Oleh pada 27 Aug 2017 kategori

Semua orang tahu merokok sememangnya satu tabiat buruk. Malangnya 50% dari golongan lelaki di Malaysia tetap merokok. Merokok merupakan faktor risiko utama bagi penyakit bahaya dan menyebabkan 10–12% kematian di Malaysia. Serangan sakit jantung adalah berkait rapat dengan merokok. 

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan berita bahawa jualan rokok kiddie pack bakal berada di pasaran Malaysia. Mengapa ada sesetengah pihak begitu prihatin kepada isu rokok ini sehingga sanggup menyokong penjualan rokok "Kiddies pack" di Malaysia. Adakah sesetengah pengusaha kedai kopi begitu terdesak untuk mengaut keuntungan dengan menyajikan rokok untuk para pelanggan mereka. Jika rokok Kiddies Packs disokong untuk jualan, ia merupakan salah satu bencana kerana akan menggalakan kanak-kanak untuk merokok.

Kami kongsikan penulisan oleh Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi, Pegawai Perubatan Sarjana Kesihatan Masyarakat,  Pusat Perubatan UKM dalam laman facebook beliau beberapa hari lalu mengenai bahaya rokok kiddie pack.

ROKOK KANAK-KANAK

"Kalau boleh saya mahu masa diputar kembali kerana susahnya nak berhenti merokok berbanding mula merokok," kata perokok.

Rokok mengandungi bahan yang boleh menyebabkan ketagihan, iaitu nikotin. Ketagihan adalah item powerful dalam perniagaan kerana apabila pelanggan ketagih, mereka akan meletakkan produk ini sebagai prioriti utama dalam hidup. Mereka akan terus membeli walaupun tak mampu beli nasi.

Percayalah, lagi awal pelanggan ketagih, lagi besarlah potensi keuntungan syarikat pengeluar. Jika dapat menyemai rasa ketagih sejak remaja atau kanak-kanak, berpuluh-puluh tahun lagilah syarikat ini akan terus relevan dan mencipta keuntungan. Jika anak muda perokok ini memegang tampuk negara satu hari nanti, mungkin mudahlah syarikat untuk melobi nanti.

Jangan beri ruang dan peluang kepada syarikat ini.

lindungi kanak kanak dari rokok

Suatu masa dulu, kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif untuk mengharamkan iklan rokok, memperkenal design pek khusus, melarang penjualan kepada individu berumur bawah 18 tahun dan melarang penjualan pek 10 batang atau rokok sebatang-sebatang.

"Kenapa tak haramkan terus?" Saya tak tahu.

Tapi langkah2 yang diambil di atas bertujuan mengurangkan pemasaran, aksesibiliti dan affordabiliti terutamanya kepada golongan bawah umur terhadap rokok.

bantahan jualan rokok kiddie pack

Ada ura-ura bahawa syarikat pengeluar melobi agar penjualan pek 10 batang atau kiddie pack dibenarkan semula atas beberapa alasan contohnya ketidakmampuan individu membeli pek 20 batang menyebabkan lambakan rokok haram masuk melalui sempadan dan mengurangkan kutipan hasil kerajaan. Benar atau tidak, saya tak pasti.

Kiddie pack, seperti namanya, hanya akan memudahkan golongan bawah umur untuk membelinya. Jika pek 20 batang, mereka mungkin terpaksa kongsi 20 orang untuk membeli satu pek sehari. Jika 10 batang, cukuplah cari member 10 orang. Ber"kutu" 10 orang lebih mudah daripada 20 orang.

kanak kanak merokok

Dengan adanya kiddie pack, mereka hanya perlu menyimpan seminggu sahaja berbanding jika sebelum ini dua minggu. Yup, kerana harga memiliki sekotak rokok menjadi lebih murah iaitu separuh.

Dengan adanya kiddie pack, lebih susah nak kantoi kalau spotcheck di sekolah kerana saiznya lebih kecil dan lebih cepat habis berbanding pek 20 batang.

Dengan kiddie pack, ia tidak akan menyelesaikan pun masalah penyeludupan di sempadan atau meningkatkan hasil kerajaan.

Sebaliknya, dengan kiddie pack, lebih ramai golongan bawah umur mendapat akses mudah membeli rokok atas sebab affordabiliti yang diceritakan sebelum ini. Efek domino, lebih ramai menjadi ketagih dan terus membeli serta memanjangkan jangka hayat syarikat pengeluar walaupun jangka hayat sendiri mungkin menjadi lebih singkat.

pelajar merokok dalam van sekolah

Apabila ramai ketagih dan terus membeli, kesan-kesan kesihatan seperti yang terpampang di pek rokok akan menjadi semakin prevalen. Kos rawatan dan rehabilitasi akan menjadi semakin tinggi dan mungkin tidak tertampung dengan kutipan cukai rokok. Kita rugi, syarikat pengeluar untung. Lagi teruk, rosaknya generasi muda akibat rokok adalah satu kehilangan modal insan yang tidak ternilai harganya buat negara.

Saya percaya, walaupun anda merokok, anda pasti tak mahu melihat kanak-kanak dan remaja terlibat dalam ketagihan merokok seperti anda kerana kalau boleh anda pun mahu berhenti serta merta, kan?

Mula merokok lebih mudah berbanding untuk berhenti, dan itu jugalah sebab mengapa kiddie pack mesti diperangi!

KATAKAN TIDAK KEPADA KIDDIE PACK.

Pegawai Perubatan Sarjana Kesihatan Masyarakat.

Mohd Fadhli Mohd Fauzi


tags : , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)