Satu misteri yang seringkali ditanya berkenaan wabak adalah bagaimana sesuatu wabak boleh bermula? Majoriti orang tahu wabak biasanya bermula dengan jangkitan yang datang daripada haiwan, berpindah kepada seorang manusia atau haiwan lain sebelum jangkitan mula merebak di kalangan makhluk hidup.
Bagaimanapun tidak ramai yang mampu menjelaskan dengan terperinci soalan akarnya - apa asal-usul sesuatu wabak? Bagaimana wabak terbentuk? Apakah proses yang perlu berlaku sebelum jangkitan pertama berpindah?
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam artikel ini kami akan cuba menjelaskan kepada anda secara ringkas apa yang perlu berlaku terlebih dahulu sebelum sesuatu wabak terjadi, berkenaan lima fasa perubahan pada patogen atau bendasing yang menjangkiti haiwan dan kenapa akhirnya, manusia yang menjadi mangsa.
Perubahan hidup manusia sebagai faktor utama
Satu faktor yang dipercayai mendorong kepada berlakunya perubahan jangkitan wabak dalam zaman moden, adalah disebabkan kenaikan kadar kebergantungan manusia kepada sistem pertanian dan penternakan yang lebih bersifat kelompok.
Kajian penyelidik perubatan dan sejarah telah berjaya mengenalpasto garis masa kemunculan sistem pertanian dengan pergerakan berlaku seiring dengan kemunculan wabak yang melanda dunia secara besar-besaran. Ini kerana usaha membuka ladang atau kebun di sesuatu tempat akan menyebabkan berlakunya secara automatik peningkatan jumlah kepadatan penduduk di sesuatu kawasan.
Hubungan pola kepadatan penduduk akibat pembukaan ladang dan kebun serta kekerapan berlakunya wabak dapat dilihat seawal 11,000 tahun dahulu. Dengan berlakunya penambahan penduduk, situasi itu membolehkan virus atau bakteria penyebab sesuatu jangkitan yang mampu menjangkiti manusia terus hidup disebabkan oleh kewujudan manusia, pencemaran dan banyak faktor lain.
Kita akan huraikan hujah ini pada penghujung artikel sekiranya anda masih tertanya-tanya hubungannya. Jom kita baca tentang perubahan yang berlaku pada kuman sehingga mampu menyebabkan jangkitan.
Kajian berkenaan perubahan kuman-kuman yang ada atau lebih tepat digelarkan sebagai patogen menunjukkan patogen yang mampu menyebabkan wabak didapati akan melalui beberapa peringkat perubahan - yang akan menjadikannya 'sesuai' untuk jangkitan kepada sesuatu spesis.
Bukan semua patogen akan mengalami perubahan dalam kelima-lima peringkat. Ada patogen yang kekal hanya pada peringkat satu. Majoriti kekal di peringkat tiga dan empat. Segelintir saja layak dianggap mencapai peringkat kelima.
Lima peringkat perubahan patogen jangkitan
Peringkat pertama perubahan patogen (stage 1) melibatkan patogen yang hanya mampu menjangkiti satu spesis haiwan atau serangga sahaja tanpa mampu berpindah ke spesis lain. Ini bermakna jangkitan hanya berlaku dalam satu spesis yang sama sahaja.
Dalam peringkat kedua pula, patogen yang hidup dalam haiwan atau serangga tertentu mampu berpindah ke spesis lain satu kali sama ada haiwan, serangga atau manusia.
Perpindahan pula hanya berlaku sekali, melibatkan jangkitan primer ke peringkat sekunder tanpa berlaku peringkat jangkitan seterusnya. Sebagai contoh, virus Nipah yang pernah melanda negara kita merupakan virus peringkat kedua kerana jangkitannya berlaku di antara haiwan (kelawar) ke haiwan lain (babi) dan juga manusia, tanpa berlaku jangkitan antara manusia ke manusia lain.
Peringkat ketiga melibatkan patogen-patogen yang telah melalui proses jangkitan antara manusia beberapa kali sehingga mempunyai kebolehan melakukan jangkitan antara manusia kepada manusia dalam kelompok yang kecil dan akan berhenti apabila wabak selesai.
Antara virus yang layak dikategorikan dalam kumpulan ini adalah virus penyebab Ebola, jangkitan Marburg dan juga cacar monyet (monkeypox).
Pada peringkat keempat, patogen yang ada telah mengalami perubahan yang cukup membuatkannya mampu serasi dengan tubuh manusia. Majoriti jangkitan berbentuk wabak yang besar di dunia datang daripada kumpulan ini. Berikutan perubahan mutasi yang telah dialami membuatkannya lebih sesuai untuk hidup dalam tubuh manusia, patogen peringkat keempat menjadi punca jangkitan wabak berlaku dalam masa yang panjang kerana mudah berpindah antara manusia ke manusia lain.
Penyakit yang sumbernya diletakkan dalam kumpulan patogen peringkat keempat adalah influenza, taun dan wabak Chagas.
Bagaimana dengan peringkat kelima?
Peringkat kelima merupakan kumpulan patogen yang berasal daripada haiwan atau sumber lain pada mulanya, tetapi terus merebak di kalangan manusia secara eksklusif tanpa henti.
Antara patogen yang diletakkan dalam kumpulan ini adalah bakteria yang menyebabkan penyakit kelamin gonorrhea, sifilis dan virus HIV yang menyebabkan jangkitan AIDS.
Dengan menggunakan virus HIV sebagai contoh, penyelidik mendapat bukti menunjukkan bahawa darah tercemar daripada haiwan chimpanzee yang mengandungi jangkitan virus 'simian immunodeficiency virus' atau SIV telah menjalani mutasi selepas menjangkiti manusia, berubah menjadi virus yang kita labelkan sebagai HIV kini.
Berbeza dengan keempat-empat peringkat patogen yang diklasifikasikan sebelum ini, patogen peringkat kelima penyebarannya sukar untuk dihentikan kerana wabak yang melanda disebarkan secara eksklusif antara manusia ke manusia, tanpa perlu ada sumber atau punca virus daripada haiwan membantu menyebarkannya lebih luas.
Wabak penyakit seperti SARS, MERS dan sebagainya yang menjangkiti manusia boleh diperlahankan, dikawal atau dihapuskan, tetapi bagi patogen peringkat kelima ini - jangkitan diramalkan tetap akan berlaku kerana ketiadaan kaedah atau rawatan yang mampu menanganinya.
Melainkan semua orang yang menghidap AIDS berhenti menyebarkannya; itu sesuatu yang agak mustahil untuk berlaku.
Kaitan kegiatan pertanian dengan kadar kekerapan berlakunya wabak
Berbalik kepada perbincangan awal kita tadi.
Kaitan di antara berlakunya perubahan dalam sistem pertanian dan penternakan dalam tamadun manusia dengan kekerapan wabak berlaku adalah kerana wujud hubungan jelaspunca dari mana patogen-patogen penyebab wabak ini datang dengan aktiviti penternakan dan pertanian manusia sejak dulu.
Rekod telah menunjukkan majoriti wabak yang melanda datang daripada haiwan-haiwan ternakan yang kebiasaannya ada di sekeliling kita dan kita anggap tak berbahaya! Penyakit difteria yang menggemparkan negara pada awal tahun 2019 kerana telah muncul kembali - dikenalpasti datang daripada haiwan berbulu seperti anjing.
Virus influenza pula boleh ditemui daripada haiwan seperti khinzir, itik, ayam, kuda dan kucing. Rotavirus yang menyebabkan keracunan makanan datang daripada jangkitan penyakit yang berlaku pada spesis lembu, begitu juga virus penyebab jangkitan TB atau tuberkulosis.
Selain daripada haiwan domestik, kegiatan manusia membuka kawasan penempatan baru sehingga mengakibatkan berlakunya pencemaran turut menyumbang kepada gejala wabak.
Tikus yang suka tempat kotor membawa patogen penyakit tifus dan gagak yang terbang di udara dikenalpasti menjadi perumah kepada virus selesema burung.
Tidak dapat dinafikan ada kemungkinan haiwan-haiwan domestik yang diternak, mendapat jangkitan daripada haiwan lain sebagai penjangkit sekunder, namun jelas hubungan di antara peningkatan kes-kes wabak mempunyai hubung kait dengan aktiviti manusia sendiri yang perlu meningkatkan pengeluaran makanan.
Semua di atas melibatkan wabak yang kita ketahui jenis dan spesis haiwan yang dikatakan puncanya.
Bagaimana pula jangkitan yang terkenal seperti rubella, sifilis, tetanus dan tifoid yang sehingga kini tidak diketahui dari mana punca atau haiwan mana merupakan pembawa asalnya?
Terlalu banyak sebenarnya rahsia alam yang belum mampu kita fahami sehingga kini.
Rujukan