sebelum angka ini turun dengan konsisten sehingga tahun 2018. Dalam bahasa ringkasnya ketika ini, untuk setiap 10 orang individu di Malaysia, 1 orang daripadanya adalah bukan warganegara kita.

Kadar pertumbuhan penduduk warganegara Malaysia konsisten dengan kadar purata pertumbuhan 1.36 peratus dalam tempoh 5 tahun lepas. Ini bermakna setiap tahun secara puratanya berlaku penambahan 300 ke 400 ratus ribu warganegara Malaysia.

Sekiranya dibahagikan mengikut jantina, penduduk Malaysia berjantina lelaki mempunyai jumlah yang lebih tinggi berbanding wanita, dengan anggaran 16.7 juta lelaki dan 15.7 juta wanita. Dalam bentuk nisbah, untuk setiap 107 orang lelaki, negarakita ada 100 orang wanita.

Masyarakat India dan Cina yang mengecil

anggaran penduduk warganegara malaysia 759

Berbanding tahun 2017, jumlah warganegara Malaysia berstatus bumiputera meningkat sebanyak 0.3 peratus mewakili 69.1% keseluruhan jumlah warganegara. Pada tahun 2017, peratusan ini berada pada pras 68.8 peratus.

Peratusan warganegara berbangsa Cina dan India mengalami penurunan peratusan berbanding tahun 2017. Walaupun jumlah warganegara Cina meningkat daripada 6.67 juta orang kepada 6.69 juta orang bagi tahun 2018, peratusan pecahan etnik Cina menurun daripada 23.2% kepada 23.0%.

Warga India juga mencatatkan angka hampir serupa. Berlaku kenaikan jumlah warganegara India daripada 2.00 juta orang kepada 2.01 juta orang. Namun peratusannya menurun daripada 7.0% kepada 6.9% bagi tahun 2018.

Tahukah anda berapakah median umur purata penduduk Malaysia? Median umur rakyat Malaysia meningkat daripada 28.3 tahun pada tahun 2017 kepada 28.6 tahun, bagi tahun 2018. Adakah ini sesuatu yang sihat?

Kita sedang menuju 'negara tua'?

malaysia aging population

Dalam salah satu artikel yang kami terbitkan pada tahun 2017, kita sudah melihat serba sedikit berkenaan isu masyarakat Korea Selatan yang sedang menuju kepada bentuk yang ditakrifkan sebagai 'masyarakat tua' atau 'aging population.'

Isu ini amat penting untuk diberikan perhatian berikutan sudah banyak negara mengalami masalah ini serta gagal menemui solusi kepada polemik masyarakat yang timbul, sehingga terpaksa membiarkan warga tua mereka begitu saja. Bagi negara kita, tidak dapat dinafikan kita turut sama menghadapi kemungkinan akan berhadapan dengan perkara serupa, sekiranya tidak ada langkah lebih awal diambil.

Peratusan penduduk kita yang berumur 0 hingga 14 tahun serta tidak dapat menyumbang kepada produktiviti negara berada pada tahap 24.1 peratus. Individu yang dianggap mampu produktif serta tergolong dalam umur bekerja pula pada paras 69.7 peratus. Sementara itu, 6.5 peratus penduduk Malaysia dikategorikan sebagai umur tua ekoran usia mereka melebihi 65 tahun.

Daripada statistiknya, berlaku pertambahan peratusan golongan umur bekerja dan golongan umur tua, jika dibandingkan dengan tahun 2017. Peratusan golongan umur umur tua pada tahun 2017 adalah pada tahap 6.3 peratus menandakan berlakunya peningkatan pada jumlah penduduk Malaysia yang melebihi 65 tahun.

anggaran penduduk warganegara malaysia 970

Mengikut takrifan, sesebuah negara dianggap berada dalam kategori 'sedang menjadi masyarakat tua' sekiranya jumlah individu yang melepasi had umur tua berada pada tahap 7 peratus dan bagi masyarakat yang mencapai 14 peratus, mereka akan dikategorikan sebagai 'masyarakat tua.'

Korea Selatan sebagai perbandingan, mempunyai 13.6 peratus individu umur tua dalam masyarakat mereka, menyebabkan lebih ramai warga emas yang sepatutnya sudah pun berehat, terpaksa bekerja disebabkan kekurangan tenaga kerja serta negara hilang pendapatan. Ini kerana jumlah pembayar cukai yang berkurangan telah berlaku dan kos pembiayaan perubatan bagi warga tua meningkat berkali ganda.

Rujukan

ANGGARAN PENDUDUK SEMASA, MALAYSIA, 2016-2017

ANGGARAN PENDUDUK SEMASA, MALAYSIA, 2017-2018




Hakcipta iluminasi.com (2017)