Pada tahun 1959, Amerika Syarikat telah mengumumkan sebuah projek sulit yang diberi kod nama "Projek Iceworm". Apa itu Projek Iceworm? Ianya adalah sebuah rancangan untuk membina pusat pelancaran senjata nuklear yang terletak di bawah lapisan ais Greenland.

Walaupun kelihatan seperti tidak masuk akal, projek ini sememangnya benar-benar pernah wujud. Melalui projek ini, sebuah pangkalan bawah tanah yang diberi nama "Camp Century" akan dibina. Ianya seakan-akan sebuah bandar bawah tanah yang akan mempunyai pelbagai kemudahan untuk askar yang akan ditugaskan untuk menjaga kawasan tersebut kelak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi mengaburi mata orang ramai, projek pembinaan tersebut diwar-warkan sebagai sebuah pusat kajian sahaja. Hal ini bagi mengelakkan syak wasangka musuh dan masyarakat antarabangsa. Lagipun, dataran Greenland semamangnya menjadi tumpuan sebagai kawasan kajian oleh pelbagai organisasi dan negara.

Sebab kewujuan Projek Iceworm

pangkalan nuklear bawah tanah

Semasa zaman Perang Dingin satu ketika dahulu, kerajaan Amerika Syarikat merancang untuk membina sebuah pangkalan sulit bagi memudahkan mereka melancarkan peluru berpandu ke kawasan pihak USSR. Kawasan pangkalan tersebut mestilah dalam lingkungan jarak yang boleh dicapai oleh peluru berpandu yang hendak dilancarkan.

Pangkalan ini dibina dengan mengorek dataran salji greenland membentuk parit-parit dan lorong-lorong. Kemudian, lapisan besi akan digunakan sebagai dinding untuk mengelakkan pangkalan bawah tanah tersebut daripada roboh. Bagi mengelakkannya dikesan, kawasan tersebut akan ditimbus kembali dengan ais dan salji.

Daripada kawasan udara, tiada siapa mengesyaki terdapat sebuah pangkalan bawah tanah di kawasan tersebut. Setelah siap, pangkalan tersebut mempunyai 21 buah lorong dengan panjang keseluruhan 3000 meter.

Pangkalan tentera serba lengkap

projek iceworm

Setelah siap, ianya bukanlah pangkalan senjata nuklear semata-mata. Kawasan ini turut mempunyai pelbagai kemudahan untuk askar yang ditempatkan disitu seperti gereja, hospital, pawagam, pusat hiburan dan kedai. Sementara itu, tenaga nuklear digunakan untuk membekalkan tenaga elektrik di pangkalan itu.

Selain itu, pangkalan itu turut menempatkan pusat kajian bukan sahaja untuk kajian ketenteraan tetapi untuk pelbagai kajian lain seperti kajian perubahan iklim bumi. Daripada kajian-kajian yang dilakukan inilah kerajaan Amerika Syarikat akhirnya terpaksa membuat keputusan yang mengejutkan, yakni membatalkan Projek Iceworm.

Pembatalan Projek Iceworm

lorong century camp

Pembinaan pangkalan senjata nuklear ini belum siap sepenuhnya. Malangnya, kerajaan mengambil keputusan untuk membatalkan projek ini disebabkan keadaan geografi yang tidak mengizinkan. Keadaan ais yang sentiasa bergerak menjadikan kawasan tersebut tidak stabil untuk pembinaan yang seterusnya dan mempunyai risiko untuk runtuh pada masa hadapan.

Pada tahun 1967, kerajaan secara rasminya mengumumkan pembatalan projek ini. Susulan dengan keputusan yang diambil itu, kerajaan telah membawa keluar segala senjata dan reaktor nuklear yang terdapat di pangkalan tersebut. Walaubagaimanapun, dipercayai masih terdapat banyak lagi bahan-bahan kimia seperti minyak diesel, air sisa dan cecair penyejuk radioaktif yang masih tertanam di kawasan pangkalan tersebut.

Kerajaan Amerika Syarikat beranggapan bahawa bahan-bahan kimia tersebut mungkin akan terpelihara disitu buat selama-lamanya memandangkan suhu disitu yang terlampau sejuk. Walau bagaimanapun, ramai pakar menjangkakan mungkin dalam beberapa abad akan datang segalanya akan terdedah memandangkan bumi mengalami perubahan suhu yang menyebabkan ais semakin mencair.

Apabila tibanya masa tersebut, maka terbongkarlah rahsia Amerika Syarikat selama ini yang cuba disorokkan. Paling penting, merekalah yang perlu bertanggungjawab membersihkan kembali kawasan tersebut daripada bahan-bahan kimia yang telah ditinggalkan begitu sahaja.

Kredit:

  1. Business Insider
  2. Science Mag
  3. The Guardian
  4. Atlas Obscura



Hakcipta iluminasi.com (2017)