Tindakan membuang sesuatu ke dalam laut sering dianggap sebagai mencemarkan alam sekitar. Namun, kisah seterusnya sedikit berbeza. Buat pertama kalinya, membuang logam dalam jumlah yang banyak ke dalam laut mempunyai kesan positif.
Ia adalah projek yang diusahakan oleh Lembaga Transit Metropolitan New York yang merupakan satu kejayaan besar. Lebih daripada 2,500 gerabak kerata api bawah tanah dibuang ke dalam laut bagi mewujudkan 'rumah' atau terumbu karang bagi ikan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kesan positif terumbu karang buatan manusia
Projek terumbu karang buatan ini dimulakan oleh Jabatan Sumber Asli dan Kawalan Alam Sekitar Amerika pada 2001. Projek ini kemudian berkembang di sepanjang pantai Delaware sehingga ke Carolina Selatan.
Delaware merupakan negeri pertama yang menerima kereta api bawah tanah terpakai dari Lembaga Transit Metropolitan New York. Pada tahun 2010, Delaware sudah mempunyai 14 tapak terumbu karang buatan yang dipenuhi dengan struktur konkrit, bangkai kapal, gerabak kereta api dan kenderaan tentera yang dinyahaktifkan.
Salah satu terumbu karang buatan yang ikonik dikenali sebagai "Terumbu Redbird". Ia dipenuhi dengan 714 gerabak kereta api "Redbird" yang pernah digunakan di landasan bawah tanah bandaraya New York.
Selain gerabak kereta api, Terumbu Redbird juga mempunyai 8 buah bangkai kapal tunda, 86 buah kereta kebal dan 3,000 tan tayar trak terpakai.
Hari ini, Terumbu Redbird merupakan rumah kepada pelbagai spesies laut seperti ikan, tiram, dan batu karang. Dalam masa tujuh tahun selepas projek Terumbu Redbird dilaksanakan, kuantiti makanan laut di kawasan itu meningkat sebanyak 400 kali ganda.
Selain Delaware, projek itu juga diteruskan di sepanjang pantai Virginia, Maryland, New Jersey, Georgia dan Carolina Selatan.
Langkah keselamatan diutamakan
Gerabak kereta api yang digunakan telah dibersihkan terlebih dahulu dari sebarang bahan atau struktur yang berbahaya bagi ikan. Semua bahagian dalaman dibuang sehingga gerabak kelihatan seperti sebuah kotak kosong yang sempurna untuk peredaran air dan ikan berenang di dalamnya.
Bahan yang mempunyai potensi berbahaya seperti bahagian berminyak juga dicuci. Struktur penghalang lain seperti pintu, tingkap, lampu dan roda juga dikeluarkan serta dibersihkan dengan cucian wap. Gerabak yang telah dibersihkan ini kemudian dibawa ke laut dengan bantuan tongkang.
Lif hidraulik digunakan untuk mengangkat dan menurunkan gerabak satu demi satu. Pada mulanya, gerabak kereta api ini hanya menarik beberapa invertebrata dan ikan kecil. Kemudian, ia mula menjadi taman hidupan laut pelbagai spesies haiwan lain seperti ikan jerung dan penyu.
Walaupun terdapat banyak bahan lain digunakan dalam projek terumbu karang buatan ini, gerabak kereta api dilihat sebagai bahan paling sesuai untuk beberapa spesies ikan tertentu.
Selain itu, badan gerabak yang berat juga menjadikan ia tidak mudah bergerak ketika ribut dan bertahan lama dengan penghasilan pencemaran yang minima.
Tentangan aktivis alam sekitar
Namun, terdapat juga penentangan dari kumpulan pencinta alam sekitar yang percaya bahawa gerabak kereta api ini mengandungi bahan kimia yang boleh membahayakan kehidupan laut.
Antara yang lantang menentang projek ini adalah The American Littoral Society. Mereka mendakwa bahawa gam yang digunakan untuk melekatkan panel lantai dan penebat dinding gerabak mengandungi asbestos.
Kajian kemudian dilakukan oleh pegawai alam sekitar negeri dan persekutuan. Mereka akhirnya mencapai kata sepakat bahawa penggunaan gerabak Redbird adalah selamat. Bahan asbestos pada gerabak tidak membahayakan kehidupan laut kerana bahan itu hanya berbahaya jika ia di udara dan dihidu manusia.
Malah, gerabak Redbird juga amat sesuai kerana ia dibina menggunakan keluli tahan karat dan mengandungi asbestos yang lebih sedikit berbanding gerabak kereta api lain.
Setelah hampir sembilan tahun, Jabatan Pengangutan Metropolitan New York mengakhiri projek ini pada tahun 2010. Antara sebab utama ia dihentikan kerana penggunakan plastik yang semakin meningkat pada gerabak model baharu.
Malah, model baharu juga memakan belanja yang lebih besar untuk dibersihkan dan dikosongkan. Namun, secara keseluruhannya projek ini berjaya mencipta habitat baru bagi kehidupan laut di Lautan Atlantik.
Masalah yang tidak diduga
Malangnya, Delaware yang merupakan negeri pertama melancarkan projek ini menghadapi tragedi atas kejayaan mereka sendiri. Terumbu buatan ini semakin padat dan banyak dipenuhi pelbagai spesies ikan. Malah, aktiviti penangkapan ikan dan pencurian batu karang juga semakin memuncak.
Populasi spesies ikan tertentu seperti summer flounder dan bass berkembang dengan begitu pesat sehingga mengancam spesies lain. Ini membuatkan pihak berkuasa Delaware ingin mengembangkan semula projek ini.
Namun, mereka mendapati sukar untuk mendapatkan gerabak kereta api bahawa tanah dari New York secara percuma kerana negeri-negeri lain juga bersaing untuk mendapatkannya. Kejayaan Delaware dalam projek ini menyedarkan negeri-negeri lain untuk melakukan perkara yang sama.
Selain itu, para nelayan komersial juga kerap menimbulkan masalah apabila jaring mereka sering tersangkut di gerabak kereta api di dasar lautan. Kes sabotaj antara nelayan juga sering dilaporkan apabila banyak perangkap dan jaring mereka dimusnahkan atau dicuri pesaing.