Oleh pada 10 Sep 2017 kategori

Rokok atau tembakau merupakan antara penyebab kematian manusia tertinggi di dunia. Namun, ia mampu dicegah. Melihatkan masalah disebabkan rokok yang melanda masyarakat kita yang sangat membimbangkan, ibu bapa perlu memainkan peranan.

Cara terbaik untuk mengelakkan tabiat merokok adalah mencegah mereka daripada mencuba, kerana dengan mencubalah merupakan penyebab utama kebanyakan orang merokok.

BESARKAN TEKS     A-  A+

merokok di kalangan remaja

remaja merokok 904

Menurut kajian, 90% daripada perokok dewasa mula menghisap rokok ketika zaman kanak-kanak atau remaja. Dan ketika anak-anak masih kecil, mereka melihat ibu bapa sebagai kuasa mutlak terhadap perkara baik dan buruk, dan ketika inilah anda perlu menggunakan kuasa anda ke arah yang betul.

merokok membahayakan kesihatan 759

Tiada masa yang terlalu awal untuk membincangkan keburukan merokok dengan anak-anak. Jika anda mampu menerangkan betapa rokok tidak baik untuk kesihatan pada usia anak anda 5 atau 6 tahun, ia adalah lebih baik. 

iluminasi.com ingin berkongsi 7 cara-cara untuk mencegah anak-anak daripada mencuba untuk merokok.

1. Berfikir seperti mana kanak-kanak berfikir

Walaupun merokok boleh menyebabkan barah paru-paru dan masalah kesihatan lain, topik ini tidak mampu memberi kesan kepada kanak-kanak kerana otak yang tak matang membuatkan mereka tidak kisah akan kesan jangka masa panjang. Pendekatan yang berbeza perlu diambil.

Sebaliknya, tekankan mengenai kesan segera daripada merokok seperti bau busuk, gigi menjadi kotor, mulut berbau, masalah kulit, sakit pada mulut dan lain-lain. Ini akan membuatkan mereka takut untuk mencuba.

Anda juga boleh membuat kira-kira mengenai kerugian jika merokok untuk jangka masa panjang, dan bincangkan dengan anak-anak apa yang boleh mereka beli dengan wang sebanyak itu. 

Dengan berimaginasi, kanak-kanak lebih mudah melihat sesuatu.

2. Kaitkan dengan minat

Jika anak anda seorang atlet atau minat bersukan, kaitkan kesan merokok dengan prestasi mereka. Jelaskan dengan terperinci merokok akan menjejaskan kebolehan mereka untuk berlari, dan mungkin terpaksa berada di bangku simpanan kerana tidak cukup cergas.

3. Bincangkan mengenai ketagihan

Kanak-kanak yang mencuba biasanya tidak tahu mengenai nikotin dan boleh menyebabkan ketagihan melampau. Anda sebagai orang yang mempunyai pengetahuan mengenainya harus menjelaskan bahawa amat sukar untuk berhenti jika mula merokok.

Tekankan mengenai ketagihan nikotin, yang mungkin menyebabkan ketagihan lebih daripada heroin dan kokain.

4. Jelaskan bahaya alternatif rokok

Jangan dilupa mengenai alternatif rokok, seperti vape dan shisha. Alternatif seperti ini adalah salah satu cara bagi kanak-kanak untuk mencuba kerana ia dilihatkan sebagai cool dan tidak berbahaya, yang akhirnya menjadi tabiat buruk.

Penggunaan rokok elektrik atau vape meningkat 900% dalam kalangan pelajar sekolah menengah dari tahun 2011 hingga 2015. Amat penting untuk memastikan mereka ini tahu akan bahaya alternatif rokok ini, yang mana dikaitkan dengan permulaan menggunakan tembakau oleh remaja.

5. Bincang bagaimana untuk berkata "tidak"

Walau apa sekalipun usaha yang anda sebagai ibu bapa lakukan ketika anak-anak masih kecil, ia tidak semestinya akan kekal sehingga mereka remaja. Ini adalah kerana pengaruh rakan sebaya adalah lebih berpengaruh dari segala perkara ketika mereka mencapai usia remaja. 

Dan jika anda tidak pernah membincangkan bagaimana untuk berkata tidak, atau menolak, mereka akan lebih cenderung untuk menerima atau berkata ya, jika ditawarkan untuk merokok oleh rakan sebaya.

Cuba untuk melakonkan situasi dimana rakannya mengajak untuk merokok, dan tunjukkan bagaimana untuk menolak. Ia mungkin agak kelakar, namun mampu mengubah hidup anak anda.

6. Jangan terlalu berkeras

Walaupun ianya perkara serius, anda tidak boleh berkeras mengenainya. Jika anda terlalu berkeras dengan berkata "Kamu jangan pernah nak cuba merokok" atau "Semua perokok adalah tidak baik", menurut kajian, ia akan meningkatkan kemungkinan untuk anak anda merokok kerana memberontak.

Di usia remaja yang berjiwa memberontak, ppa yang dilarang, itulah yang akan dibuat. Apa yang anda harus lakukan adalah mengadakan perbualan berkualiti, dan menurut kajian, ia sangat berkesan mencegah mereka daripada merokok. Walaupun ia tidak berkesan kepada semua kanak-kanak, andalah yang perlu menentukan cara mana paling baik, kerana hanya anda yang memahami anak-anak sendiri.

Borak mengenainya, jangan menilai dan menghakimi atau mengugut untuk menghukum jika mereka merokok. Ia akan membuatkan mereka lebih selesa untuk berbincang, dan mungkin akan memberitahu anda jika mereka diajak merokok oleh rakan-rakan.

7. Tunjukkan contoh baik

Ini yang paling penting. Walk the talk, dan jadilah contoh yang baik. Jika anda sendiri merokok, amat sukar untuk menghalang anak-anak daripada merokok kerana anda sendiri menunjukkan contoh tersebut. Salah satu cara anak-anak belajar, adalah meniru apa yang dilakukan ibu bapa atau orang sekeliling.

Anak-anak akan lebih cenderung untuk merokok, kerana bagi mereka ia bukanlah tabiat yang buruk apabila ia dilakukan oleh ibu bapa mereka sendiri. Ia tidak akan memberi apa-apa kesan walaupun anda berkata "Ayah akan berhenti satu hari nanti", atau "Ayah menyesal kerana merokok", tetapi anda masih merokok.

Jika anda merokok, berhenti sekarang supaya anak-anak anda tidak mengikut jejak langkah anda. Jika anda sendiri tak mampu nak berhenti, jangan harap anak anda tak akan mencuba.

Rujukan :

1. Web MD

2. Lung

3. Very Well

4. Baby Center




Hakcipta iluminasi.com (2017)