realiti sebenar pendapatan pemain bola sepak

Apabila disebut 'pemain bola sepak professional' - gambaran yang akan ada dalam minda kita adalah pemain-pemain yang hidup dengan mewah serta memiliki kenderaan-kenderaan yang sukar dimiliki pihak lain. Bagaimanapun realitinya tidaklah seindah yang dikatakan, kerana bagi majoriti pemain lain - mereka sebenarnya berdepan realiti yang berbeza dengan apa yang kerap kali dijual dalam kaca televisyen.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh badan persatuan pemain bola sepak seluruh dunia iaitu FIFPro melibatkan lebih 14,000 orang pemain dari lebih 54 buah negara pada tahun 2016, mendapati hampir 60 peratus pemain sebenarnya menerima pendapatan bulanan dibawah RM8316.

Apa yang lebih menyedihkan, 4 daripada 10 pemain pernah atau sedang mengalami masalah pembayaran gaji, dalam tempoh dua tahun karier mereka sebelum kajian dilakukan. Perkara ini diburukkan lagi dengan keenganan sesetengah untuk percaya terlalu banyak kelab bola sepak di seluruh dunia, sebenarnya enggan menghormati perjanjian kontrak kelab dengan pemain yang mengikat kontrak dengan mereka.

Kajian yang membuka mata dunia

realiti sebenar karier pemain bola sepak professional

Kajian itu yang dilakukan dengan kerjasama University of Manchester, merangkumi kebanyakan negara di Eropah, benua Amerika dan Afrika termasuklah beberapa negara kuasa besar bola sepak dunia, seperti England dan Sepanyol.

Dari aspek pendapatan, berbanding dengan imej yang selalu ditayangkan - 40.3 peratus pemain menerima pendapatan bawah RM8316, 14.5 peratus menerima gaji di antara RM4158 hingga RM8316, 24.6 peratus pada tahap RM1247 hingga RM4158 dan yang mengejutkan, 20.6 peratus menerima gaji bawah RM1246 sebulan.

41 peratus mengaku mereka pernah mengalami kelambatan penerimaan gaji secara purata, sementara di beberapa negara yang liganya agak terkenal seperti Turki; 75 peratus memaklumkan kelab pernah menangguhkan pembayaran gaji pemain.

Hidup pemain sebenarnya berisiko

realiti sebenar kerjaya bola sepak

Dalam aspek masalah fizikal yang dihadapi, 51 peratus pemain melaporkan mereka pernah diserang oleh penyokong, sama ada penyokong sendiri ataupun penyokong lawan. Jumlah ini agak membimbangkan kerana sifat fanatik peminat serta penyokong agak menakutkan bagi sukan bola sepak. 25 peratus mengaku pernah diserang pemain lain dan 12 peratus pernah diserang oleh jurulatih atau pegawai pasukan.

Liga manakah yang mempunyai penyokong paling ganas dalam kajian?

Pemain-pemain dari Republik Congo melaporkan insiden keganasan paling tinggi melibatkan ancaman keganasan atau ancaman mental, dilakukan oleh penyokong pada hari perlawanan. Agak mengejutkan juga apabila laporan itu menyebut liga Scotland berada di tempat kedua, Brazil di tempat kelima dan Itali di tempat ke enam - walaupun Itali mempunyai reputasi masalah peminat fanatik ultras yang terkenal di seluruh dunia.

Pemain-pemain di Itali melaporkan kes keganasan paling tinggi melibatkan penyokong di luar waktu permainan, dengan 24 peratus daripada pemain yang menyertai kajian melaporkan pernah diganggu atau diserang, semasa menjalani hidup seperti biasa.

Masa depan yang terumbang-ambing

pemain bola sepak realiti sebenar

Sesuatu fenomena yang lebih membimbangkan, kelab-kelab bola sepak juga dilihat mengambil kesempatan ke atas pemain.

Secara purata, kontrak pemain dengan kelab hanya mempunyai durasi sepanjang 22 bulan. 8 peratus pemain pula mengakui mereka tidak punya kontrak walaupun mereka merupakan pemain kelab itu.

29 peratus pemain pula memberitahu mereka pernah dipaksa untuk bertukar kelab, tanpa persetujuan mereka dan pemain pula tidak diberikan sebarang suara dalam menentukan hala tuju sendiri. Kami sudah melaporkan bagaimana kapten pasukan Croatia dan pemain terbaik dunia 2018, Luka Modric dijadikan alat percaturan individu-individu berkuasa dalam arena bola sepak Croatia untuk menjana keuntungan mudah.

Perkara itu nyata sekali jelas berlaku dalam budaya bola sepak Croatia sendiri apabila 90 peratus pemain-pemain dari negara tersebut mengakui kontrak mereka dengan kelab masing-masing diadakan dengan berat sebelah, meletakkan pemain sebagai 'pekerja sambilan' sehingga tidak melayakkan pemain di liga-liga mereka mendapat perlindungan sepatutnya.

Begitulah serba sedikit gambaran statistik realiti sebenar hidup seorang pemain bola sepak di seluruh dunia. Kita hanya nampak pemain yang kaya, sehingga menjadikan ada di antara kita mahu anak-anak kita membesar sebagai seorang pemain bola sepak professional.

Mahukah anda membenarkan anak-anak anda menjadi seorang pemain bola sepak professional sekiranya secara statistiknya - hanya 2 peratus daripada jumlah semua pemain yang diselidiki - menerima gaji lebih RM2.99 juta setahun atau RM242 ribu sebulan. 2 peratus sahaja, tetapi kita kerap menjadikan 2 peratus ini seakan gambaran mewakili semua.

Rujukan

FIFPro World Players Union



Hakcipta iluminasi.com (2017)