Sebelum ini, iluminasi.com pernah menyiarkan sebuah kisah mengenai Jackie the Baboon yang pernah berkhidmat sebagai tentera Afrika Selatan ketika Perang Dunia Pertama. Kali ini, kami ingin kongsikan bersama anda tentang satu lagi kisah menarik mengenai seekor lagi babun yang pernah menggemparkan dunia.

Pada penghujung abad ke-19, seorang lelaki bernama James Wide bertugas sebagai seorang pengawal di sebuah stesen kereta api di Cape Town, Afrika Selatan. Dalam satu kejadian tragis yang berlaku pada tahun 1877, Wide telah kehilangan kedua-dua belah kakinya akibat kemalangan ngeri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kisah tragis yang menimpa James Wide

train jumper

Selama tempoh 10 tahun bekerja sebagai pengawal, Wide terkenal kerana mahir melompat naik dan turun daripada kereta api yang sedang bergerak. Kerana kemahirannya itu dia memperolehi gelaran sebagai "The Jumper".

Namun, pada suatu hari Wide telah tersilap langkah dan mendarat di trek. Kakinya tersekat dan dia tidak dapat bergerak tepat pada waktunya. Kejadian itu mengakibatkan kereta api seberat 80 tan yang sedang bergerak melanggar kakinya. Kedua-dua belah kakinya yang cedera teruk terpaksa dipotong.

Setelah pulih, Wide telah mencipta sepasang kaki kayu palsu dan merayu agar majikannya memberikannya peluang untuk bekerja semula. Pihak atasan yang bersimpati dengan keadaan Wide telah memberinya tugas sebagai seorang tukang isyarat. Dia bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada konduktor melalui pelbagai isyarat yang diletakkan di atas trek.

jack menolak troli wide

Jack menolak Wide menggunakan troli

Kerja ini tidak memerlukan aktiviti fizikal yang banyak kerana ia boleh dilakukan dengan hanya duduk di atas kerusi. Walau bagaimanapun, Wide masih memerlukan seseorang untuk membantunya pergi dan balik dari kerja.

Wide yang tidak mudah mengalah itu membuat satu troli supaya dia boleh duduk di atasnya. Walaupun troli itu adalah penyelesaian yang praktikal tetapi ia agak memenatkan buat Wide jadi dia mula mencari alternatif lain.

James Wide dijodohkan dengan Jack the Baboon

Menurut jurnal sains Nature edisi 1890, Wide telah menemui jawapan kepada masalahnya ketika melawat pasar tempatan pada tahun 1881. Dia telah melihat seekor babun yang sedang memandu kereta kuda. Wide kemudian menemui pemilik babun itu.

monyet atas kuda

Pemiliknya memberitahu bahawa babun baka Chacma itu dilatih untuk mematuhi beberapa arahan asas dan kerja yang setara dengan kekuatan fizikalnya. Ketika itu Wide tahu bahawa Jack adalah penolong yang akan membantunya dalam rutin hariannya. Wide kemudian meminta pemilik babun itu untuk menjual haiwan itu kepadanya.

Mungkin kerana bersimpati terhadap Wide atau harga yang ditawarkan bersesuaian, pemilik babun itu bersetuju untuk menyerahkan Jack. Pemilik babun itu memberitahu Wide supaya memberikan Jack beberapa teguk Cape Brandy setiap malam sebelum tidur jika mahukan haiwan itu bekerja pada keesokan harinya atau ia akan menjadi degil untuk mengikut arahan.

Pada mulanya, Wide hanya melatih Jack untuk menolak troli yang dinaikinya antara rumah dan tempat kerjanya. Selepas beberapa ketika, Wide menyedari bahawa Jack adalah lebih pandai daripada yang disangkanya dan mudah memahami kemahiran yang lebih sukar.

babun dan kereta api 712

Sebagai contoh, salah satu tugas Wide adalah untuk mengambil kunci daripada loker bertutup untuk diserahkan kepada pemandu kereta api apabila mereka meniup wisel sebanyak empat kali. Jack yang sering melihat perbuatan itu kemudian melakukannya sendiri bagi pihak Wide.

Tidak lama selepas itu, Jack juga belajar bagaimana cara untuk mengendalikan tuas di dalam kotak isyarat yang mengawal bahagian trek. Jack pantas mempelajari sesuatu terutamanya mengenai sistem yang bergantung kepada isyarat bunyi.

Kotak isyarat yang dikendalikan babun itu mempunyai beberapa tuas yang mengawal trek sekiranya ditarik mengikut susunan tertentu. Jack tahu mana satu yang perlu ditarik berdasarkan bilangan tiupan wisel oleh pemandu sama ada satu, dua, tiga atau empat kali. Anjing juga boleh dilatih menggunakan cara ini tetapi babun mempunyai kelebihan lain iaitu tangan seperti manusia.

Masyarakat khuatir dengan kebolehan Jack the Baboon

jack dan wide melakukan tugas

Di stesen kereta api Cape Town itu, pemandu kereta api dan pekerja lain sudah terbiasa dengan pemandangan seorang lelaki kurang upaya dan seekor babun bekerja bersama-sama.

Walau bagaimanapun, sesetengah penumpang berasa tidak selesa kerana nyawa mereka bergantung kepada seekor babun. Seorang lelaki terkenal dalam masyarakat setempat telah memfailkan aduan terhadap Jack the Baboon dan kerja yang dilakukannya. Akibatnya, Jack dan Wide telah dipecat.

Wide kemudian merayu kepada majikannya untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka itu. Dia yang disokong oleh beberapa orang rakan sekerja lain telah berhujah mengenai kebolehan Jack dalam melakukan kerjanya di stesen itu.

tukang isyarat

Syarikat kereta api itu memutuskan untuk menguji Jack dengan memberikannya senario sukar bagi melihat sejauh mana babun itu bersedia dan dapat menyelesaikannya.

Jack ditempatkan di hadapan satu set tuas dengan dengan susunan yang sama seperti dalam pondok isyarat dan beberapa tiupan wisel dimainkan dengan cepat bagi menguji kecekapannya mengendalikan tuas itu. Jack lulus dengan baik dan syarikat itu memberikan pekerjaan itu kepadanya dan Wide semula.

Stesen Cape Town semakin maju dan menjadi tarikan pelancong

cape government railways

Syarikat Cape Government Railways

Sebagai pekerja rasmi Landasan Kereta Api Kerajaan Cape, Jack menerima gaji sebanyak 20 sen sehari atau kira-kira USD 5 hari ini. Pada hari Sabtu, dia diberi bonus tambahan minuman bir dan makanan ringan.

Menggaji Jack terbukti adalah langkah bijak bagi syarikat itu apabila stesen kereta api mereka menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin menyaksikan babun yang unik itu bekerja. Selain itu, Jack the Baboon juga merupakan pengawal stesen itu yang akan menghalau penceroboh dan pelaku vandalisme.

Pada tahun 1890, Jack the Baboon telah dijangkiti tuberkulosis dan mati. Babun itu telah bekerja selama sembilan tahun untuk syarikat kereta api itu dan tidak pernah melakukan sebarang kesilapan atau mengakibatkan kemalangan selama bekerja di situ.

Rujukan:

1. Mental Floss

2. Techly

3. History 101

4. The Vintage News




Hakcipta iluminasi.com (2017)