shinkansen bullet train burung raja udang

Sebelum ini, kami pernah menulis mengenai 4 kereta api paling laju di dunia. Dengan kecanggihan teknologi dan lebih banyak penyelidikan yang dilakukan, kami percaya senarai tersebut mungkin berubah beberapa tahun pada masa akan datang.

Dalam senarai tersebut, adakah anda perasan apakah persamaan antara keempat-empat jenis kereta api tersebut?

Jawapan mudahnya, rekabentuk kepala atau bahagian hadapan gerabak paling hadapan kereta api tersebut. Terdapat sebab mengapa rekabentuk kereta api laju biasanya direkabentuk sebegitu rupa. Menariknya, rekabentuk tersebut mengambil inspirasi daripada alam sekitar atau lebih tepat lagi daripada seekor burung!

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bunyi Kereta Api Laju Yang Terlalu Bising

kereta api berkelajuan tinggi

Jepun merupakan sebuah negara yang maju dan terkehadapan dalam pembinaan kereta api berkelajuan tinggi. Pada tahun 1989 lagi, mereka sudah mempunyai sebuah kereta api laju atau dikenali juga sebagai "shinkansen" yang mampu bergerak selaju 270 km/j. Para juruteranya sentiasa membuat penyelidikan bagi menghasilkan kereta api yang lebih pantas. Walau bagaimanapun, mereka tetap mempunyai masalah.

Masalah utama yang dihasilkan oleh kereta api laju adalah bunyi bising yang dihasilkan. Sebagai contoh, apabila melalui sebuah terowong, keretapi api laju tersebut akan menghasilkan sebuah gelombang bertekanan tinggi atau dikenali sebagai 'sonic boom' yang menghasilkan bunyi yang sangat bising.

Bunyi yang sangat bising ini dikatakan dapat didengari dari jarak sejauh 400 meter. Kerana kebanyakan laluan kereta api ini akan melalui kawasan kediaman dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, maka bunyi bising daripada kereta api ini merupakan satu masalah yang besar yang perlu diselesaikan tersebut dahulu. Kerajaan Jepun telah menetapkan undang-undang bahawa bunyi yang dihasilkan oleh kereta api ini tidak boleh melebihi 70dBA.

Inspirasi daripada 3 jenis haiwan

inspirasi rekabentuk kereta api

Eiji Nakatsu adalah seorang jurutera yang bertanggungjawab membuat revolusi pada rekabentuk hadapan shinkansen. Beliau juga merupakan seorang pemerhati burung. Selepas mendengar sebuah pembentangan pada tahun 1990 daripada seorang jurutera penerbangan mengenai burung, beliau mendapat inspirasi untuk mengkaji lebih dalam bagaimana rekabentuk sesuatu burung itu mampu menyelesaikan masalah bunyi bising yang dihasilkan oleh kereta api berkelajuan tinggi.

Secara ringkasnya terdapat 3 rekabentuk kereta api ini yang diinspirasikan daripada binatang:

1. Pantograf

pantograph

Pantograf adalah bahagian yang menghubungkan bahagian atas kereta api dengan kabel elektrik di trek laluan kereta api. Rekabentuk pantograf ini diubah menyamai rekabentuk bulu burung hantu yang melengkung dan bergerigi, membolehkannya terbang secara senyap.

2. Rekabentuk bumbung

badan penguin

Ianya mengambil inspirasi daripada rekabentuk badan penguin yang mudah meluncur pantas di atas ais, seterusnya dapat mengurangkan rintangan angin.

3. Rekabentuk kepala kereta api

burung raja udang

Rekabentuk kepala kereta api diinspirasikan daripada rekabentuk burung raja udang (kingfisher) yang mempunyai kemampuan untuk terbang dari udara ke dalam air untuk menangkap ikan dengan begitu pantas. Rekabentuk kepalanya yang unik itu dapat mengurangkan rintangan apabila bergerak dari medium yang berbeza iaitu udara ke air dan hanya menghasilkan percikan air yang sangat minimum.

Sebagai manusia, sebenarnya banyak lagi inspirasi dan pengajaran yang boleh diperolehi daripada alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan binatang ciptaan Tuhan yang ada disekeliling kita. Kisah rekabentuk shinkansen ini hanyalah salah satu daripadanya.

Kredit:

  1. Vox
  2. Ask Nature
  3. The Verge
  4. 99% Invisible
  5. Green Biz



Hakcipta iluminasi.com (2017)