Oleh pada 31 Jan 2018 kategori

jacobs well lompat

Anda adalah salah seorang yang gemar cabaran berbahaya serta suka rasa adrenalin menyelubungi diri? Terdapat banyak tempat di dunia yang menjadi tarikan pelancong, bukan sekadar kerana kecantikannya malahan kerana cabaran yang wujud akibat daripada bahaya berkunjung ke situ.

Walaupun begitu, tempat-tempat ini tetap mendapat perhatian pelancong yang mahu merasakan debaran yang ada sehinggakan tragedi berlaku bagi mereka yang kurang bernasib baik. Berikut adalah 5 lokasi pelancongan paling berbahaya dalam dunia yang menjadi pilihan kami.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Mosi-oa-Tunya, Zambia

devil s pool 2

Tidak ramai yang mengenali lokasi ini dengan nama asalnya Mosi-oa-Tunya yang membawa maksud 'Asap Yang Berbunyi Seperti Guruh' tetapi jika disebutkan air terjun Victoria, pasti ramai yang mengenalinya. Tarikan utama (dan paling bahaya) yang ada di sini adalah kolam yang betul-betul terletak sebelum air terjun yang dinamakan 'Armchair' atau nama popularnya, Devil's Pool.

devil s pool 4p482

Pada ketika musim panas di air terjun Victoria, air di sungai tersebut akan surut ke satu tahap di mana individu boleh berehat di dalam kolam yang ada, dihadang oleh batu-batu yang menjadi dinding sebelum air menjunam jatuh setinggi 108 meter. Kolam itu hanya dibuka pada waktu musim panas, ketika aliran air lebih rendah, kerana pada waktu lain, andainya seseorang masuk ke dalam sungai itu, mereka akan terus dibawa arus deras yang akan membuatkan mereka terjunam sepanjang air terjun Victoria.

2. Gunung Mayon, FIlipina

mayon lava

Gunung Mayon di daerah Bicol, Filipina merupakan sebuah gunung berapi aktif dan salah satu destinasi pelancongan paling terkenal Filipina. Mempunyai ketinggian 2463 meter, Gunung Mayon terletak lebih 300 kilometer dari ibu negara Filipina, Manila.

Menjadi lokasi pelancongan yang aktif walaupun sangat berisiko tinggi, Gunung Mayon menjadi pilihan pendaki gunung yang sanggup mempertaruhkan nyawa. Runtuhan tanah dan batu kerap berlaku di sekitar kawasan gunung ini, selain dari letupan-letupan yang terjadi tanpa boleh diramal. Pada tahun 2013, Gunung Mayon mengalami letupan kecil yang membunuh 5 orang pendaki, 7 orang cedera parah dan selebihnya mengalami kecederaan.

mount mayon

Bagi mereka yang berjaya sampai ke puncak gunung ini, bersedialah untuk memakai topeng gas kerana gas yang dikeluarkan oleh Gunung Mayon beracun dan mampu membunuh. Pada ketika artikel ini ditulis, Gunung Mayon di Filipina sedang menunggu masa untuk meletus dengan penduduk setempat diminta berada dalam keadaan berjaga-jaga, dengan 60 ribu orang telah diarahkan berpindah.

3. Jacob's Well, Amerika Syarikat

jacobs well wimberley

Lubang seluas 4 meter yang menjadi pintu masuk kepada kawasan gua dalam air yang tidak pernah berjaya diterokai habis, menjadi salah satu lokasi paling mencabar bagi mereka yang gemarkan cabaran. Terletak di sebuah daerah bernama Hays County, Jacob's Well adalah sebuah lubang sedalam 100 kaki yang menjadi pintu masuk kepada jaringan gua bawah air yang sempit.

Bagi mereka yang pernah terjun ke dalamnya dan meneroka sendiri, ramai mengakui ruangan dinding gua yang terlalu sempit dan memerlukan seseorang menanggalkan tong oksigen untuk melaluinya, membuatkan Jacob's Well masih lagi belum dapat diterokai oleh manusia sendiri.

Mereka yang terperangkap kebanyakannya meninggal dunia dengan mayat mereka terperangkap dalam air. Bagi beberapa orang yang 'bernasib baik', badan mereka akan dibawa arus kembali melalui lubang masuk sebelum terapung. Itupun selepas bertahun lamanya hilang tanpa dikesan.

4. Tornado Alley, Amerika Syarikat

102626907

Dengan bayaran RM10500 untuk pakej seminggu, mereka yang sanggup berdepan bencana alam boleh mengikuti 'pakej pelancongan' paling unik - cuba berada dalam kedudukan paling hampir dengan puting beliung yang melanda pada bulan April hingga Julai, di sekitar Amerika Syarikat.

Kawasan-kawasan yang termasuk dalam kawasan yang digelarkan 'tornado alley' di Amerika Syarikat, merupakan laluan puting beliung paling kerap melanda. Pakej pelancongan unik ini lebih mudah diwujudkan di Amerika Syarikat berikutan negara tersebut merupakan negara paling banyak berlakunya puting beliung. Bagi mereka yang pernah mengalami pengalaman itu sendiri, risiko yang mereka lalui cukup tinggi.

batu ais taufan

Ketika puting beliung berlaku, ada kemungkinan ratusan bebola ais yang mampu menyamai saizsebiji bola tenis terbentuk. Bayangkan bola-bola keras itu berpusing pantas dan mengenai manusia atau harta benda. Mungkin atas sebab itulah, pakej ini memerlukan bayaran yang agak tinggi bagi menampung risiko kerugian yang agak besar.

5. Trolltunga, Norway

pelancongan bahaya

Trolltunga yang membawa masuk 'lidah Troll' dalam bahasa Norway, terletak di kawasan Hordaland, Norway. Trolltunga adalah formasi batuan yang terbentuk 10 ribu tahun dahulu semasa zaman ais. Menjadi salah satu lokasi pelancongan paling popular di Norway, seramai 80 ribu pengunjung datang ke sini setiap tahun.

Tarikan utamanya adalah peluang untuk berdiri di atas sebuah batu berupa seperti lidah, berada pada paras ketinggian 700 meter dari aras laut. Mereka yang memberanikan diri berdiri di situ akan menikmati pemandangan yang indah Tasik Ringeldalsvatnet. Bagaimanapun, tidak ada sebarang penghadang keselamatan di situ.

trolltunga

Untuk sampai ke situ pula, individu perlu mempunyai kemahiran dan ketahanan mendaki gunung dalam perjalanan 13.5 kilometer, selama 10 jam yang membawa pelawat pada ketinggian 900 meter dari aras laut untuk mendapatkan peluang bergambar di salah satu lokasi paling bahaya di dunia. Dalam salah satu insiden kematian yang terjadi di situ, mangsa yang jatuh tidak dapat dicari berikutan tiada hubungan telekomunikasi di kawasan tersebut. Hanya selepas pengunjung turun dan melaporkan kejadian. Keesokannya barulah pasukan penyelamat dapat melakukan ekspedisi mencari badan mangsa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)