Sebelum kemunculan teknologi "green screen" wujud, pihak pembikin filem perlulah menghasilkan prop bagi menggambarkan keadaan sebenar filem yang dirakam. Sebagai contoh, bagi filem yang bertemakan tahun 80-an, maka latarbelakang dan suasana tahun 80-an perlulah diwujudkan dan dibina.

Perkara ini bukanlah mudah malah menelan belanja yang tinggi. Kebiasaannya, penggambaran ini akan dibuat di set studio yang telah dibina khas. Menariknya di Amerika Syarikat, terdapat satu tempat yang bermula sebagai sebuah set penggambaran filem dan akhirnya berkembang menjadi bandar penampatan manusia yang sebenar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah kewujudan Pioneertown

kehidupan pioneertown

Pada tahun 1940-an, beberapa orang pembikin filem seperti Roy Rogers, Dick Curtis  Russel Hayden telah mencetuskan idea untuk mewujudkan satu kawasan penggambaran filem mereka yang kebanyakannya bertemakan suasana koboi. Maka, lahirlah Pioneertown.

Berbanding set penggambaran lain yang hanya menggunakan prop untuk menghasilkan binaan bangunan sementara, segalanya yang wujud disini adalah bangunan sebenar. Malah, bangunan-bangunan yang dibina juga cukup sebagai penempatan buat pelakon dan kesemua kru produksi.

bank pioneertown

Pekan ini terletak hanya 2 jam perjalanan dari Los Angeles dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Selain kawasan penempatan, terdapat juga pusat kecantikan, pusat bowling, bank, restoran dan pelbagai kemudahan lain.

Pekan kecil ini pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem popular ketika era tersebut antarany Flicks like The Valiant Hombre (1948), The Winning of the West (1953) dan The Cowboy and the Indians (1949).

Kawasan tumpuan pelancong

hotel pioneertown

Walau bagaimanapun, apabila zaman semakin maju dan filem-filem bertemakan koboi jarang lagi dihasilkan, kawasan ini kembali sepi. Namun, itu tidak bermakna pekan ini terus ditinggalkan. Sebaliknya terdapat hampir 600 orang yang sudah membina kehidupan di bandar ini.

Suatu ketika dahulu, terdapat beberapa perancangan untuk membangunkan dan memajukan kawasan ini antaranya melalui pembinaan padang golf, restoran dan hotel. Penurunan populariti filem bertemakan "Wild West" merupakan antara punca yang menyebabkan perancangan tersebut tidak diteruskan.

pekan pioneertown

Pekan kecil ini kini menjadi tumpuan pelancong yang mahukan suasana hidup zaman koboi dahulu kala. Malah, boleh dikatakan industri pelancongan merupakan penyumbang ekonomi utama di kawasan ini. Malah, terdapat tempat penginapan dan restoran yang dibuka khas untuk pelancong.

Bagi pelancong yang datang ke sini, mereka dapat melihat binaan-binaan atau prop-prop penggambaran lama yang sudah tidak digunakan lagi. Bagi yang mahukan lokasi bergambar di suasana yang unik ini, maka Pioneertown mungkin jawapannya. Maka, tidak hairanlah bandar ini sentiasa menerima kunjungan pelancong terutamanya pada hujung minggu.

Kedatangan golongan hipster

kedai pioneertown

Walaupun tidak lagi menjadi lokasi penggambaran popular, bandar ini masih lagi hidup. Suasana pekan ini yang unik juga berjaya menarik minat golongan remaja "hipster" yang gemarkan gaya hidup di pekan ini. Selain gaya hidup, mereka juga dapati terdapat peluang bisnes di kawasan ini yang semakin dikunjungi ramai pelancong saban tahun.

Secara umumnya, demografik kawasan ini terbahagi kepada dua iaitu golongan lama yang sudah hidup sebelum Pioneertown popular sebagai destinasi pelancongan dan golongan muda yang berhijrah ke sini kerana menyedari potensi bisnes yang ada di sini.

pioneertown

Walau bagaimanapun, kerana lokasi kawasan ini yang sedikit terpencil daripada bandar-bandar besar, kedua-dua golongan ini dapat hidup harmoni dan bergantung antara satu sama lain. Mereka seolah-olah sebuah komuniti besar yang terus menghidupkan pekan Pioneertown ini.

Salah seorang pendatang baru ke pekan Pioneertown ini adalah Geoffrey Fennel, seorang pengkarya seni dan juga tukang emas yang berhijrah ke sini pada tahun 2009. Menurut beliau, ketika awal-awal sampai ke sini dahulu, kebanyakan bangunan yang ada disini terbiar kosong.

Namun, lama-kelamaan makin ramai pengkarya seni yang mula berhijrah ke pekan kecil ini dan menjual karya-karya mereka kepada para pelancong. Menurut beliau lagi, pada masa kini pelancong tidak hanya tertumpu pada hujung minggu semata-mata, tetapi juga pada hari-hari biasa.

Kredit:

  1. The Independent
  2. The New York Times
  3. Atlas Obscura
  4. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)