Oleh pada 27 Dec 2019 kategori

bah merah kelantan 1926

Fonemena banjir seringkali melanda beberapa kawasan di negara kita, khasnya kawasan pantai timur sehinggakan penduduk di negeri-negeri terbabit sudah membiasakan diri, mempunyai rutin tahunan bagi menghadapi pesta banjir yang berlaku.

Dalam kes banjir melibatkan negeri pantai timur, banyak pihak menuding jari menyalahkan kerajaan negeri yang didakwa melakukan pembalakan secara berleluasa - sehinggakan negeri seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu kerap mengalami masalah banjir.

Namun benarkah dakwaan itu? Untuk memahami berkenaan masalah banjir besar di negara kita, kita perlu melihat jauh ke belakang berkenaan dua peristiwa banjir yang melanda negara kita - sekali pada tahun 1886 dan seterusnya pada tahun 1926.

Banjir besar tahun 1886

banjir di lipis

(Gambar daripada banjir di Kuala Lipis 1971)

Rekod berkenaan banjir besar yang berlaku pada tahun 1886 di Tanah Melayu agak sukar didapati, berbanding dengan rekod pada tahun 1926. Namun 1886 dipercayai adalah tahun pertama di mana peristiwa banjir besar di Tanah Melayu direkodkan.

Kelantan menjadi antara negeri di Tanah Melayu ketika itu yang mendapat kesan paling buruk bencana alam tersebut, selepas banjir yang berlaku dan angin kencang menyebabkan banyak kerosakan berlaku. Tidak dapat dikenalpasti sama ada berlaku sebarang kehilangan nyawa dalam kejadian ketika itu.

Apa yang kita tahu, pada era tersebut belum berlaku sebarang bentuk pembangunan yang pesat berlaku di negeri itu dan tiada aktiviti pembalakan giat dijalankan, menggondolkan muka bumi.

Berdasarkan kepada rekod sejak 1886, pantai timur telah pun menjadi kawasan paling teruk kesannya akibat banjir dengan banjir dan keadaan sama nampaknya kekal sehingga kini.

Menurut pandangan penyelidik kajian alam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zaki Zainudin pada tahun 2015, masalah banjir khasnya yang melibatkan kawasan pantai timur tidak boleh dipersalahkan sebagai berpunca daripada masalah pembalakan, tetapi sebaliknya disebabkan situasi yang beliau istilahkan 'unik.'

Kadar penurunan hujan yang terlalu besar dan kewujudan fenomena air pasang perigean yang menyebabkan kenaikan paras laut, menghalang air hujan daripada dialirkan ke laut dengan baik.

Oleh sebab itulah menurut pandangan beliau, banjir di pantai timur kerap berlaku hampir setiap tahun. Baik, mari kita pelajari tentang banjir besar 1926 - banjir paling teruk pernah direkodkan semasa zaman penjajahan.

Sejarah banjir besar 1926

banjir kl 1926 asd16

Beberapa kejadian banjir besar telah pun berlaku, antaranya banjir tahun 1967 yang menenggelamkan sungai-sungai di Kelantan, Terengganu dan Perak serta mengorbankan 55 nyawa. Banjir tahun 1971 juga dikatakan dahsyat, menenggelamkan Pahang sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Peristiwa banjir 1971 juga terus dikenang sebagai banjir yang melumpuhkan bandar Kuala Lumpur, menyebabkan hidup 180,000 orang terjejas dan 32 orang meninggal dunia seterusnya mengakibatkan perintah darurat bencana diisytiharkan, Bagaimanapun, banjir besar tahun 1926 tetap dianggap oleh pengkaji sejarah sebagai bencana banjir terbesar, yang memberikan kesan pada negara kita sehingga kini.

Banjir besar 1926 diklasifikasikan sepenuhnya sebagai bencana alam yang berlaku disebabkan perubahan fenomena semula jadi. Semuanya bermula selepas Tanah Melayu ketika itu, terpaksa mengharungi hujan lebat selama 50 jam tanpa henti di beberapa kawasan.

Banjir besar yang terus dikenang

banjir di perak 1926

Sekitar 25 Disember 1926, pegawai-pegawai British pada ketika itu masih lagi segar dari meraikan sambutan Krismas. Laporan berkenaan kejadian banjir di Perak sudah didengari, tetapi itu satu perkara biasa pada zaman tersebut. Hujan terus mencurah tanpa henti sehinggalah selepas 24 jam yang pertama - kerajaan yang pada ketika itu dikuasai British mula meramalkan sesuatu yang luar biasa sedang berlaku.

Pada zaman tersebut, negara kita belum mempunyai sistem ukuran hujan yang sempurna tetapi memadai untuk melakukan anggaran. Kadar hujan yang turun dikatakan tidaklah melampau berbanding tahun-tahun sebelumnya, jadi tidak dapat dikenal pasti apakah punca sebenar banjir besar yang sedang berlaku.

Di Kemaman, Terengganu - seorang jurutera perlombongan bernama A.P. Henggeler merekodkan kadar hujan secara bulanan tetapi tidak mendapati wujud sebarang peningkatan ketara. Begitu juga di Kuantan situasi sama berlaku. Namun air hujan yang turun mula menyebabkan takungan-takungan air terbentuk sehingga menyebabkan kehidupan orang ramai terganggu.

Di Kuala Lumpur, orang ramai terpaksa menggunakan sampan untuk ke tempat kerja. Beberapa bangunan di sekitar bandar ditenggelami air yang sehingga 6 kaki tingginya.

Kerajaan pada ketika itu hanya berjaya merekodkan kadar kerugian yang ditanggung melibatkan kawasan pantai barat, khasnya di kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak. Bagaimanapun, kawasan yang dikatakan paling terjejas terukdi sebabkan banjir besar tahun 1926 ini adalah Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Kisah bagaimana mayat-mayat manusia ditemui hampir tinggal rangka disebabkan aliran air yang kuat, diceritakan oleh mereka yang mengalami banjir itu.

Kesan banjir besar di Perak dan Pahang

pejabat pos parit perak asd41

Negeri Perak mengalami fenomena banjir daripada sebelum 25 Disember tahun tersebut, tetapi mula berdepan masalah besar bencana pada tarikh 28 Disember sehinggalah 4 Januari 1927. Kuala Kangsar mengalami kerosakan paling teruk, selepas keseluruhan bandar tersebut ditenggelami air dengan bahagian tingkat atas Kolej Melayu Kuala Kangsar terpaksa dijadikan pusat perlindungan penduduk.

Hasil rekod penghulu-penghulu kampung di Perak menganggarkan sebanyak 800 lebih buah rumah orang Melayu, khasnya mereka yang tinggal di kawasan berdekatan sungai lenyap di bawa arus.

Di Pahang, situasi serupa ditemui dengan beberapa buah kampung orang Melayu seperti di Raub lenyap. Air mula naik bermula pada 24 Disember di beberapa kawasan, turun selama 2 hari sebelum naik mendadak pada 27 Disember 1926 sehingga mengakibatkan hubungan jalan, keretapi dan telegraf terputus.

Berikutan banjir yang berterusan sehingga awal bulan Januari, bekalan makanan yang ada terpaksa dicatu, dengan bekalan beras yang sangat terhad diedar. Di sesetengah kawasan yang sukar dijejaki, mereka hanya dibekalkan satu tin susu sebagai makanan untuk sehari khasnya di Kuala Lipis.

Dibeberapa kawasan lain sekitar Pahang, ada kawasan yang ditenggelami air setinggi 18 kaki sehinggakan ramai yang berkemahiran terpaksa bermalam di atas pokok. Tidak diketahui apa nasib mereka yang gagal menyelamatkan diri.

Banjir di Pahang mula reda di beberapa kawasan dan hanya benar-benar surut selepas 9 Januari 1927.

Kelantan - mangsa banjir paling dahsyat

bandar tanah melayu banjir

Sekiranya membaca apa yang berlaku di Perak dan Pahang berbunyi seakan-akan sudah teruk benar, apa yang berlaku di Kelantan jauh lebih menakutkan. Banjir di Kelantan bermula agak lewat dengan hujan turun bermula pada 25 Disember dan air hanya mula naik pada malam 28 Disember 1926 dan hanya mula turun pada 2 Januari tahun berikutnya.

Walaupun durasinya lebih pendek, Kelantan boleh dikatakan paling bernasib malang. Melalui rekod kerajaan ketika itu, daripada anggaran keseluruhan kawasan mendatar di Kelantan yang seluas 2589 km persegi, 80 oeratus daripadanya ditenggelami air. Di sesetengah kawasan, air dikatakan naik setinggi 20 kaki daripada aras jalan keretapi, menyebabkan perhubungan pada ketika itu terputus sepenuhnya.

Sesuatu yang perlu kita semua ketahui, pada zaman tersebut penduduk Kelantan sudah pun direkodkan telah pun berdepan dengan masalah banjir. Setiap kali tibanya musim banjir, majoriti penduduk kampung akan berpindah ke kawasan tanah tinggi melebihi 30 ke 50 kaki kawasan asal kediaman mereka bagi menyelamatkan diri. Ini sesuatu yang dah biasa berlaku sebelum banjir besar 1926.

Bagaimanapun, pada tahun tersebut - penduduk Kelantan gagal menyelamatkan diri seperti biasa setelah air naik dengan pertambahan 20 ke 30 kaki menyebabkan keadaan pada ketika itu menjadi kucar-kacir berbanding biasa. 1,700 buah rumah musnah. Bantuan hanya berjaya tiba ke beberapa daerah di Kelantan pada 30 Disember, dua hari selepas bermulanya banjir.

Usaha untuk membantu rakyat Kelantan memulakan kembali hidup selepas banjir reda, sedikit sebanyak berjaya dibantu dengan persediaan mereka semasa hujan mula turun - hasil pengalaman menghadapi banjir setiap tahun. Penduduk sudah pun memindahkan simpanan, barang berharga serta stok padi ke tempat yang selamat.

Cuma banjir besar tahun 1926 memang luar biasa fenomenanya, menjadi pengajaran pada seluruh penduduk Tanah Melayu agar sentiasa bersedia menghadapi apa yang ada. Jadi daripada kita terus menuding jari mencari sebab mengapa pantai timur sentiasa berdepan masalah banjir luar biasa, ingatlah bahawa sejak dulu kehidupan mereka dan banjir tak pernah lekang - hingga sudah menjadi tradisi masyarakat sana.

Rujukan

Jstor Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society

Ibarat bah merah kembali di Kelantan



Hakcipta iluminasi.com (2017)